5 Sebab Liverpool Harus Tenang & Tetap Yakin Kejuaraan Premier League Milik Mereka Sekali Lagi

Tiga perlawanan sebelum ini yang berkesudahan dua seri dan satu kekalahan nyata memberikan impak kepada kedudukan Liverpool di saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Selepas bergelar juara Natal, dan mendahului carta kedudukan Premier League selama beberapa minggu, Liverpool akhirnya telah dipintas oleh seteru mereka Manchester United pada awal pagi tadi.

Ia berikutan kejayaan Manchester United menewaskan Burnley 1-0 di Turf Moor pada awal pagi tadi, yang melonjakkan skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer ke persada liga dengan 36 mata, untuk memastikan Man United memiliki kelebihan tiga mata menuju derbi barat laut pada hujung minggu ini.

Situasi tersebut bukanlah perkara biasa bagi kebanyakkan penyokong Liverpool sejak dua musim terakhir ini. Bagi penyokong Manchester United pula, nostalgia dominasi selama 27 tahun kini ibarat telah kembali.

Namun situasi tersebut tidak sepatutnya membuatkan Liverpool khususnya penyokong mereka cemas dan gundah gulana. Berikut adalah antara sebab utama mengapa mereka perlu yakin Premier League tetap menjadi milik mereka musim ini.

1. In Klopp we trust

“In Klopp we trust” kata kebanyakkan penyokong Liverpool. Kata-kata semangat ini sebenarnya amat berguna pada saat ini.

Berbanding Ole Gunnar Solksjaer, pengurus dari Jerman itu adalah pengendali yang jauh lebih berpengalaman.

Sebelum menyertai Liverpool, beliau pernah bergelar pengurus kepada Mainz dan Borussia Dortmund.

Malah sepanjang bersama Dortmund, beliau pernah membawa kelab itu muncul juara Bundesliga selama dua musim berturut-turut iaitu pada musim 2010/11 dan 2022/12 untuk memecahkan dominasi Bayern Munich.

Solksjaer pula pernah gagal bersama Cardiff City dalam musim serba tidak kena, sebelum mengendalikan kelab kerdil, Molde di Norway.

Jika ada pun kelebihan Solksjaer berbanding Klopp ialah kerana beliau pernah bergelar pemain Manchester United dan sangat masak dengan selok belok persaingan dari perspektif pemain.

Tetapi dalam persaingan sebegini bukankah strategi dan taktikal jurulatih yang lebih penting. Ada sebab mengapa Klopp diundi sebagai jurulatih terbaik dunia dalam majlis FIFA baru-baru ini.

2. Liverpool miliki skuad lebih dominan

Kota Rom tidak dibina dalam satu hari. Kami yakin anda faham akan maksud kata bidalan ini. Begitu juga dengan Manchester United.

Sejak tiba selaku pengganti Jose Mourinho pada Disember 2018, tidak boleh dinafikan terdapat kemajuan telah dilakukan oleh Solksjaer di Man United.

Namun setiap kemajuan yang dilakukan tidak semestinya akan terus memberikan pulangan segera. Pada musim penuh pertamanya pada musim lalu,

Solskjaer dan Man United hanya berjaya mengesahkan tempat ke Champions League pada hari terakhir saingan LIga Perdana Inggeris dan mengakhiri saingan di kedudukan ketiga.

Harus diingat musim ini Man United bermula dengan buruk sebelum berjaya membina momentum. Di sebalik momentum positif tersebut, Man United masih tidak lari dari komen-komen yang menyatakan mereka belum bersedia untuk bergelar juara Inggeris.

Kenyataan ini benar. Di sebalik keyakinan penyokong mereka, skuad Man United pada hari ini bukannya ‘finished article’. Masih banyak penambahbaikkan perlu dilakukan. Skuad ini juga masih memerlukan beberapa pemain di dua atau tiga posisi utama.

Klopp mengambil masa selama tiga tahun untuk kejuaraan pertamanya bersama Liverpool dan membina sebuah pasukan Liverpool yang serba serbi lengkap dan berkelas dunia. Lima pemain dicalonkan untuk anugerah FIFA Best 2020 cukup untuk menjelaskannya.

Atau perlukan kita ingatkan bahawa Sir Alex Ferguson turut mengambil masa selama tiga tahun untuk membina dinasti selama 26 tahun di Liga Perdana Inggeris?

3. This is Anfield

Keputusan seri menentang West Brom – kali terakhir Liverpool beraksi di Anfield – adalah keputusan yang sukar diterima. Ia adalah keputusan yang membuatkan hati dan jiwa penyokong Liverpool pedih kerana ia berlangsung di tempat sendiri.

Namun di sebalik persembahan yang sedikit mengecewakan itu – perlawanan pertama Sam Allardyce yang menjadi pembimbing Wrst Brom – terdapat fakta yang amat menakjubkan, dan harus menimbulkan aura positif untuk Liverpool.

Liverpool kini sudah tidak tewas selama tiga tahun penuh di Anfield. Ia bersamaan dengan 1085 hari.

Mengambil kira setiap pasukan di Liga Perdana Inggeris pada musim ini sudah pernah tewas sekurang-kurangnya sekali, ia adalah rekod yang wajar dibanggakan.

Anfield sememangnya sentiasa menjadi kubu kuat buat Liverpool. Tanpa atau dengan penyokong, Anfield sentiasa memberi igauan buat lawan. Hujung minggu ini giliran Manchester United pula akan diuji.

Jika kekal tidak tewas pada musim ini, Liverpool akan merekodkan 78 perlawanan tanpa kalah di tempat sendiri. Dalam musim yang pelik ini, ia mungkin sudah cukup untuk memastikan kejuaraan kekal di Merseyside.

4. Kembalinya bintang utama

Musim ini Liverpool dikatakan dilanda krisis kecederaan. Mereka sebelum ini telah kehilangan Virgil Van Dijk. Fabinho menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Van Dijk namun selepas hanya 3 perlawanan pemain ini pula mengalami kecederaan hamstring strain ketika bertemu FC Midtjylland. Fabinho hanya sempat bermain 30 minit dalam perlawanan ke-2 Liga Juara Eropah itu.

Jurgen Klopp merombak barisan pertahanan utamanya dengan menggunakan Joel Matip yang baru pulih dari kecederaan untuk berpasangan dengan Joe Gomez. Malangnya Gomez cedera ketika bersama skuad England. Dalam perlawanan menentang Southapton yang berakhir dengan kekalahan kepada Liverpool, Klopp terpaksa bergantung kepada gandingan Jordan Henderson dan Fabinho di bahagian pertahanan.

Di sebalik krisis tersebut, Liverpool masih lagi mampu memberikan persaingan secara kompetitif di kelompok atasan liga. Tidak semua pasukan mampu berbuat demikian.

Kini satu persatu pemain dan bintang utama mereka telah kembali. Thiago Alcantara telah mulai beraksi sejak dua perlawanan lalu. Manakala Joel Matip dan Diogo Jota juga dijangka akan kembali cergas pada Januari ini.

Selain Gomez dan Van Dijk, Klopp dijangka akan mendapat kembali khidmat pemain-pemain lain menjelang Februari akan datang. Bayangkan ke manakah pemain-pemain ini akam memacu Liverpool selepas ini?

5. YNWA

Antara perkara lain yang membuatkan Liverpool sebagai sebuah kelab bola sepak yang istimewa adalah kerana penyokong mereka yang sentiasa bersungguh-sungguh di belakang pasukan mereka – walaupun gagal meraih sebarang kejuaraan liga sejak 29 tahun yang lalu.

You’ll Never Walk Alone adalah lagu tema kepada Liverpool. Tetapi ia bukan sekadar nyanyian. Ia adalah simbol kesetiaan dan semangat kebersamaan luar biasa yang ditanam oleh penulis lirik lagu tersebut, Oscar Hammerstein II dan digubah bersama Richard Rodgers pada 1945.

Disebabkan maksud tersirat di sebalik lagu ini,  Liverpool sentiasa membalas kepercayaan penyokong-penyokong mereka yang tidak pernah berpaling tadah taat setia kepada kelab – dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama sejak ia diperbaharui pada 1992 pada musim lalu.

Dan kini dengan semangat YNWA yang sama, Liverpool sudah pasti mahu menghadiahkan kejuaraan kedua-dua berturut-turut – tanda dominasi sebuah dinasti bola sepak baharu di England.

Penutup

Bagaimana dengan penyokong Liverpool di Malaysia? Anda yakin kelab kesayangan anda akan bergelar juara Liga Perdana Inggeris pada penghujung musim nanti.

Anda mempunyai sebab lain untuk optimis? Kongsikan dengan kami di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

 

Baca artikel lain kami mengenai Liverpool dan Man United:

Sejarah Permusuhan Manchester United Dengan Liverpool

Statistik: Merungkai Jumlah Penalti Kelab-Kelab Premier League Sejak 1992

9 Pemain Liverpool Yang Belum Pernah Dinodai Oleh Kekalahan Di Anfield

6 Buah Kelab Yang Tidak Pernah Tersingkir Dari Premier League Sejak 1992

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN