5 Perkara Daripada Pemecatan Frank Lampard Oleh Chelsea

Chelsea telah memecat pengurus pasukan, Frank Lampard selepas hanya 19 bulan mengendalikan pasukan itu, dengan The Blues kini menduduki kedudukan kesembilan Liga Perdana Inggeris.

Keputusan pemecatan tersebut tiba selepas Chelsea menewaskan Luton 3-1 di pusingan keempat Piala FA pada Ahad lalu.

Kekalahan 2-0 kepada Leicester pada Selasa minggu lalu bagaimanapun bermakna Chelsea hanya menang dua perlawanan daripada lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian bekas pemain tengah yang tiba sebagai pengganti Maurizio Sarri pada permulaan musim 2019/20.

1. Apa Chelsea kata mengenai pemecatan legenda mereka sendiri?

Pemilik kelab Roman Abramovich berkata: “Ini adala keputusan yang sukar untuk kelab, bukan sahaja kerana saya mempunyai hubungan baik dengan Lampard, tetapi juga kerana saya amat menghormati beliau.

“Beliau adalah seorang individu yang berintegriti dan mempunyai etika kerja yang baik. Namun dalam keadaan semasa, kami berpendapat ia adalah keperluan untuk menukar pengurus.

(Photo by Paul Gilham/Getty Images)

“Bagi pihak semua yang berada di kelab ini, lembaga pengarah, dan secara peribadi, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Frank atas tugasannya sebagai Ketua Jurulatih sebelum ini dan mengucapkan selamaat maju jaya.

“Beliau akan tetap menjadi ikon penting di kelab hebat ini, dan status itu akan kekal. Beliau sentiasa akan dialu-alukan di Stamford Bridge.”

2. Apa masalah Lampard di Chelsea?

Media terkenal UK, The Atlhletic pada Januari lalu melaporkan bahawa jawatan Lampard sebagai pengurus mulai terancam selepas Chelsea tewas kepada Manchester City.

Kekalahan 2-0 kepada Leicester bermakna Chelsea yang sebelum ini dicanang sebagai pencabar liga pada awal musim berada di kedudukan kesembilan Liga Perdana Inggeris.

Thiago Silva
(Photo by Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images)

Difahamkan hierarki kelab risau akan prestasi semasa pasukan, selain daripada kegagalan pemain seperti Kai Havertz dan Timo Werner yang dibawa masuk oleh Lampard untuk menyerlah.

Lampard meninggalkan Chelsea sebagai pegurus dengan purata mata terburuk dari kalangan 12 pengurus yang pernah dilantik di bawah era Abramovich.

3. Bagaimana prestasi keseluruhan Chelsea?

Chelsea memulakan musim dengan positif namun prestasi mereka mulai merosot sejak beberapa minggu yang lalu.

Sejak menewaskan Leeds pada awal Disember, mereka hanya merekodkan dua kemenangan di Liga Perdana Inggeris – menentang West Ham dan Fulham.

Menentang Fulham, Chelsea hanya merekodkan kemenangan 1-0 walaupun berhadapan dengan 10 pemain pada keseluruhan babak kedua. Gol tunggal pasuka dijaringkan oleh Mason Mount pada minit ke-78 perlawanan.

4. Apakah terdapat faktor lain untuk dipersalahkan?

Ya. Selain daripada keputusan di dalam padang, laporan dari UK turut mendedahkan hubungan Lampard dengan beberapa individu di dalam skuad Chelsea telah berubah menjadi masam.

Hubungan keruh ini berlaku terutama di kalangan pemain yang kurang mendapat kepercayaan oleh Lampard untuk memulakan perlawanan. Ia bukan baharu saja berlaku. Namun ia menjadi semakin parah.

Cabaran terbesar Lampard pada musim ini pula ialah untuk memastikan pemain baharu seperti Havertz dan Werner mampu bekerjasama dengan pasukan sedia ada untuk memaksimumkan potensi kedua-dua pemain.

Havertz dan Werner dilihat sebagai maequee signing oleh Chelsea selepas kali terakhir berbuat demikian dengan membawa masuk Eden Hazard dari Lille pada 2012. Kehadiran kedua-dua pemain Jerman itu juga adalah isyarat jelas Chelsea bersedia mencabar kejuaraan pada musim ini.

Malangnya kedua-dua pemain gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan setakat ini. Perbelanjaan keseluruhan Chelsea yang menjangkau angka £200 juta untuk Havertz, Werner, Ben Chilwell, Hakim Ziyech, Eduord Mendy, dan Thiago Silva pada musim panas lalu bermakna kedudukan dan prestasi terkini bukanlah pulangan yang setimpal berbanding pelaburan yang telah dilakukan.

5. Siapakah pengganti Lampard?

Media di UK turut mendedahkan Chelsea telah mencapai persetujuan dengan Thomas Tuchel untuk menjadi pengganti Lampard.

Pemilik kelab, Roman Abramovich berpendapat Tuchel adalah jurulatih dan pengurus yang tepat untuk jawatan panas di Chelsea itu.

Sejak perlantikan Maurizio Sarri dan Frank Lampard, dan kini Tuchel, ini bermakna Chelsea mahukan seorang pengurus yang mempunyai falsafah bola sepak dengan gaya permainan tersendiri.

Turut berasal dari Jerman, Tuchel juga diharap mampu membangkitkan kemampuan Havertz dan Werner.

Penutup

Apa pendapat penyokong Chelsea? Wajarkah Lampard dipecat? Tidakkah beliau seharusnya diberikan lebih banyak masa?

Bincangkan. Kami juga mahu mendengarnya daripada anda.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

Leave a Reply