5 Perkara Mengenai Bintang Baharu Arsenal, Sead Kolasinac Yang Anda Perlu Tahu!

Sead Kolasinac adalah pemain pertama yang dibawa masuk oleh Arsene Wenger sebagai sebahagian dari langkah pengendali dari Perancis itu untuk menambahbaik kualiti skuad Arsenal musim ini.

1 gol dalam perlawanan Community Shield dan 1 bantuan gol dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris adalah rekod yang sangat baik buat seorang pemain pertahanan.

Sead Kolasinac turut mendapat kritikan bekas pertahanan Manchester United, kini pengulas sukan bersama Sky Sports. Neville menyifatkan Kolasinac sebagai pemain yang tidak mempunyai tanggungjawab!

Disebalik gaya rambut kemas yang dimiliki oleh Sead Kolasinac, sumbangan yang mengkagumkan dalam 2 perlawanan kompetitif Arsenal dan juga kritikan dari Gary Neville, kami membawa pembaca kami untuk mengenali lebih dekat siapakah Sead Kolasinac.

Berikut kami tampilkan 5 perkara yang anda wajib tahu mengenai pemain Arsenal ini.

1. Berasal dari keluarga kelas pekerja

Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan platform terbaik untuk seorang pemain bola sepak profesional mengejar kemahsyuran dan sudah tentu juga kekayaan.

Kisah bagaimana seorang pemain bola sepak yang berasal daripada keluarga miskin dan mencipta nama di bola sepak juga bukan merupakan perkara baharu. Bola sepak merupakan bidang dan profesion yang menjanjikan kesenangan kepada mana-mana pemain yang sanggup bekerja keras.

(Photo by Thorsten Wagner/Bongarts/Getty Images)

Sead Kolosinac tidak terkecuali. Pemain kelahiran Jerman-Bosnia ini berasal daripada keluarga kelas pekerja.

Ayah kepada Sead, Faik Kolasinac adalah seorang pekerja industri, memerah keringat di kilang pembuatan kereta jenama Mercedez di Jerman ketika Sead dilahirkan.

Faik sebenarnya dilahirkan di Serbia dan Montenegro dan keluarganya berpindah ke Bosnia Herzegovina pada 1969. Ketika itulah, Faik bertemu dengan ibu kepada Sead.

Melalui susur galur keluarganya, Sead Kolasinac dan seluruh keluarganya juga beragama Islam.

2. Pemain serba boleh dan versatiliti

Bola sepak moden pada hari ini jelas bereza dengan cara ia dimainkan sedekad yang lalu. Ia menuntut pemain untuk menguasai lebih dari satu posisi untuk memenuhi kehendak taktikal pasukan.

Sead Kolisinac mempunyai pakej untuk memenuhi tuntutan bola sepak moden pada hari ini. Kepakaran dan posisi utama Sead Kolasinac adalah sebagai bek kiri.

Tetapi pemain berusia 23 tahun ini juga mampu bermain sebagai pertahanan tengah, pemain tengah kiri dan juga sebagai bek sayap kiri.

(Photo by James Baylis – AMA/Getty Images)

Sepanjang kariernya di peringkat pembangunan, Kolasinac telah dibentuk sebagai pakar pertahanan tanpa mengira posisi beliau ditempatkan.

Susuk tubuh yang sasa dan kepantasan larian merupakan aset buat pemain antarabangsa Bosnia Herzegovina ini.

Melalui pemerhatian kami ketika beliau masih beraksi bersama Schalke 04 di Bundesliga, Kolasinac merupakan seorang pemain pertahanan yang tidak segan silu untuk melakukan terjahan dan melakukan larian dari sebelah sayap kiri pasukan untuk melakukan serangan.

Apa yang boleh penyokong Arsenal jangkakan dari permainan Kolasinac? Ya. Sudah tentu lebih banyak bantuan gol dan juga jaringan sepertimana yang dilakukan dalam perlawanan Community Shield ketika menentang Chelsea.

3. Kolasinac kaya pengalaman

Jika anda adalah seorang pemain muda dengan prospek yang baik, maka anda dijangka akan berpindah kelab selari dengan perkembangan bakat yang anda miliki.

Karier bola sepak Sead Kolasinac bermula seawal usia 8 tahun bersama kelab Karlsruher SC. Selepas 8 tahun, Kolasinac mengembangkan bakatnya bersama kelab Bundesliga, TSG 1899 Hoffenheim.

Hanya selepas semusim bersama Hoffenheim, Kolasinac lantas disunting oleh VfB Stuttgart. Kolasinac juga hanya bertahan selama semusim bersama Stuttgart sebelum menyertai Schalke untuk menumpukan karier di dalam skuad utama pasukan tersebut.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Di Veltins-Arena, Kolasinac tidak menoleh ke belakang lagi. Debut pertama bersama skuad utama Schalke tiba pada usia 18 tahun.

Malah Sead Kolasinac merupakan pemain termuda dalam sejarah Schalke yang pernah tampil dalam saingan Bundesliga sehingga ke hari ini.

4. Kolasinac pernah mewakili Jerman

Seperti juga bekas rakan sepasukannya di Schalke, Kevin-Prince Boateng, Kolasinac turut pernah mewakili 2 buah negara di peringkat antarabangsa.

Sebelum memilih untuk mewakili Bosnia Herzegovina di peringkat senior, Sead Kolasinac adalah anggota pasukan Jerman di peringkat umur.

Ketika bakat di zaman remajanya berkembang di Jerman, tidak hairanlah untuk melihat Kolasinac dipanggil untuk menganggotai pasukan Jerman B-18, B-19 dan juga B-20.

(Photo by Matthias Hangst/Bongarts/Getty Images)

Debut Sead Kolasinac bersama Bosnia Herzegovina ialah pada 2013, apabila Bosnia tewas 2-0 kepada Argentina yang turut membariskan Lionel Messi dalam satu perlawanan persahabatan.

Walaupun kedua orang tuanya berasal dari Bosnia Herzegovina, Kolasinac dilahirkan di Jerman selepas keluarganya  berhijrah ke negara tersebut pada masa itu.

Dilahirkan pada 20 Jun 1993 di Karlsruhe, Kolasinac dibesarkan di sebelah Barat Daya Jerman.

5. Penampilan di Piala Dunia

Ia adalah sesuatu yang membanggakan, juga sesuatu yang Sead Kolasinac ingin lupakan.

Pada Piala Dunia 2014, Bosnia Herzegovina membuat penampilan sulung dalam kejohanan terulung bola sepak dunia itu.

Kolasinac adalah antara pemain yang menyinar ketika membantu negaranya melalui pusingan kelayakkan.

(Photo by David Ramos/Getty Images)

8 kemenangan dari 10 perlawanan pusingan kelayakkan, melayakkan Bosnia ke Piala Dunia sebagai juara Kumpulan G zon Eropah, menafikan pasukan yang lebih berpengalaman seperti Greece dan juga Slovakia.

Namun demikian, Sead Kolasinac melalui pengalaman yang dirinya mahu lupakan sepanjang karier bola sepaknya.

Sead Kolasinac menjaringkan gol sendiri terpantas dalam sejarah kejohanan pada penampilan pertama negaranya dalam Piala Dunia. Kolasinac tidak bernasib baik apabila tertampan bola hantaran lintang Lionel Messi pada minit ke-3 perlawanan.

(Photo by Matthias Hangst/Getty Images)

Lionel Messi turut menjaringkan 1 gol dalam perlawanan yang dimenangi oleh Argentina dengan jaringan 2-1.

Tewas perlawanan kedua menentang Nigeria dengan jaringan 1-0, Kolasinac membantu Bosnia Herzegovina bangkit membenam Iran 3-1 dalam perlawanan terakhir saingan Piala Dunia peringkat Kumpulan F.

Namun 3 mata tidak mampu membawa Kolasinac dan Bosnia mara ke pusingan seterusnya.

Sumber:

1. FIFA.Com: FIFA World Cup 2014 Matches; http://www.fifa.com/worldcup/archive/brazil2014/matches/index.html

2. Jeremy Wilson, The Telegraph (2017): ‘Bosnian Hulk’ Sead Kolasinac hints at future cult figure status at Arsenal; http://www.telegraph.co.uk/football/2017/08/06/bosnian-hulk-sead-kolasinac-hints-future-cult-figure-status/

3. Chris Wheatley and Robin Haack, Goal (2017): WHO IS ARSENAL’S NEW SIGNING SEAD KOLASINAC?; http://www.goal.com/en/news/who-is-arsenals-new-signing-sead-kolasinac/qrvf18hlohie123oavolo02ki

4. Oliver Yew, Sky Sports (2017): Who is Arsenal’s new signing Sead Kolasinac?; http://www.skysports.com/football/news/11095/10878964/who-is-arsenals-new-signing-sead-kolasinac

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN