5 Sebab Mengapa Penyokong Selangor Dan Pahang Wajib Hadir Ke Stadium Nasional Bukit Jalil

Saat yang ditunggu-tunggu bakal tiba apabila skuad Gergasi Merah bakal membuat penghitungan dengan Tok Gajah dalam perlawanan akhir Shopee Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 7 Julai ini.

Memandangkan seluruh peminat bola sepak tanah air masih berada dalam mood Piala Dunia yang sedang berlangsung di Rusia, kehadiran penyokong pada hari Sabtu ini mungkin sedikit terjejas apatah lagi ianya bertembung dengan tarikh perlawanan di peringkat suku akhir Piala Dunia.

Namun bagi penyokong Selangor dan Pahang, mereka tidak seharusnya melepaskan peluang ini untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka mencipta sejarah tersendiri selaku juara Piala FA musim ini.

Penulis telah menyenaraikan beberapa sebab kenapa mereka wajib hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

Juara Piala FA 2018 ditawarkan slot ke AFC Champions League 2019

(Photo by Stanley Chou/Getty Images)

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah menganugerahkan 2 slot ke AFC Champions League kepada wakil dari Malaysia berdasarkan kedudukan ranking MA (Member Association) AFC bahagian Asia Timur.

AFC Champions League merupakan kejohanan peringkat tertinggi di Asia yang melibatkan kelab-kelab terbaik dari seluruh Asia.

Malaysia yang berada di kedudukan ke-6 teratas telah mendapat 1 slot automatik dan 1 slot kelayakan ke AFC Champions League.

Juara Liga Super 2018 akan mendapat slot automatik manakala Juara Piala FA 2018 akan mendapat slot dalam saingan kelayakan.

Pada bulan Disember 2017, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) dilarang daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun (2019 & 2020) di atas kesalahan enggan mendaftarkan pasukan untuk bermain di kejohanan Piala AFC 2018.

Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati keengganan atau kegagalan PBNP itu telah melanggar Artikel 14, Statut FAM. Penggantungan ini bermakna Selangor akan mewakili Malaysia dalam saingan kelayakan AFC Champions League 2019 jika mereka bergelar Juara Piala FA 2018.

Walaubagaimanapun, slot itu akan diberikan kepada naib juara Liga Super 2018 jika Pahang bergelar juara Piala FA 2018 dengan menewaskan pasukan Selangor.

Hal ini kerana mengikut buku Manual AFC Club Competitions 2017-2020, kelab yang tidak mempunyai lesen akan digantikan oleh kelab yang berada di posisi tertinggi dalam saingan liga.

Final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sejak ia kembali dibuka

Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO: The Skop

Pada tahun 2015, Stadium Nasional Bukit Jalil telah ditutup selama 2 tahun untuk memberi laluan kepada kerja naik taraf dan pembinaan kemudahan baharu bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2017 yang membabitkan perbelanjaan lebih RM1 bilion.

Situasi itu menyebabkan venue perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia terpaksa ditukar ke Stadium Shah Alam. Bermula dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2015, semua perlawanan dilangsungkan di Stadium Shah Alam termasuk pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018.

Stadium ini juga pernah ditutup beberapa kali sebelum ini untuk kerja-kerja membaik pulih rumput susulan kerosakan yang berlaku selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 diantara Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perlawanan akhir Piala FA 2015 di antara pasukan Kelantan dan Lions XII merupakan perlawanan pertama dilangsungkan di stadium berkenaan selepas penukaran rumput baharu jenis ‘National Grass’ yang menelan belanja RM1.5 juta.

Selepas temasya sukan SEA 2017, Stadium Nasional Bukit Jalil kini berwajah baharu dan sudah bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan pelbagai acara yang berprestij termasuk perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia sekaligus membangkitkan semangat penyokong bola sepak tempatan untuk berkunjung ke sini dengan menaiki pengangkutan awam seperti LRT.

Dengan kemudahan yang serba canggih dan keadaan tandas yang lebih selesa, para penyokong dinasihati agar menjaga kebersihan dan tidak merosakkan harta benda stadium seperti tempat duduk. Jagalah ia seperti mana kita menjaga rumah kita.

Terlepas satu perlawanan Piala Dunia sahaja

Twitter

Bagi penyokong yang sentiasa mengikuti perkembangan kejohanan Piala Dunia di Russia, mereka hanya akan terlepas satu perlawanan sahaja iaitu perlawanan suku akhir yang melibatkan pasukan Sweden/Switzerland menentang Colombia/England pada pukul 10 malam.

Ia sepatutnya bukan penghalang utama untuk penyokong setia Selangor dan Pahang meluangkan masa berkunjung ke Stadium kerana mereka masih boleh menonton perlawanan ulangan atau sekadar menyaksikan rangkuman perlawanan di laman web youtube. (Highlights)

Manakala tumpuan untuk perlawanan lain di peringkat suku akhir Piala Dunia tetap tidak akan terjejas kerana perlawanan yang seterusnya akan bermula pada pukul 2.00 pagi waktu Malaysia.

Pertembungan hebat 2 kumpulan Ultras, Ultrasel dan Elephant Army

FOTO: Khairulazrin WordPress

Perlawanan akhir kali ini turut menemukan 2 kumpulan penyokong yang hebat di Malaysia iaitu Ultras Selangor, Ultrasel dan Ultras Pahang, Elephant Army.

Kedua-dua kumpulan itu dijangka akan mempamerkan tifo (banner gergasi) mengikut kreativiti masing-masing untuk mewujudkan atmosfera yang luar biasa di Stadium Nasional Bukit Jalil. Para penyokong juga akan menikmati nyanyian lagu yang menarik daripada kedua-dua penyokong tersebut.

Bagi Ultrasel, ini adalah aksi yang pertama mereka setelah sekian lama tidak beraksi di pentas akhir manakala Elephant Army pernah mengegarkan Stadium Shah Alam ketika Pahang menentang Kedah di perlawanan akhir Piala FA tahun lalu.

Paduan suara dan pukulan gendang tanpa henti daripada kedua-dua Ultras ini akan membangkitkan semangat penyokong yang hadir sekaligus menghadirkan suasana yang cukup meriah pada malam itu. Mungkin lebih meriah daripada menonton Piala Dunia di rumah.

Perlawanan Selangor menentang Pahang menjanjikan saingan yang sengit

Kali terakhir Selangor bertemu Pahang di final pertandingan tempatan ialah pada 21 tahun lepas iaitu perlawanan akhir Piala Malaysia tahun 1997.

Pahang pula merupakan finalist Piala FA tahun lepas dan mereka telah melakar sejarah tersendiri layak ke perlawanan akhir Piala FA 2 kali berturut-turut. Kali terakhir Pahang menjuarai Piala FA ialah pada tahun 2014 apabila mereka menewaskan Felda United, 2-1.

Selangor selaku juara Piala FA sebanyak 5 kali pasti tidak mahu melepaskan peluang ini untuk memastikan tiket ke kejohanan AFC Champions League 2019 berada dalam genggaman. Kali terakhir Selangor layak ke final Piala FA ialah 9 tahun lepas iaitu pada tahun 2009.

Namun, berdasarkan rekod pertemuan pada musim ini jelas memihak kepada Pahang apabila menewaskan Selangor 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur serta seri 1-1 di Stadium Darul Makmur.

Perlawanan ini pasti akan berlangsung sengit kerana Selangor enggan mengecewakan ribuan penyokong sendiri selain mahu melakar kejutan untuk menewaskan skuad Tok Gajah. Pahang pula membawa tekad bagi menebus kekecewaan terlepas Piala FA kepada Kedah musim lepas.

Kesimpulan

Walaupun perlawanan akhir kali ini berdepan cabaran dengan kehadiran penyokong sempena kejohanan Piala Dunia, kita selaku pencinta bola sepak tempatan pasti tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuk sama-sama memeriahkan saingan Liga Malaysia.

Diharapkan kedua-dua penyokong mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi dan tidak membawa barang larangan seperti senjata tajam dan seperti sedia maklum ketika ini kita masih dalam musim perayaan, jadi diharap penyokong tidak membawa masuk bunga api atau mercun ke dalam stadium.

Akhir kata, majulah sukan untuk negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN