5 Perbezaan Pengurusan Ancelotti Berbanding Zidane Di Real Madrid

Hubungan Carlo Ancelotti dan Zinedine Zidane ibarat mentor dan mentee di dalam bola sepak. Malah legenda dari Perancis itu pernah dikenalikan oleh Ancelotti ketika kedua-duanya di Juventus sekitar 1996-2001.

Begitu juga di dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan bola sepak. Tidak dapat dinafikan corak dan falsafah bola sepak yang dipraktikkan oleh Ancelotti turut mempengaruhi dan menjadi inspirasi yang diamalkan Zidane.

Namun melihat kepada Real Madrid pada musim ini, tidak dapat dinafikan ada beberapa perbezaan telah dibawa oleh Ancelotti berbanding apa yang biasa diamalkan oleh Zidane.

Mungkinkah pengalaman bersama beberapa kelab sebelum ini, khususnya di Napoli dan Everton selama lima tahun kebelakangan ini telah memberi pengalaman dan pengajaran baharu untuk Ancelotti melakukan perubahan yang lebih dinamik ketika mengendalikan pasukan?

Kembali bersama Real Madrid pada musim ini, berikut adalah antara perubahan yang ditampilkan Ancelotti yang bertentangan dengan apa yang dipraktikkan Zidane sebelum ini.

Kepercayaan akan kemampuan Vinicius

Pemain sayap Brazil, Vinicius Junior memang kerap diturunkan beraksi ketika era Zidane. Namun demikian, Vinicius tetap gagal menyakinkan pengendali dari Perancis itu sepenuhnya. Bintang muda Brazil itu kini seperti pemain lain di bawah kendalian Ancelotti.

Ketika pemain berusia 21 tahun itu masih bercuti pada musim panas lalu, Ancelotti sudah pun menghubungi beliau untuk menyatakan kepentingan pemain itu di dalam sistem Los Blancos – dengan atau tanpa ketibaan Kylian Mbappe.

Hasilnya, Vinicius membalas kepercayaan itu dengan penampilan yang lebih meyakinkan dan matang di dalam padang. Ia berkemungkinan besar kerana sokongan penuh yang diberikan Ancelotti berbanding ketika Real Madrd dibimbing Zidane.

Di dalam bola sepak, pemain yang berlainan akan memberi respon yang berlainan bergantung kepada teknik motivasi yang diberikan jurulatih. Jelas sekali Ancelotti telah melakukan sesuatu yang Zidane gagal lakukan selama ini untuk Vinicius.

Zidane lebih baik ketika bertahan

Tiada trofi yang berjaya diraih oleh Zidane pada musim terakhirnya bersama Real Madrid. Tetapi rekod dan keputusan perlawanan masih lagi boleh dianggap cemerlang. Dari Februati sehingga Mei, Real Madrid hanya tewas satu perlawanan – iaitu di Stamford Bridge.

Rahsianya ialah kerana Zidane berjaya membentuk bahagian pertahanan yang ampuh walaupun skuad Los Blancos dilanda krisis kecederaan di bahagian itu pada musim lalu.

Ancelotti dan Zidane kedua-duanya adalah jurulatih yang gemar menyerang. Tetapi jelas sekali Ancelotti masih perlu memperbaiki kelemahan di benteng pertahanan.

Di bawah Zidane, unit serangan Real Madrid tidaklah sehebat seperti yang diharapkan, tetapi mereka berjaya mengekang lawan dari mencipta banyak peluang.

Ancelotti pula terpaksa mengorbankan sedikit kawalan di bahagian benteng untuk hasil yang lebih dinamik ketika menyerang.

Kembalinya Antonio Pintus

Antonio Pintus adalah jurulatih kecergasan Real Madrid yang dibawa masuk oleh Zinedine Zidane.

Beliau adalah sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan yang membantu Real Madrid menjulang tiga trofi Champions League secara berturut-turut di bawah kendalian jurulatih Perancis itu.

Atas sebab yang tidak pernah didedahkan, hubungan Pintus dengan Zidane bagaimanapun retak selepas kepulangan kedua Zidane sebagai pengendali pasukan. Pintus kemudiannya nekad meninggalkan Los Blancos.

Kini Ancelotti membawa kembali Pintus ke dalam pasukan dan hasil di atas padang sudah mulai kelihatan. Pemain kini tampil lebih bertenaga sejak musim baru bermula, tetapi isu kecederaan yang mahu dikurangkan pada musim ini masih kekal sama.

Ancelotti pilih lebih ramai pemain muda

Sering kali keputusan Zidane mengenai pemain muda di Real Madrid memberikan kekeliruan kepada ramai. Malah sebelum ini wujud juga pertelagahan mengenai polisi Zidane yang suka mengandalkan pasukan kepada muka lama.

Ketibaan Ancelotti dilihat telah mengubah perkara ini. Lebih banyak kepercayaan diberikan kepada pemain muda seperti Vinicius, dan Fede Valverde. Ketibaan pemain seperti Eduardo Camavinga yang terus memberikan impak kepada pasukan utama juga dilihat sebagai perubahan positif terhadap masa depan pemain muda di Real Madrid.

Pengendali dari Itali itu juga tidak teragak-agak menurunkan Miguel Gutierrez dan bukannya Marcelo. Status Eden Hazard yang selama ini sentiasa berada di dalam ‘zon selamat’ di bawah kendalian Zidane kini juga berubah.

Bintang dari Belgium itu jelas perlu melakukan sesuatu jika mahu meyakinkan Ancelotti untuk peluang beraksi, atau cari sahaja kelab lain demi masa depannya.

Peranan Gareth Bale

Gareth Bale sememangnya tidak mempunyai masa depan langsung bersama Real Madrid ketika di bawah kendalian Zidane.

Ia jelas, Zidane tidak mahu Bale berada di dalam pasukannya, sehingga memaksa pemain itu dipinjamkan kepada Tottenham Hotspur pada musim lalu.

Ancelotti mengembalikan Bale, dan dengan jelas memberikan peluang sekali lagi untuk pemain itu kembali menyinar. Ia peluang yang pemain antarabangsa Wales itu mulai gunakan sepenuhnya, sebelum kembali dilanda kecederaan.

Penutup

Real Madrid kini menduduki kedudukan teratas La Liga selepas empat perlawanan hasil tiga kemenangan dan satu seri.

Skuad kendalian Ancelotti juga cemerlang menewaskan Inter Milan dengan jaringan 0-1 di San Siro pada pertengahan minggu lalu di pertandingan Champions League.

Ia adalah permulaan yang amat positif untuk Real Madrid di bawah kendalian Ancelotti dengan beberapa perubahan yang dilakukannya setakat ini.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply