5 Pemain Yang Pernah Bermain Untuk Manchester United & Manchester City

Gary Neville Peter Schmeichel Manchester United City

“Saya tahu kita ini profesional, tapi kalau kamu dah bermain untuk Manchester United, kamu tak akan pergi ke Manchester City.”

Itulah kata-kata Ole Gunnar Solskjaer selepas mendapat menerima berita Cristiano Ronaldo bakal berhijrah ke Manchester City. Namun akhirnya pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu sah kembali ke Old Trafford.

Kata-kata itu mungkin ringkas, tetapi ia sebenarnya seperti satu ‘amaran’ buat mana-mana pemain atau bekas pemain United yang berhasrat untuk menyertai musuh setempat.

Bukan mudah untuk penyokong melihat pemain yang disayangi secara tiba-tiba menyarung jersi musuh tradisi mereka.

Berikut adalah lima pemain yang pernah beraksi untuk kedua-dua pasukan Manchester.

Denis Law

Denis Law merupakan sebahagian dari trio yang paling diingati dalam sejarah kelab bersama George Best dan Sir Bobby Charlton sehingga gandingan mereka digelar ‘Holy Triniy’ oleh penyokong pada era 60-an.

Walaupun dalam perjalanan kariernya beliau singgah di City terlebih dahulu sebelum memahat nama di Old Trafford, beliau tetap dikenang oleh penyokong selepas menyumbang 237 gol dari 404 perlawanan.

Ia meletakkannya di kedudukan ketika selaku penjaring gol terbanyak sepanjang zaman di belakang Wayne Rooney dan Bobby Charlton, lalu menjadikannya sebagai salah seorang legenda kelab.

Maka penyokong United tiada masalah untuk melihat beliau pulang semula ke pangkuan Manchester City di penghujung kariernya pada 1973 selepas 11 tahun menabur bakti.

Peter Schmeichel

Perpindahan Peter Schmeichel ke Manchester City dianggap sebagai ‘pengkhianatan’ terbesar oleh penyokong dan juga mungkin sebahagian besar pemain United sendiri.

Kekecewaan menyelubungi kem United sehinggakan Gary Neville hampir tidak percaya dengan berita tersebut dan berlakulah peristiwa di mana beliau enggan berjabat tangan dengan bekas rakan sepasukannya itu ketika pertemuan di antara dua pasukan setempat ini pada 2002.

Ia seolah-olah memadamkan kegemilangan yang dicipta penjaga gol Denmark itu sepanjang lapan tahun di Old Trafford dengan mengumpul pelbagai kejuaraan termasuk gelaran treble pada tahun terakhirnya di kelab ini.

Andy Cole

Penyerang England ini menyertai United pada Januari 1995 dari Newcastle United dan menjaringkan 12 gol dari 18 perlawanan pada separuh musim pertamanya. Musim terbaiknya adalah pada kempen 1997/98. Beliau telah menjaringkan 121 gol untuk Red Devils.

Selepas meninggalkan United pada 2001, dan sempat beraksi untuk Blackburn Rovers dan Fulham sebelum menyertai The Citizens pada tahun 2005 hanya untuk semusim.

Owen Hargreaves

Pemain kelahiran Canada ini ditandatangani United pada 2007 dengan nilai £17 juta setelah beraksi cemerlang untuk Bayern Munich. Namun kariernya di Old Trafford dihantui dengan beberapa siri kecederaan.

Sepanjang empat tahun di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, beliau hanya sempat membuat 34 penampilan dalam semua pertandingan termasuk beraksi selama 120 minit ketika United meraih gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menewaskan Chelsea di Moscow pada 2008.

Dalam tiga tahun terakhirnya di United, beliau hanya membuat lima penampilan sehinggalah kontraknya berakhir. Manchester City menawarkan kontrak selama setahun, namun hanya bermain satu perlawanan sahaja sebelum bersara sepenuhnya dari bola sepak.

Carlos Tevez

Penyerang Argentina ini tiba secara pinjaman dari West Ham United dan membentuk trio serangan bersama Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney yang cukup digeruni di pentas Eropah dan meraih kejuaraan EPL dan UCL pada musim pertamanya di Old Trafford.

Namun sebaik sahaja tempoh pinjaman dua musimnya berakhir, beliau memilih untuk menyertai ‘gergasi baharu’ Manchester City dan berita tersebut ternyata tidak boleh diterima oleh penyokong United.

Tevez menjaringkan 73 gol sepanjang empat tahun di City dengan meraih kejuaraan EPL dan Piala FA.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN