5 Perkara Menarik Tentang Pembelian Saham TRW Oleh ZamSaham

Iklan

TRW ZamSaham

Usahawan burger dan pakar pelaburan saham, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham telah sah menjadi pemilik pasukan Kelantan FC selepas membeli sepenuhnya saham Team Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd, anak syarikat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuat kuasa serta merta.

Dalam majlis yang berlangsung di Kota Bharu itu, Norizam menjelaskan tindakannya menyelamatkan pasukan pantai timur tersebut bukanlah keputusan yang terburu-buru, sebaliknya beliau telah membuat kajian dan yakin ianya adalah satu pelaburan untuk jangka masa panjang.

1. Belanja RM6.8 juta

Norizam telah membeli 100 peratus saham syarikat dengan nilai RM3 juta dan memberikan ‘saguhati’ tambahan sebanyak RM3.8 juta untuk KAFA menyelesaikan sebahagian hutang tertunggak yang sedang ditanggung persatuan tersebut.

KAFA sebelum ini dilaporkan menanggung bebaban hutang dan tunggakan gaji pemain termasuk yang melibatkan kes FIFA serta tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau juga telah berpesan kepada para pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan Kelantan supaya tidak perlu bimbang lagi mengenai masalah tunggakan gaji yang telah sekian lama membelanggu mereka selama ini.

“Kalau pemain tak ada duit, beritahu saya. Tak payah kita perlu jual pemain, jual kepercayaan peminat, jumpa bookie dan sebagainya. Kalau tak ada duit jumpa saya, pakai Porsche saya pun tak apa. Janji jangan jual perlawanan dan tipu peminat,” tegasnya.

2. Bukan anak jati

Walaupun berasal dari negeri selatan tanah air, ia bukan penghalang untuk Norizam menjadi wira untuk menyelamatkan masa depan bola sepak Kelantan kerana baginya bola sepak adalah yang merentasi sempadan.

Baginya isu kenegerian yang sengaja dibangkitkan sesetengah pihak tidak sepatutnya timbul pada zaman ini.

“Tak ada isulah. Vincent Tan beli Cardiff City tak ada orang marah pun. Kalau yang main dekat JDT [Johor Darul Ta’zim] pun boleh ada pemain Kelantan, apa salahnya. Saya cuma harap pemain dan peminat boleh terima saya sebagai pemilik.”

3. Keuntungan jangka masa panjang

Menurut Norizam yang sudah lama berkecimpung dalam bidang pelaburan, nilai syarikat bukan bergantung pada untung dan rugi walaupun ia perlu diambil kira oleh seseorang usahawan.

Bagaimanapun bagi beliau, apa yang penting adalah untuk melihat keuntungan dalam tempoh jangka panjang. Usahawan berusia 39 tahun itu yakin pembelian TRW merupakan satu cabaran positif buatnya dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan.

“Saya dah melabur 20 tahun dan saya membuat keputusan dari segi masa depan. Saya tak berharap bila saya ambil alih pasukan Kelantan, saya akan dapat pulangan esok. Saya tahu saya tak untung apa-apa buat masa ini. Dalam bulan akan datang pun sudah tentu saya akan rugi.

“Tapi kalau saya nakkan pulangan, saya kena berkorban. Tidak ada hasil tanpa pengorbanan dan sebab itu saya perlu positif. Tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang adalah untuk kembalikan keyakinan peminat. Buat masa ini, kita perlu bina keyakinan pemain kepada pengurusan baru, peminat pun kena yakin dengan pengurusan baru.

“Saya juga mempunyai perancangan berusaha untuk mendaftarkan syarikat TRW Sdn.Bhd dalam pasaran saham Malaysia (bursa) bagi menggerakkan pasukan Kelantan FC dan syarikat,” katanya kepada Bernama

4. Tarikan peminat fanatik

Norizam mengakui, antara faktor beliau memilih Kelantan adalah disebabkan kehebatan dan aura penyokongnya. Jika dilihat kembali ketika zaman kegemilangan The Red Warriors, penyokong mereka akan sentiasa memenuhi stadium sekalipun beraksi di gelanggang lawan. 

“Saya dah buat kajian, Kelantan adalah pasukan yang paling unik di Malaysia kerana mempunyai sokongan nombor satu di Malaysia, nombor dua adalah Kedah dan ketiga adalah JDT,” katanya.

“Jadi kita perlu fokus, tidak boleh hampakan peminat, sebab ini adalah sukan negeri. Sebab itu, Kelantan perlukan pengurusan yang stabil dan dalam 5 hingga 10 tahun tidak mustahil boleh disegani semula.

“Kita juga kekalkan identiti dan tradisi pasukan Kelantan buat masa ini. Tapi kita akan bincangkan juga, mungkin akan buat sedikit perubahan.”

5. Pemisahan kuasa

KAFA, yang sebelum ini mempunyai saham sebanyak 20 peratus dalam syarikat TRW Sdn Bhd, tidak lagi menguruskan pasukan Kelantan FC selepas ini kerana kuasa untuk menentukan hala tuju pasukan kini sepenuhnya di tangan Norizam.

Namun KAFA masih bertanggungjawab untuk menguruskan program pembangunan seperti skuad Piala Presiden, Piala Belia dan lain-lain perkara yang tidak berkaitan pasukan Kelantan FC.

Penutup

Perkembangan terbaru ini sudah tentu memberi kelegaan buat semua pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan Kelantan. Namun KAFA tetap perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan pada masa akan datang terutamanya perkara-perkara yang melibatkan pengurusan kewangan.

Apa yang telah berlaku sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran dan diharapkan dengan pemilik baharu ini, semoga pasukan Kelantan kembali cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Kredit Foto: Kelantan FA

Baca juga artikel kami yang lain mengenai bola sepak Kelantan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram