5 Perkara Kemenangan JDT Ke Atas Ratchaburi FC Di ACL 2021

Safiq Rahim Leandro Velazquez JDT Ratchaburi ACL 2021

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menewaskan wakil Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC dengan keputusan 1-0 dalam aksi kedua AFC Champions League (ACL), malam tadi.

Gol kemenangan JDT hadir pada minit ke-47 menerusi ledakan indah oleh perancang tengah, Leandro Velazquez selepas membuat turning dan percubaan kaki kiri ke bucu gol Ratchaburi membuatkan penjaga gol, Kampol Pathomakkakul hanya terpaku.

Itu merupakan satu-satunya gol yang terhasil walaupun JDT mencipta tujuh percubaan tepat sepanjang 90 minit permainan. Kecemerlangan Pathomakkakul jadi sebutan.

Kampol Pathomakkakul pemain kedua tertinggi rating

Penjaga gol berusia 28 tahun itu menjadi penghalang kepada kemenangan besar juara tujuh kali berturut-turut Liga Super Malaysia, JDT. Daripada tujuh percubaan tepat JDT, enam daripadanya telah dinafikan oleh Pathomakkakul di gawang gol Ratchaburi.

Ini bermakna, hampir semua peluang boleh gol yang dimiliki Harimau Selatan berjaya dinafikannya bermula dengan sepakan penalti oleh Bergson da Silva pada minit ke-28.

Selain Bergson yang dikecewakannya sebanyak empat kali, percubaan pemain gantian, Ramadhan Saifullah antara yang turut diselamatkannya di penghujung perlawanan.

Dengan rating 8.0 selepas perlawanan berakhir, Pathomakkakul adalah pemain kedua tertinggi selepas penyerang import JDT, Bergson yang merekodkan rating 8.1.

Bergson terus hampa memburu jaringan gol

Bergson terbang ke JDT dengan tiada pengharapan tinggi, sebagai pengganti kepada Camilo da Silva yang memutuskan untuk terus kekal bersama kelabnya di Liga Mexico, Mazatlan FC. Namun, impaknya dalam aksi awal liga sangat mengujakan semua.

Setakat 11 penampilan dan 927 minit permainan, Bergson meledak 11 gol – dua gol di belakang penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun. Tentunya harapan tinggi diletak kepadanya di ACL apabila mereka mengikatkan secara tetap pada Jun yang lalu.

Selepas dua perlawanan, Bergson masih gagal meledak sebarang gol. Dalam aksi ini, Bergson menghasilkan sembilan percubaan, di mana empat daripadanya adalah tepat. Malang sekali, empat percubaannya digagalkan Pathomakkakul di gawang.

Leandro tepis segala kritikan dengan gol kemenangan

Leandro Velazquez bukanlah poster boy buat penyokong JDT, malah beliau sentiasa dikritik kerana permainannya yang mungkin sedikit kaku. Ada yang mengatakan, lebih baik pengendali, Benjamin Mora membawa Gonzalo Cabrera berbandingnya.

Benar, aksi Leandro Velazquez di babak pertama agak kurang menjadi sebagaimana dalam aksinya sebelum ini sebelum jaringan di minit ke-47 hadir untuk menutup segala kritikan terhadapnya. Ia adalah jaringan kemenangan buat JDT dalam kempen kali ini.

Untuk rekod, jaringan tersebut menjadikannya pemain JDT yang telah meledak gol dalam enam pentas pertandingan yang berbeza bermula dengan Liga Premier, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala AFC dan terbaharu di pentas Champions League.

Azrif Nasrulhaq dalam kesebelasan utama

Kejutan berlaku apabila Mora menghantar senarai kesebelasan utamanya dengan satu perubahan dilakukan di posisi ‘mustahil’ berlaku iaitu di bek kiri yang menyaksikan Azrif Nasrulhaq tampil buat kali pertama sejak kali terakhir muncul pada musim 2019.

Sepanjang musim lalu, beliau langsung tidak beraksi dan begitu jugalah dalam 13 perlawanan Liga Super musim ini. Tidak dapat dipastikan mengapa Corbin Ong tidak turun beraksi dan paling mengejutkan, beliau juga tiada di bangku simpanan.

Aksinya tidaklah terlalu teruk walaupun beliau merekodkan rating terendah di kalangan empat pertahanan JDT, namun, beliau juga telah membuat empat hantaran jauh tepat dan beliau juga berjaya membuat dua halangan penting – ketiga tertinggi dalam aksi.

Safiq Rahim tiba di Champions League

Mungkin inilah detik yang dinanti oleh Safiq Rahim sepanjang kariernya. Beliau tampil dalam kesebelasan utama skuad JDT berdepan Ratchaburi FC di usia 33 tahun.

Dalam kekalahan berdepan Nagoya Grampus, beliau hanya dimasukkan menggantikan Afiq Fazail pada minit ke-66. Beliau memperbaiki kelemahan Afiq Fazail dengan membuat 84 peratus hantaran tepat berbanding 72 peratus oleh Afiq Fazail.

Dan ketika berdepan Ratchaburi, Safiq Rahim telah berjaya membuat tiga key passes sepanjang 73 minit bermain, malah membuat tiga percubaan ke gawang lawan – walaupun tersasar. Dengan rating 7.5 dalam perlawanan ini, ia sangat mengagumkan.

Penutup

Ini merupakan pertembungan pertama kelab dari Malaysia dan Thailand di peringkat kumpulan ACL dan JDT berjaya merekodkan kemenangan ke atas Ratchaburi untuk mereka naik ke kedudukan ke-2 Kumpulan G, menolak Pohang Steelers ke bawah.

Aksi berdepan Pohang Steelers pada Isnin amat penting dalam mengukuhkan posisi JDT apabila ketika ini mereka hanya di depan disebabkan perbezaan jaringan.

Baca lagi artikel lain mengenai JDT:

5 Perkara Dari Kekalahan JDT Kepada Nagoya Grampus

JDT v Ratchaburi, Pertembungan Kali Pertama Malaysia-Thailand Di Pentas ACL

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020â„¢ Dengan Astro Go Interactive Mode

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN