5 Sebab Mengapa Cristiano Ronaldo Bakal Berdepan Masalah Beraksi Bersama Juventus

Ronaldo

Penyerang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo sah menyertai  Juventus dengan nilai perpindahan bernilai £99.2 juta.

Selepas sembilan tahun menghabiskan kariernya bersama Real Madrid, Ronaldo telah berjaya menghadiahkan empat kali gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

Selain itu, beliau telah dianugerahkan Ballon d’Or sebanyak empat kali dan muncul sebagai penjaring utama kelab dengan 451 jaringan dalam 438 perlawanan.

Rekod cemerlangnya di bumi Sepanyol tidak boleh dipersoalkan lagi. Namun, adakah kejayaan manis itu dapat diulangi beliau bersama Juventus di Itali.

Dunia bola sepak meramalkan Ronaldo tidak mampu mengulangi kejayaannya di Juventus.

Kenapa ? Ini merupakan lima sebab mengapa perkara seperti itu boleh berlaku.

1. Beban terlalu tinggi


Cristiano Ronaldo hadir sebagai pemain yang pernah meraih gelaran Liga Juara-Juara Eropah sebanyak lima kali (bersama Manchester United dan Real Madrid).

Sudah tentu pengalaman dan kejayaan beliau di pentas Eropah memberi harapan yang besar buat seluruh warga di Turin.

Kehadiran Ronaldo amat diharapkan dapat membantu Juventus menamatkan kemarau kejuaraan Eropah yang kali terakhir berjaya mereka lakukan pada musim 1995/96.

Sejak empat musim terakhir ini, Juventus telah berjaya melangkah ke perlawanan akhir iaitu pada musim 2014/15 dan 2016/17.

Namun, malang bagi mereka apabila gagal menjuarai gelaran tersebut selepas ditewaskan Barcelona 3-1 (2014/15) dan Real Madrid 4-1 (2016/17).

Juventus semestinya amat menagih sentuhan emas dari bintang terbaik dunia itu di kejohanan Eropah pada musim hadapan.

Sudah pasti, misi besar kelab itu membuatkan Ronaldo bakal menghadapi tugas berat dan ianya merupakan satu bebanan yang besar buatnya di Juventus.

2. Terlalu selesa di Real Madrid

Di Madrid, Ronaldo boleh tidur dengan tenang sambil dikelilingi dengan kejayaan demi kejayaan yang diperolehi pasukan.

Boleh dikatakan setiap musim, pasukannya itu tidak pernah terlepas dari sebarang kejuaraan baik dari saingan liga mahupun di peringkat domestik.

Apabila berhijrah ke Juventus, Ronaldo tidak boleh menggangap cabaran di Serie A adalah terlalu remeh.

Beliau harus berusaha lebih keras. Situasi di Madrid tidak sama apabila berada di Juventus.

Ronaldo harus melawan dirinya agar tidak lagi dibuai dengan kesenangan dan kejayaan semasa bersama Los Blancos.

Walaupun demikian, ini bukanlah masalah utama yang harus ditangani beliau selepas ini, cuma apa yang merisaukannya adalah harapan yang besar diberikan peminat kepada beliau.

3. Usia semakin meningkat


Tidak dapat dinafikan lagi bahawa faktor usia dan kecemerlangan yang ditampilkan Ronaldo diakhir kariernya bersama Real Madrid menjadi salah satu faktor utama beliau membuat keputusan untuk berhijrah.

Ronaldo diramal bakal mengalami kesulitan untuk menunjukkan kemampuan terbaiknya di Itali.

Sejak beberapa musim terakhir ini, faktor usia Ronaldo sudah menjadi bahan bualan seluruh peminat bola sepak di dunia.

Peminat mula berpendapat bahawa Ronaldo sudah boleh digelarkan sebagai si kuda tua yang tidak mampu bertahan lama.

Keputusan Juventus menandatangani kontrak selama empat tahun adalah satu keputusan berani dari pihak pengurusan memandangkan usia Ronaldo pada hari ini sudah mencapai 33 tahun.

Dalam tempoh tersebut, apakah beliau mampu untuk bersaing dengan pemain-pemain muda di Eropah khususnya dalam saingan Serie A.

Perpindahan ke Juventus akan menjadi ujian paling besar di akhir kariernya sebagai pemain bolasepak.

4. Peningkatan kualiti pasukan di Serie A


Jika di Sepanyol, Ronaldo boleh mendabik dada apabila beliau hanya perlu mendepan dengan dua pasukan gergasi iaitu Barcelona dan Atletico Madrid.

Tetapi di Itali, pasukannya bukan calang-calang.

Kegagalan pasukan yang mewakili Itali (selain Juventus) dalam saingan peringkat domestik menjadi salah satu faktor utama merudumnya perkembangan bolasepak Itali dalam beberapa tahun terakhir ini.

Namun, pada hari ini mereka sudah mula bangkit dan memperkemaskan pasukan masing-masing.

Situasi itu memberi gambaran yang positif mengenai perkembangan pasukan-pasukan dalam saingan Serie A.

Inter Milan sedang giat mendapatkan ramai pemain-pemain baru untuk memperkuatkan pasukan di musim hadapan.

Tidak kurangnya Napoli, sejak dibawah bimbingan Carlo Ancelotti, prestasi pasukan itu dilihat semakin positif dan mampu menjadi persaing hebat dalam saingan Liga

AS Roma juga dilihat lebih matang dibawah sentuhan Eusebio Di Francesco.

Mengakhiri musim di tempat ketiga dalam saingan Serie A dan berjaya mara sehingga peringkat separuh akhir dalam kejohanan Liga Juara-Juara musim lalu memberi gambaran bahawa pasukan Giallorossi itu sedang berada diprestasi yang terbaik.

Lazio dengan Simone Inzaghi juga tampil lebih konsisten dalam dua musim terakhir ini, manakala  AC Milan pula sedang berusaha untuk bangkit memperbaiki prestasi mereka dengan bantuan Gennaro Gattuso.

Sudah tentu, peningkatan beberapa pasukan ini memberi persaingan hebat buat Juventus dalam perebutan gelaran liga.

5. Berdepan persaingan hebat di Juventus


Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri telah berjaya membuatkan nama Juventus kembali digeruni pasukan lain.

Meskipun gagal membantu Juventus menjulang trofi Liga Juara-Juara, usaha Allegri itu harus diberi pujian.

Diperkuatkan dengan ramai pemain berkualiti pada musim lalu, Juventus boleh dianggap salah satu pasukan yang perlu diberi perhatian dalam setiap kejohanan.

Musim hadapan, Juventus bakal tampil dengan lebih kuat apabila berjaya mendatangkan Ronaldo.

Disebalik berita gembira itu, Allegri merupakan individu yang paling rusing ketika ini.

Beliau harus berfikir bagaimana untuk menggunakan sebaiknya para pemain  yang sedia ada.

Bagi Ronaldo pula, beliau bakal berdepan tugas berat untuk bersaing dengan beberapa pemain hebat di Juventus.

Jika di Real Madrid, tidak ramai pemain yang mampu bersaing merebut tempat di posisi serangan pasukan.

Mereka hanya memiliki Gareth Bale, Karim Benzema dan Lucas Vázquez di jentera serangan.

Sebaliknya di Juventus, beliau harus bersaing dengan Paulo Dybala, Mario Mandžukić, Federico Bernardeschi, Gonzalo Higuaín, dan Douglas Costa.

Penutup

Sedang dunia memberi perhatian kepada kejohanan Piala Dunia yang berlangsung di Rusia.

Cristiano Ronaldo telah membuat kejutan dengan berita perpindahan beliau ke Juventus.

Peminat pasti tidak sabar menanti apakah yang mampu disumbangkan Ronaldo kepada kelab berpangkalan dari Turin itu.

Dalam tempoh empat tahun di Juventus, Ronaldo harus membuktikan bahawa beliau adalah pemain paling hebat pernah dilahirkan dalam sejarah bolasepak.

Jika beliau mengakhiri karier di Juventus dengan jayanya, beliau akan diangkat sebagai pemain yang paling berjaya mengharungi cabaran dalam tiga saingan liga terbaik di dunia iaitu Premier League, La Liga dan Serie A.

Tetapi apa yang akan berlaku jika sebaliknya. Anda sendiri boleh fikirkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN