5 Penyerang ‘Kuda Tua’ Yang Masih Berbisa Di Eropah

Bola sepak eropah pernah melahirkan ramai penyerang-penyerang handalan, menjaringkan gol demi gol yang mencuri perhatian peminat bola sepak dari seluruh dunia.

Kebiasaannya seorang penyerang akan berada di kemuncak prestasi pada usia sekitar 25 sehingga 29 tahun. Namun lain kisahnya buat lima pemain ini.

Walaupun sudah melangkaui usia 30 tahun dan dianggap sebagai pemain veteran, kehadiran mereka di atas padang masih menggerunkan dan memberi masalah kepada pasukan lawan.

Ayuh kita ikuti karier kelima-lima pemain ini.

Luis Suarez

Luis Suarez mungkin sudah tidak berada di kemuncak prestasinya seperti dulu – memporak perandakan pertahanan lawan dan menjaringkan gol cantik pada setiap perlawanan.

Tetapi Suarez masih lagi dianggap sebagai penjaring berbahaya di LaLiga. Dan apabila prestasinya merudum, semua orang pun perasan bukan?

Suarez sememangnya amat berbisa apabila digandingkan bersama Lionel Messi dan Neymar, dan era gandingan ini dianggap sebagai fasa dominan Barcelona di Sepanyol dan eropah.

Namun kini segalanya sudah berubah dan Suarez yang telah menyertai Atletico Madrid.

Suarez menjaringkan 21 gol dari 34 penampilan di LaLiga dan pertandingan Champions League pada usia 33 tahun musim lalu. Selain itu, Suarez turut terlibat di dalam 24 gol yang dihasilkan Barcelona, dari hanya 28 penampilan.

Dengan prestasi ini, Suarez sudah tentu mampu beraksi di tahap tertinggi untuk beberapa tahun lagi. Buktinya Suarez kini adalah penjaring terbanyak La Liga dengan 9 gol walaupun dengan kelab berbeza.

Sergio Aguero

Sergio Aguero adalah salah seorang penyerang tengah paling sempurna pernah disaksikan di Eropah sejak 10 tahun yang lalu. Pemain antarabangsa Argentina itu kini diturunkan secara bersilih ganti dengan Gabriel Jesus di Manchester City.

Menariknya di sebalik usia yang sudah bergelar pemain veteran, Aguero tidak pernah mengecewakan setiap kali diberikan kepercayaan oleh Pep Guardiola.

Musim lalu Aguero terlepas beberapa perlawanan akibat kecederaan, tetapi ia tidak menghalang pemain ini untuk menjaringkan 24 gol dari 34 penampilan dalam semua pertandingan.

Bekas penyerang Atletico Madrid ini kini telah menjaringkan lebih dari 20 gol pada lapan musim terakhirnya di Premier League, dan prestasi cemerlang ini belum ada petanda akan berlalu pergi.

Merupakan pemain yang selesa dengan bola di kaki, keupayaan Aguero mengubah haluan bola kepada kaki utama untuk merembat deras dari pelbagai sudut zon akhir serangan secara konstan adalah ancaman utama dari pemain ini.

Pada usia 32 tahun, Aguero sudah pasti masih mampu menyumbang di tahap tertinggi selama beberapa musim lagi.

Karim Benzema

Ramai yang cuba menafikan kehadiran Karim Benzema dan setiap kali ia berlaku pemain dari Perancis ini membuktikan pengkritiknya salah. Malah ia bagaikan kebiasaan bagi Benzema.

Sepanjang kariernya Benzema mempunyai tempoh yang baik, dan adakalanya merudum. Namun pada musim lalu prestasinya meletup, cukup untuk membuktikan dirinya masih tergolong dalam rangkaian pemain elit walaupun sudah berusia 32 tahun.

Merupakan figura yang berada di haluan bertentangan, Benzema membuktikan dirinya mempunyai keupayaan untuk berada sama tinggi dengan penyerang-penyerang tebaik dunia, dan boleh dijadikan sandaran utama dalam situasi getir.

Musim lalu Karim Benzema menghasilkan 26 gol dan 10 assist dalam semua pertandingan, dan adalah pemain terbaik Real Mardrid ketika kelab itu merangkul kejuaraan LaLiga ke-34.

Ciro Imobile

Ciro Immobile telah merantau merentasi Itali, kemudiannya ke Borussia Dortmund sebelum akhirnya selesa bersama Lazio. Kita boleh simpulkan Immobile telah mendapat pengajaran amat berguna sepanjang perantauannya kerana kini dianggap sebagai salah seorang penyerang paling berbisa di eropah.

Malah pemain ini telah memenangi kasut emas eropah pada musim lalu setelah muncul penjaring terbanyak dari kalangan liga utama di eropah pada musim lalu.

Penyerang berusia 30 tahun ini telah menjaringkan 36 gol dari 37 penampilan pada musim lalu untuk Lazio dan menyamai rekod Gonzalo Higuain untuk jumlah jaringan tertinggi dalam semusim di Serie A.

Apa yang menarik ialah Immobile berjaya menggandakan jumlah jaringannya pada 2018/19 pada usia 30 tahun. Jika itu bukan penambahbaikan, maka kami tidak tahu lagi bagaimana untuk mengandaikan perkara lain.

Musim ini Immobile sekali lagi menjadi sandaran Lazio untuk mencabar kedudukan Juventus dan pasukan-pasukan utama lain di Serie A.

Robert Lewandowski

Tidaklah keterlaluan jika kita katakan peluang Robert Lewandowski untuk memenangi anugerah Ballon d’Or pada tahun ini telah dirompak selepas ianya dibatalkan.

Pada usia 32 tahun, pemain dari Poland ini telah memenangi treble utama – Bundesliga, DFB-Pokal, Champions League – bersama Bayern Munich pada musim ini.

Dan ianya adalah prestasi Lowendowski bersama Bayern sepanjang musim ini yang memastikan kejayaan luar biasa Bayern Munich.

Sepanjang musim 2019/20 Lewandowski telah menjaringkan 55 gol dari 47 penampilan dalam semua pertandingan. 15 daripada gol tersebut dihasilkan dari 10 perlawanan Champions League.

Tidak ada pemain lain yang mampu mendekati pencapaian tersebut musim ini. Perkara paling menarik ialah tidak ada diantara kita yang boleh meramalkan sampai bila Lewandowski mampu beraksi di tahap tertinggi sebegini.

Rumusan

Jika ada perkara yang boleh kita pelajari dari Luis Suarez, Ciro Immobile, Sergio Aguero, Karim Benzema dan Robert Lewandowski ialah sikap profesional dan disiplin yang mereka miliki.

Tanpa kedua-duanya sukar untuk pemain bola sepak tampil dengan aksi konsisten. Apatah lagi kemampuan tubuh badan sudah dimamah usia dan faktor kecergasan mulai menjadi isu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN