5 Perkara Perlu Ole Gunnar Solskjaer Ubah Untuk Selamatkan Skuadnya

Ole Gunnar Solskjaer perlu ubah lima perkara ini, dalam usahanya untuk menyelamatkan Manchester United dari terus berdepan dengan kekalahan.

Manchester United tidak dinafikan lagi sememangnya antara kelab terbesar dalam dunia bola sepak, namun mereka pada ketika ini sedang berdepan dengan krisis prestasi yang agak parah.

Semua mata jelas tertumpu ke arah pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer yang dikatakan menjadi punca utama kepada kemerosotan prestasi Red Devils pada ketika ini.

Pengurus dari Norway itu dikatakan sering melakukan uji kaji dan masih gagal untuk menemui taktikal serta kesebelasan terbaiknya untuk digunakan.

Ia bakal menjadi satu pencapaian yang mengagumkan andai Solskjaer berjaya untuk menyelesaikan masalah United pada ketika ini, dan memastikan mereka akan kembali menemui rentak kemenangan.

Hal ini jelas sekali kerana United sememangnya mempamerkan aksi persembahan yang sangat teruk sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Red Devils memiliki skuad yang dibarisi oleh barisan pemain berkelas dunia, namun ketika beraksi, mereka dilihat serba serbi kekurangan, terutama ketika bertahan.

Kebanyakan penyokong Manchester United sudah mula meminta kepada pihak kelab agar memecat Ole Gunnar Solskjaer dan menggantikan beliau dengan pengurus yang lebih berpengalaman dari segi taktikal.

Walau bagaimanapun, pimpinan kelab jelas masih mempercayai pengurus dari Norway itu, dan menegaskan yang tiada sebab untuk Ole Gunnar Solskjaer dipecat.

Walaupun rekod persembahan United setakat beberapa perlawanan terakhir ini sangat teruk, namun pimpinan kelab merasakan Solskjaer telah menjalankan tugasnya dengan sangat baik.

Ole Gunnar Solskjaer pada ketika ini jelas sekali antara manusia paling tertekan dan terkesan dengan segala hal yang berlaku.

Beliau telah mula membina skuad terbaik United sejak dari awal ketibaannya, dan tentunya Solskjaer tidak mahu segala usahanya itu berakhir dengan sia-sia.

Untuk memastikan beliau mampu menyelamatkan United pada ketika ini, Ole Gunnar Solskjaer sepertinya perlu melakukan lima perkara ini.

5) Solskjaer perlu menggunakan skuadnya dengan lebih baik

Bercakap tentang pemilihan pemain, Harry Maguire jelas sekali tidak sepatutnya diturunkan ketika aksi bertemu Leicester City kemarin.

Beliau melakukan dua kesilapan yang menyebabkan gawang gol United dibolosi ketika aksi kekalahan 4-2 mereka di tangan The Foxes itu.

Melihat Maguire tidak berada di tahap persembahan terbaiknya, ia mungkin kerana beliau masih belum cergas sepenuhnya selepas dibelenggu masalah kecederaan sebelum ini.

Maguire juga baru sekali turun menjalani sesi latihan, dan Solskjaer sepatutnya memilih untuk menurunkan Eric Bailly berbanding memerah bintang England itu.

Tidak dinafikan juga yang beliau mungkin tidak mempercayai bintang Ivory Coast itu, namun Bailly sudah pasti pilihan yang lebih baik berbanding Maguire.

Pengurus Manchester United itu kerap kali mengubah kesebelasan utamanya dan hal itu senantiasa memberi kesan kepada persembahan dan keputusan perlawanan.

Beliau jelas sekali masih belum mempunyai kesebelasan terbaiknya dan kerap mengetepikan pemain seperti Bailly dan Donny Van de Beek.

Alex Telles juga merupakan seorang lagi pemain yang patut diberi minit permainan, dengan beliau sepertinya lebih berfungsi berbanding Shaw pada musim ini.

Shaw jelas tidak berada di tahap persembahan terbaiknya, dan beliau juga turut sering dibelenggu masalah kecederaan, jadi berbanding menurunkan bintang England itu, adalah lebih baik untuk Solskjaer beri ruang kepada Telles buktikan sesuatu.

Kesimpulannya, Solskjaer seharusnya mempercayai pemain yang beliau ada, dan gunakan mereka dengan sebaik mungkin.

4) Perlu lebih berkesan ketika menekan dan ditekan

Manchester United sememangnya menderita setiap kali mereka turun bertemu dengan pasukan yang mengamalkan permainan menekan dari atas.

Skuad Red Devils gagal untuk mengamalkan corak permainan build up dari bawah, yang mana mereka sering mengalami kesukaran ketika berdepan dengan pemain penyerang yang tak henti-henti menekan.

Lihat saja aksi bertemu Leicester City, gol pembukaan mereka dijaringkan hasil kesilapan Maguire yang gagal untuk melakukan build up dari bawah.

Lebih para lagi, Manchester United sering membenarkan pasukan lawan untuk memegang bola lebih lama di kawasan mereka, secara tak langsung mereka seolah-olah memberi ruang kepada pasukan lawan untuk lakukan build up dengan selesa.

Pemain tengah atau penyerang United sangat jarang menekan pemain lawan, atau berusaha untuk mematahkan serangan mereka sejak awal.

Mereka lebih memilih untuk kembali ke kawasan sendiri, dan menanti pasukan lawan untuk masuk ke kawasan mereka dengan sangat selesa.

Hal ini sangat bahaya kerana pasukan lawan boleh mencipta gerakan dan mencari ruang yang selesa untuk mereka masuk dan mencari gol.

Hal ini tidak berlaku seandainya Edinson Cavani berada di atas padang, kerana bintang Uruguay itu senantiasa menekan pemain lawan, dan tidak membenarkan mereka build up serangan dengan selesa.

3) Kekal gunakan ‘ball-winners’ di posisi defensive midfielder

Ole Gunnar Solskjaer sering dihentam teruk kerana gemar menggunakan Scott McTominay dan Fred di posisi tengah sebagai double pivot.

Ramai pihak mengkritik keputusan beliau itu kerana merasakan kedua-dua pemain itu tidak mampu untuk menyumbang baik kepada jentera serangan, mahupun kepada barisan pertahanan.

Tapi satu hal yang peminat harus faham, Manchester United lebih kental dan sukar untuk dibolosi seandainya dua pemain itu berada di atas padang, dan memainkan peranan mereka sebagai double pivot.

Fred boleh dikatakan antara pemain yang tak kenal erti penat dalam mengejar pemain midfield lawan, dan dengan kehadiran beliau di atas padang, ia sedikit membantu barisan pertahanan Red Devils dari segi intensiti.

McTominay perlu lebih berusaha untuk perbaiki kesedaran beliau dalam mencari ruang, namun pada ketika ini, beliau banyak memberi tenaga tambahan kepada skuad.

Seperti aksi bertemu Leicester City, gandingan Nemanja Matic dan Paul Pogba jelas tidak berfungsi dengan baik, dan boleh dikatakan ia gandingan yang teruk.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai keupayaan untuk memenangi bola semula, dan satu hal yang pasti, mereka tiada keserasian.

Satu hal yang pasti, Paul Pogba tidak seharusnya bermain di posisi defensive midfielder, dan buktinya, beliau gagal untuk mencipta sebarang tackle ketika beraksi bertemu Leicester kemarin.

Pemain kebangsaan Perancis itu tiga kali digelecek dan melakukan enam kekasaran secara keseluruhannya dalam perlawanan tersebut.

Beliau juga hanya mampu memenangi dua sahaja dari 13 perebutan bola dan 12 kali hilang penguasaan bola.

Tidak ada pasukan yang mampu mencatatkan kemenangan andai pemain midfield mereka beraksi seperti itu, dan walaupun gandingan ‘McFred’ dikecam teruk, mereka jelas lebih bagus untuk mengisi posisi tersebut.

2) Berhenti untuk terlalu bergantung kepada Cristiano Ronaldo

Tidak pasti sama ada tertulis atau tidak dalam kontrak Cristiano Ronaldo yang beliau perlu digunakan sepenuhnya dalam setiap perlawanan Manchester United.

Satu hal yang jelas dan pasti, namun mungkin sukar untuk diterima oleh peminat adalah, Ronaldo sebenarnya tak berguna ketika Manchester United tidak memiliki bola.

Beliau langsung tidak menekan dan ia jelas sekali bertentangan dengan work rate Edinson Cavani setiap kali beliau diturunkan untuk beraksi.

Ini merupakan masalah terbesar yang United sedang hadapi pada ketika ini, dengan pemain penyerang malas untuk mengasak pemain lawan, dan memberi mereka ruang yang cukup selesa untuk menyerang.

Ketika Ronaldo berada di atas padang, United sebenarnya telah memberikan ruang yang banyak dan sangat selesa untuk pasukan lawan build up serangan mereka dari bawah.

Semua bola juga akan dihantar terus ke arah Ronaldo, dan andai bola itu terlepas atau tidak sampai, United akan berdepan dengan ancaman yang lebih bahaya dari pasukan lawan.

Kerana tiada bantuan dari atas, pemain midfield akan terpaksa menutup segala kekosongan yang ada, dan menyebabkan pasukan lawan memiliki ruang yang cukup selesa untuk mereka melancarkan serangan.

Hal ini sangat sukar untuk dinafikan kerana United sering bolos atau diserang selepas mereka hilang penguasaan bola.

1) Sesuaikan pemain di posisi serangan mengikut kemampuan pemain

Manchester United pada musim lalu menunjukkan kemampuan mereka dalam melakukan serangan yang sangat menakjubkan dengan menggunakan jentera serangan tiga serangkai.

Dengan kehadiran Cristiano Ronaldo di atas padang dan pemain sayap pula sering berada di luar dari kawasan mereka, maka sistem serangan United terlalu mudah untuk dibaca.

Tidak kira sama ada Greenwood atau Sancho, mereka sememangnya mempunyai kemampuan dalam melakukan hantaran dan memiliki kualiti rembatan yang menakjubkan.

Ronaldo pula merupakan jenis pemain yang suka serang dari dalam kotak dan menunggu bola hantaran silang dari sayap.

Masalah utama United, kedua-dua Sancho dan Greenwood lebih gemar untuk cut inside atau melepaskan rembatan dari luar, maka sistem menggandingkan mereka dengan Ronaldo tidak sesuai.

Kini Marcus Rashford sudah kembali cergas dan boleh beraksi, Solskjaer seharusnya melakukan rotation di bahagian jentera serangannya.

Edinson Cavani, Rashford, Sancho Greenwood dan Martial merupakan pemain yang boleh mengubah sistem permainan dengan kemampuan masing-masing.

Seandainya Manchester United mahu bermain serangan pantas, mereka boleh menggunakan khidmat pemain ini yang sepertinya akan lebih berkesan.

Dengan bantuan dari Bruno Fernandes di belakang, maka jentera serangan United akan lebih mengancam andai mereka digunakan dengan betul.

Ronaldo digunakan untuk terima bola hantaran, dan pemain lain boleh digunakan andai mahu bermain sistem serangan pantas.

Oleh yang demikian, Ronaldo juga tidak perlu disalahkan kerana tidak memberi tekanan kepada pemain lawan, kerana beliau akan dimainkan mengikut gaya permainan yang beliau selesa, disamping gandingan yang tepat.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

  • rehatkan mcguire je…ronaldo de gea boleh jadi captain..bruno pun skali skala boleh rehatkan jugak cuba sancho,bruno masuk sub pulak ubah game..

Leave a Reply