5 Sebab Mengapa Harimau Malaya Perlukan Dion Cools

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang pengesahan sama ada pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Johan Cools akan menyertai pasukan negara untuk menghadapi kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Desas desus Dion Cools akan menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Dubai mulai bertiup kencang apabil FC Midtjylland menyenaraikan pemain itu sebagai antara pemain yang akan meninggalkan kelab untuk tugasan anatarabangsa.

Lebih mengujakan apabila Dion Cools dikatakan akan menyertai Malaysia. Kelan Denmark itu bagaimanapun mengubah senarai tersebut selepas itu. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut berdiam diri mengenai khabar angin yang sedang bertiup kencang di kalangan pemerhati bola sepak tempatan.

Jadi atau tidak Dion Cools menyertai pasukan negara di Dubai, berikut adalah lima perkara mengapa kami percaya mengapa Harimau Malaya perlukan khidmat beliau.

Tiada masalah sesuaikan diri

Sekiranya benar Dion Cools mendapat panggilan menyertai skuad Harimau Malaya di Dubai untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, satu perkara yang menjadi pertanyaan ialah adakah pemain ini mampu menyesuaikan diri dengan pemain sedia ada di dalam kem negara?

Dion Cools dijangka tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di dalam kem negara. Apatah lagi skuad negara pada hari ini turut memiliki beberapa pemain kacukan seperti Brendan Gan, Junior Edstal, Matthew Davies dan juga Corbin Ong.

Fasih berbahasa Inggeris juga Dion Cools tidak akan menghadapi masalah komunikasi. Merupakan seorang yang peramah, Dion Cools pernah menyatakan kesediaan beliau untuk membantu penyerang skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran apabila beraksi di Belgium

Budaya dan kehidupan rakyat Malaysia juga bukan perkara asing bagi Dion Cools setelah beberapa kali melawat keluarganya di Kuching sebelum ini. Semua ini memudahkan Dion Cools untuk mendapatkan chemistry diperlukan dalam masa singkat. Dion Cools bukan sahaja menjadi senjata Tan Cheng Hoe di pusingan kelayakan ini, tetapi juga aset masa depan bola sepak negara.

Pengalaman aksi peringkat tertinggi

Sudah tentu antara sebab Tan Cheng Hoe memanggil Dion Cools untuk menyertai skuad negara ialah kerana pengalaman pemain ini beraksi di pertingkat tertinggi di eropah.

Musim ini Dion Cools telah tampil dalam 21 perlawanan liga untuk naib juara Superliga Denmark, FC Midtjyland. Malah pada awal musim ini, Cools juga beraksi menentang Liverpool di pertandingan UEFA Champions League pada musim ini.

Selain daripada mewakili kelab di pentas Eropah, Cools juga pernah beraksi untuk Belgium di setiap peringkat umur pertandingan antarabangsa.

Namun sehingga kini, pada usia 23 tahun, beliau belum lagi pernah mendapat panggilan daripada Roberto Martinez bersama skuad kebangsaan Belgium, yang membenarkan beliau beraksi untuk Malaysia.

Versatiliti milik Dion Cools

Daripada senarai 25 pemain yang telah dipanggil oleh Tan Cheng Hoe, skuad negara kini sudah memiliki Matthew Davies dan Rizal Ghazali di posisi bek kanan. Di sebelah kiri, Syahmi Safari dilihat sebagai cover-up kepada Corbin Ong.

Dion Cools semenangnya dikenali sebagai pemain bek kanan. Tetapi beliau juga mampu beraksi di sebelah kiri bek sayap sekiranya keadaan memerlukan. Versatili yang dimiliki Dion Cools akan memberikan Tan Cheng Hoe lebih banyak pelihan di dalam taktikalnya.

Selain daripada untuk memperkuatkan benteng pertahanan, pemain yang memiliki ketinggian 1.84 cm ini juga boleh menjadi outlet serangan dari bawah untuk pasukan Harimau Malaya dari kedua-dua belah sayap.

Malah Dion Cools juga dikatakan berkemampuan beraksi di bahagian tengah sebagai pemain sayap kanan.

Jiwa Harimau Malaya

Dion Johan Cools adalah nama sebenarnya. Beliau dilahirkan di Kuching, Sarawak dan berdarah kacukan Belgium-Malaysia.

Tidak menyembunyikan keingannya kembali ke Malaysia pada suatu hari nanti, Dion Cools sebenarnya memiliki jiwa Harimau Malaya. Melalui perkongsian beliau di Instagram Story sebelum ini, Cools pernah berkongsi gambarnya memperagakan jersi pasukan negara serba hitam bersama caption: “Sejauh manakah anda mahukan ini?”

“Sudah tentu saya berminat. Sehingga kini, saya belum terima tawaran rasmi sebenarnya. Jadi, saya tidak perlu membuat sebarang keputusan setakat ini. Sudah tentu saya akan mempertimbangkan untuk mewakili Malaysia,” ujar beliau dalam satu temu ramah bersama wartawan Astro Arena, Edleen Ismail pada tahun lalu.

“Sebabnya, saya berbangga memiliki separuh darah Malaysia dan separuh darah Belgium. Sangat mengujakan menerima sokongan daripada rakyat Malaysia yang selalu memberikan komen dan mesej kepada saya untuk mewakili Malaysia.

Misi sukar Harimau Malaya

Seperti semua sedia maklum, penarikan diri Korea Utara dari pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pasti akan menjejaskan peluang pasukan negara untuk mara ke pusingan seterusnya.

Berbaki tiga perlawanan menentang tiga lawan sukar seperti UAE, Vietnam, dan Thailand skuad kendalian Tan Cheng Hoe perlu mendapatkan keputusan positif untuk memungkinkan kemaraan ke Piala Asia 2023 di China secara automatik, selain untuk melangkah ke pusingan ketiga Piala Dunia.

Untuk berbuat demikian, Tan Cheng Hoe memerlukan lebih dari elemen nasib untuk berbuat demikian. Antara kejutan yang boleh ditampilkan ialah dengan adanya pemain seperti Dion Cools yang tidak dijangka oleh ketiga-tiga lawan pasukan negara nanti.

Bekemungkinan besar asing dengan corak permainan Dion Cools, siapa tahu pemain ini mampu menjadi aset utama pasukan negara untuk memangkin kemaraan ke peringkat seterusnya.

Penutup

Sebelum ini, terdapat persoalan sama ada Johan Dion Cools akan memilih Belgium atau Malaysia sebagai negara yang akan diwakilinya di pentas antarabangsa.

Adakah kita akan terus tertanya-tanya? Atau adakah pertanyaan itu akan berakhir dalam masa terdekat?

 

 

Baca artikel lain mengenai Dion Cools:

Dion Cools: Belum Ada Panggilan Daripada Harimau Malaya Setakat Ini

JDT Bakal Umum Dion Cools Pada 20 Disember Ini?

Pemain Berdarah Malaysia-Belgium, Dion Cools Akan Tinggalkan Club Brugge?

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply