5 Penandatanganan Berprofil Tinggi Yang Dianggap Gagal

Lima penandatanganan berprofil tinggi yang dianggap gagal pada musim ini kerana tidak mempamerkan aksi persembahan seperti yang diharapkan.

Setiap kali jendela perpindahan dibuka, tentunya akan ada kelab yang akan melakukan rombakan terhadap skuad mereka dengan membawa masuk pemain berprofil tinggi.

Kelab akan sanggup mengeluarkan dana yang besar untuk mendapatkan pemain yang mereka mahukan, dalam usaha untuk menambah baik skuad sedia ada.

Setiap pasukan yang menandatangani pemain berprofil tinggi kebiasaannya akan ada masalah di posisi tertentu dan pemain yang ditandatangani jelas sekali diharap bakal menyelesaikan masalah tersebut.

Pemain berprofil tinggi tidak semestinya ditandatangani dengan yuran perpindahan mega, kerana ada juga antara mereka yang datang sebagai pemain bebas ejen.

Kelab bola sepak tidak seharusnya membuang duit mereka dan memperjudikan nasib kelab dengan membawa masuk sebarangan pemain.

Satu hal yang pasti, tiada jaminan untuk melihat seorang penandatanganan baru itu akan menjamin impak positif sebaik mereka ditandatangani oleh kelab.

Maka kelab juga sebenarnya perlu memainkan peranan dalam membantu pemain tersebut untuk berkembang dan mendapatkan sokongan yang mereka perlukan.

Hal ini kerana terdapat juga pemain berbakat besar, yang tenggelam bersama kelab barunya, kerana beliau tidak sesuai dengan gaya permainan yang diterapkan.

Musim panas baru ini, para peminat dapat menyaksikan begitu banyak penandatanganan melibatkan pemain berprofil tinggi.

Ada yang ditandatangani dengan yuran perpindahan tak masuk akal, ada juga yang ditandatangani secara percuma sebagai pemain bebas ejen, dan ada juga yang datang sebagai pemain pinjaman.

Berikut merupakan senarai lima pemain yang dianggap bintang, namun mereka masih gagal untuk memberikan impak seperti yang diharapkan bersama majikan baru masing-masing.

5) Saul Niguez (Chelsea)

Ketika Chelsea menandatangani Saul Niguez sebagai pemain pinjaman selama satu musim penuh dari Atletico pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup, ia dilihat sebagai satu perniagaan yang baik untuk The Blues.

Ketika Saul berada di tahap persembahan terbaiknya, beliau jelas sekali merupakan seorang pemain holding midfielder yang sangat teknikal dan bakal menjadi penambahan yang sempurna untuk Chelsea.

Beliau gagal untuk menyerlah ketika aksi debutnya bertemu Aston Villa dalam saingan Premier League, dan Thomas Tuchel terpaksa mengeluarkan beliau pada rehat separuh masa.

Pengurus dari Jerman itu sendiri mengakui yang Saul beraksi sangat hambar pada aksi babak pertama perlawanan pada ketika itu.

Dengan Mateo Kovacic, Jorginho dan N’Golo Kante sudah menjadi pemain yang senantiasa mengisi kesebelasan utama skuad, Saul sepertinya sukar untuk mendapat minit permainan yang beliau mahukan di Stamford Bridge.

Beliau masih gagal memikat hati Thomas Tuchel dan hanya mampu membuat dua penampilan sahaja bersama Chelsea sejak ditandatangani oleh kelab.

Persembahan Saul sudah sememangnya merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan melihat kepada perjalanan kariernya sekarang, ia sepertinya perjanjian pinjaman yang akan meranapkan lagi karier bintang Sepanyol itu.

4) Daniel James (Leeds United)

Daniel James telah membuat dua penampilan dalam saingan Premier League musim ini bersama Manchester United, sebelum menandatangani perjanjian bersama Leeds United dengan yuran perpindahan bernilai €29.1 juta.

Leeds sebenarnya sudah hampir untuk mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan Januari 2019, ketika bintang Wales itu masih beraksi bersama Swansea.

Jadi tidak keterlaluan untuk menganggap yang James sememangnya pemain yang sangat diimpikan oleh Leeds United.

Ketika mereka kembali berusaha untuk mendapatkan khidmatnya, ia kelihatan seolah-olah satu keputusan yang tepat untuk dilakukan oleh James, untuk menyertai Leeds.

Melihat kepada barisan pemain yang United miliki pada ketika ini, sukar sebenarnya untuk James bersaing merebut tempat dalam skuad utama.

Walau bagaimanapun, James gagal untuk memberikan impak seperti yang diharapkan sejak bersama Leeds United, dengan skuad kendalian Marcelo Bielsa itu hanya mampu mencatatkan satu kemenangan sahaja dari lima perlawanan terakhir mereka sejak kehadiran Dan James.

Bekas bintang Manchester United itu sendiri masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol atau mencatatkan assist sejak beliau ditandatangani.

3) Georginio Wijnaldum (Paris Saint-Germain)

Georginio Wijnaldum mempermain-mainkan hati Barcelona dengan mengubah keputusannya untuk menyertai Paris Saint Germain, 11 jam sebelum melengkapkan perpindahan ke Nou Camp.

Pemain kebangsaan Belanda itu mengharungi musim panas yang agak cemerlang, selepas beliau mempamerkan aksi persembahan mantap bersama negaranya dalam saingan Euro 2020.

Pemain berusia 30 tahun itu berjaya menjaringkan tiga gol dari empat penampilan beliau di pentas antarabangsa untuk skuad kebangsaan Netherlands.

Beliau jelas sekali merupakan seorang pemain yang sangat bekerja keras dan dianggap sebagai penandatanganan yang sempurna untuk Paris Saint Germain.

Walau bagaimanapun, Wijnaldum gagal untuk memberikan impak seperti yang diharapkan dan turut dianggap sebagai antara pemain paling tidak berprestasi di Paris pada ketika ini.

PSG secara keseluruhannya dianggap bakal menjadi pasukan terkuat dunia selepas menandatangani beberapa bintang mega, namun bekas bintang Liverpool itu sukar untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan mereka.

Wijnaldum telah membuat 13 penampilan untuk Paris Saint Germain sepanjang musim ini, dan hanya enam darinya beliau diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Beliau sendiri mengakui yang dirinya tidak gembira dengan situasi di Parc des Princes pada ketika ini, dan keluhan beliau mengundang kecaman terhadap dirinya sendiri oleh para peminat.

Dari 12 penampilan, beliau gagal untuk menjaringkan sebarang gol atau mencatatkan assists, dengan beliau pada ketika ini sememangnya antara pemain paling tidak berprestasi dalam skuad PSG.

2) Jadon Sancho (Manchester United)

Jadon Sancho akhirnya tiba juga ke Old Trafford selepas pihak kelab berjaya menamatkan saga perpindahan panjang beliau dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan bernilai €85 juta.

Bekas bintang Borussia Dortmund itu telah membina reputasi yang cukup menakjubkan sebagai pemain sayap muda terhebat dalam dunia bola sepak, ketika kariernya dalam saingan Bundesliga.

Sayang sekali, beliau masih gagal untuk menjaringkan gol atau mencatatkan assists untuk Red Devils selepas membuat 10 penampilan setakat ini.

Hanya enam dari 10 penampilan itu, beliau diturunkan sebagai kesebelasan utama, namun satu hal yang pasti, Manchester United mengharap yang lebih dari Sancho.

Pemain berusia 21 tahun itu sebenarnya berpotensi untuk menghadirkan sesuatu dengan bakat dan kemampuan yang beliau miliki.

Namun sayangnya, sehingga kini, beliau masih gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya bersama kelab dan tidak mampu untuk memberikan impak seperti yang diharapkan.

Dengan United selepas ini bakal berdepan lima perlawanan sukar, dan ditambah pula tekanan yang dihadapi oleh Solskjaer, Red Devils jelas mengharapkan pemain terbaik mereka untuk bersinar.

10 perlawanan sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk seorang pemain yang sudah biasa dengan saingan bola sepak Inggeris seperti Sancho menghasilkan sesuatu.

Kini semuanya terserah kepada beliau, bagaimana untuk beliau membalas kepercayaan kelab terhadapnya, mempamerkan aksi terbaik merupakan salah satu cara untuk buktikan nilai mega yang kelab bayar untuk dapatkan khidmatnya sangat berbaloi.

1) Antoine Griezmann (Atletico Madrid)

Atletico Madrid menandatangani Antoine Griezmann dari Barcelona menerusi perjanjian pinjaman selama satu musim penuh.

Barcelona turut menawarkan syarat tambahan pinjaman selama satu musim lagi dan turut menawarkan Atletico untuk mendapatkan khidmat Griezmann secara tetap dengan nilai €40 juta.

Jadi secara dasarnya, pemain kebangsaan Perancis itu sebenarnya kembali ke Atletico sebagai pemain tetap dan diharapkan untuk beliau kembali mendapatkan tahap persembahan hebatnya seperti dahulu.

Walau bagaimanapun, para penyokong Atletico Madrid sepertinya masih belum mengampunkan dosa beliau dengan memberi layanan buruk kepada bintang Perancis itu.

Memburukkan keadaan lagi, pemain berusia 30 tahun itu dilihat jauh panggang dari api berbanding Griezmann sebelum meninggalkan Atletico pada musim panas 2019 dahulu.

Beliau gagal mempamerkan aksi persembahan terbaiknya setakat ini dan sering menjadi mangsa caci maki para penyokong atas aksi hambar yang beliau persembahkan.

Sejak melakukan debut keduanya bersama Atletico ketika aksi bertemu Espanyol sebelum ini, hampir setiap perlawanan seolah tiada erti untuk Griezmann.

Beliau hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dari tujuh penampilan, dan dianggap punca mengapa jentera serangan Atletico semakin tumpul selepas kehadiran beliau.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply