5 Sebab Mauricio Pochettino Tak Sesuai Jadi Pengurus Manchester United

Nama Mauricio Pochettino kini hangat dikaitkan dengan bakal menjadi pengurus Manchester United, selepas pihak kelab memecat Ole Gunnar Solskjaer.

Walaupun United mengambil masa yang agak lama untuk melepaskan pengurus kesayangan pasukan lawan itu, namun mereka akhirnya terpaksa memecat pengurus dari Norway itu selepas kelab berdepan deretan kekalahan yang memalukan.

Red Devils telah dikaitkan dengan ramai nama-nama besar dalam dunia bola sepak seperti, Ralf Rangnick, Zinedine Zidane, Erik Ten Hag, Brendan Rodgers dan Mauricio Pochettino.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu sepertinya bakal menjadi calon kegemaran untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus United yang baharu.

Beliau sendiri sudah menyatakan minatnya untuk menerima tawaran sebagai pengurus United, dengan pihak kelab juga sememangnya berhasrat untuk mengajak Pochettino berunding.

Manchester United sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat pengurus dari Argentina itu, dengan hal itu telah dinyatakan sendiri oleh Sir Alex Ferguson pada tahun 2016 yang lalu.

Pochettino mengakui yang beliau merupakan peminat setia legenda terhebat sepanjang zaman United itu, dengan Sir Alex Ferguson sendiri turut mahu melihat pengurus PSG itu mengendalikan Red Devils.

Dengan rekod yang meyakinkan selepas beliau memiliki pengalaman luas dalam bola sepak Inggeris, dan keinginan beliau untuk jadi sebahagian dari United, Pochettino mungkin calon paling layak.

Walau bagaimanapun, masih ada alasan yang perlu difikirkan oleh Manchester United sebelum melantik Pochettino sebagai pengurus kelab.

Ada alasan yang sangat masuk akal untuk United fikirkan dan percaya yang Pochettino bukan calon pengurus yang mereka cari untuk projek jangka masa panjang.

Berikut merupakan lima sebab mengapa Pochettino tak sesuai untuk menjadi pengurus Manchester United untuk projek jangka masa panjang.

5. Dari segi pungutan Piala, rekod Pochettino langsung tidak meyakinkan

Kritikan terbesar yang sering dilemparkan kepada Pochettino adalah kegagalan beliau untuk memenangi piala.

Walaupun beliau berjaya membina skuad mantap ketika kariernya bersama Tottenham Hotspur, namun beliau tidak mempunyai kejuaraan untuk membuktikan kehebatan skuadnya.

Pencapaian terbaik beliau adalah ketika membawa Tottenham Hotspur ke aksi perlawanan akhir Champions League pada tahun 2019, dan mengakhiri saingan Premier League di kedudukan kedua pada musim 2016/17.

Pochettino turut tewas dalam tiga dari empat aksi separuh akhir sepanjang kariernya bersama Tottenham Hotspur, termasuk aksi perlawanan akhir Carabao Cup ketika musim pertamanya bersama kelab.

Piala pertama beliau adalah ketika bersama Paris Saint Germain pada awal tahun lalu, dan ia adalah piala pertama beliau selepas 12 tahun terlibat dengan dunia pengurusan.

Yang mana hal ini juga menjadi sebab mengapa Ole Gunnar Solskjaer dipecat selepas beliau tiga tahun mengendalikan United dengan tidak memenangi sebarang kejuaraan.

Red Devils sukar untuk memenangi sebarang gelaran bersama Solskjaer dengan pencapaian terbaiknya adalah mara ke aksi perlawanan akhir Europa League tahun lalu.

Solskjaer juga tewas empat kali dalam aksi peringkat separuh akhir bersama Man United.

4. Rekod Pochettino sebagai pengurus tidak begitu memuaskan

Walaupun beliau berjaya mengharungi lima musim yang gemilang bersama Tottenham Hotspur, era Pochettino berakhir dalam tempoh yang singkat.

Mungkin kejayaan Spurs mara ke aksi perlawanan akhir Champions League pada tahun 2019 mengaburi mata peminat tentang teruknya rekod beliau dalam saingan Premier League pada ketika itu.

Tottenham Hotspur tewas lapan dari 12 perlawanan terakhir dalam saingan Premier League, dengan mereka hanya mampu mencatatkan dua kemenangan sahaja dari tiga perlawanan terakhir liga.

Aksi longlai mereka berterusan hingga musim berikutnya, dengan Spurs hanya menang tiga sahaja dari 12 perlawanan awal dalam saingan liga.

Ketika Tottenham Hotspur berada di kedudukan ke-14 dalam carta saingan liga, pihak kelab akhirnya memutuskan untuk memecat Mauricio Pochettino.

Terbaru, skuad PSG yang dikendalikan oleh beliau turut terlepas gelaran Ligue 1 kepada Lille, namun agak tidak adil untuk menyalahkan beliau tentang hal tersebut.

Ia kerana Pochettino hanya menyertai Paris Saint Germain separuh musim sahaja selepas beliau menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat pada ketika itu.

Musim ini PSG kembali mendominasi saingan Ligue 1 dengan mereka ketika ini berada di puncak saingan liga dengan kelebihan 11 mata.

Namun walau beliau berjaya membawa PSG dengan sangat cemerlang musim ini, beliau tetap dikritik atas corak permainan dan aksi kelab yang dilihat terlalu bergantung kepada persembahan individu sahaja.

Dipendekan cerita, selepas kekalahan bertemu Liverpool pada tahun 2019, aksi skuad yang dikendalikan oleh Mauricio Pochettino terus merosot dan ia adalah satu hal yang perlu difikirkan oleh Manchester United.

3. Bimbang Pochettino akan ada masalah dengan pimpinan kelab

Mauricio Pochettino berpotensi untuk ada masalah dengan pimpinan kelab dengan beliau ada rekod tidak baik dengan ahli lembaga pengarah.

Pengurus dari Argentina itu pernah bergaduh dengan pemilik Tottenham Hotspur, Daniel Levy pada penghujung musim ketika akhir kariernya di London.

Pochettino dilaporkan bengang dengan pimpinan kelab kerana terlalu kedekut untuk keluarkan dana, dan beliau juga turut bertekak atas beberapa isu lain di luar padang.

Terbaru, beliau turut mempunyai masalah dengan sporting director PSG, Leonardo Araujo yang mana beliau menganggap sukar untuk diajak bekerjasama.

Sementara itu, vice chairman United, Ed Woodward pula tidak mempunyai rekod yang baik dengan pengurus sepanjang era Louis Van Gaal dan Jose Mourinho.

Woodward juga merupakan individu yang merosakkan perancangan United untuk mendapatkan Jurgen Klopp pada tahun 2014 lalu, selepas menganggap Old Trafford sebagai Disneyland versi dewasa.

Pochettino sememangnya lantang dan tidak takut untuk bersuara, jadi beliau berkemungkinan akan ada masalah dengan pimpinan kelab seandainya kemahuan beliau tidak dituruti.

Jadi United perlu memikirkan juga hal tersebut, supaya tidak berlaku apa-apa hal yang tidak diingini kemudian hari.

4. Mauricio Pochettino sukar untuk menguruskan pemain bintang

Memiliki Neymar, Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam skuad, ia jelas impian menjadi kenyataan untuk seseorang pengurus.

Namun ia juga sebenarnya satu cabaran untuk Pochettino, dengan beliau dilaporkan berdepan kesukaran untuk mengendalikan nama-nama besar yang ada dalam skuadnya.

Dari sedekad lebih karier beliau Sebagai pengurus, karier bersama PSG merupakan cabaran sebenar untuk Pochettino kerana beliau menguruskan deretan pemain bintang.

Beliau sendiri baru-baru ini turut menyuarakan tentang kesukaran yang beliau hadapi untuk menguruskan nama-nama besar dan ego pemain yang ada dalam skuadnya.

Semua mata tertumpu kepadanya pada awal musim ini kerana beliau berani mengeluarkan Messi ketika PSG sedang cuba untuk melakukan comeback.

Pemain terhebat dunia itu sendiri sepertinya tidak gembira dikeluarkan dengan para peminat seluruh dunia turut mengecam Pochettino kerana membuat keputusan tersebut.

Dengan beliau perlu berdepan pemain bermasalah seperti Paul Pogba dan bintang besar seperti Cristiano Ronaldo di Old Trafford, sepertinya Pochettino akan berdepan dengan masalah yang sama.

Barisan pemain di PSG dan Manchester United tidak sama dengan Tottenham Hotspur yang mana Pochettino ketika bersama Spurs, beliau tidak berdepan dengan semua hal seperti ini.

1. Pochettino tidak setaraf pengurus hebat dalam saingan Premier League

Tidak dinafikan lagi yang Mauricio Pochettino merupakan salah seorang pengurus terbaik dalam dunia bola sepak, namun masalah utama adalah Man Utd akan beraksi bertemu barisan pengurus terhebat dalam dunia hari ini.

Walaupun pernah melalui karier hebat bersama Southampton dan Tottenham Hotspur, agak sukar untuk menganggap Pochettino setaraf dengan Pep Guardiola, Jurgen Klopp, Antonio Conte dan Thomas Tuchel.

Kesemua nama disebut bersama Diego Simeone dan Zinedine Zidane merupakan antara nama-nama besar dalam dunia pengurusan pada hari ini.

Legenda Perancis itu telah disebut-sebut sebagai calon pengganti untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini, namun beliau sama sekali tidak berminat untuk menerima tawaran tersebut.

Sepertinya hanya Pochettino yang ada untuk United pilih pada ketika ini, dan kerana bola itu bulat, segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata.

Siapa tahu Pochettino akan berjaya untuk menempatkan dirinya sebaris dengan kesemua nama pengurus terbaik dunia selepas memimpin Man Utd nanti.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply