5 Pemain Yang Perlu Diberi Perhatian Pada Minggu Ke-8 Premier League

Pemain Premier League

Minggu kelapan saingan Premier League bakal bermula selepas berakhirnya rehat antarabangsa pada minggu ini, dengan peminat tentunya sudah tidak sabar untuk menyaksikan aksi-aksi dari kelab dan pemain kegemaran masing-masing.

Seperti semua sedia maklum, saingan Premier League merupakan antara liga paling kompetetif, dan jelas sekali sukar untuk meramal apa akan berlaku dalam setiap perlawanan.

Walau pasukan besar bertemu pasukan kerdil, namun ia masih belum ada jaminan untuk tentukan siapa kalah dan siapa menang selagi sepak mula tak dimulakan.

Selepas tamat rehat antarabangsa, para pemain kini sudah kembali menyertai skuad masing-masing, dan bersedia untuk menghibur peminat dalam aksi saingan peringkat kelab.

Minggu ini, dalam saingan Premier League, beberapa perlawanan besar akan dilangsungkan, dan tentunya para peminat sudah tidak sabar untuk menyaksikan aksi-aksi menarik dan drama yang akan berlaku.

Chelsea pada ketika ini sedang mendahului saingan Premier League dengan mengumpul 16 mata, selepas mereka mengharungi tujuh perlawanan awal.

Liverpool pula berada di kedudukan kedua, dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu ketika ini mengumpul 15 mata, dan memegang rekod bersih tanpa kalah dari semua tujuh perlawanan awal liga.

The Reds merupakan satu-satunya pasukan dalam saingan Premier League yang masih memegang rekod bersih tidak terkalahkan, namun dek kerana mencatatkan tiga keputusan seri, maka mereka hanya satu mata sahaja mengatasi penunggu tempat ketiga hingga keenam dalam carta liga.

Manchester City, Manchester United, Everton dan Brighton berkongsi 14 mata dan melengkapkan kedudukan enam teratas dalam carta saingan liga setakat ini.

Mengapa Premier League dianggap saingan liga paling kompetetif? Jelas sekali kerana semua pasukan yang bertanding tidak boleh diramal, dan sehingga hari ini, masih belum ada pasukan yang menunjukkan tanda-tanda mereka bakal bergelar Juara.

Jika bercerita tentang kelab masih tiada pasukan yang benar-benar konsisten, namun sebaliknya pula bila bercerita tentang pemain.

Mohamed Salah telah memulakan saingan liga musim ini dengan sangat cemerlang dan beliau jelas sekali sedang berada di rentak persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Saingan Premier League sememangnya tidak pernah ketandusan bakat-bakat hebat yang akan menyerlah dan menghiburkan para peminat setiap minggu.

Memandangkan minggu ini para pemain mungkin akan tampil dengan pelbagai versi selepas selesai tugasan bersama skuad kebangsaan masing-masing, berikut merupakan senarai lima pemain yang perlu diberi perhatian.

5) Raphinha (Leeds United)

Raphinha perlahan-lahan berjaya mencuri ruang untuk menjadi antara bintang Brazil terhebat dalam saingan Premier League pada ketika ini.

Beliau merupakan nadi penting dalam sistem kendalian Marcelo Bielsa pada ketika ini, dengan pemain sayap kanan itu telah mempamerkan aksi persembahan cukup menakjubkan sepanjang musim ini.

Dengan kemampuan dan ketajaman beliau di posisi sayap, Raphinha jelas sekali antara pemain yang konsisten menghadirkan masalah kepada pemain pasukan lawan.

Bintang berusia 24 tahun itu telah berjaya menjaringkan tiga gol dari tujuh penampilan dalam saingan Premier League musim ini.

Kemampuan Raphinha yang konsisten dalam mencipta peluang untuk rakan sepasukannya juga boleh dianggap sebagai satu kelebihan untuk Leeds United.

Kunjungan Leeds ke bumi Southampton pada minggu kelapan ini jelas sekali menjadi perlawanan yang penting untuk Marcelo Bielsa, dan Raphinha sendiri sudah bersedia untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan The Saints.

4) Michail Antonio (West Ham)

Michail Antonio pada ketika ini benar-benar sedang menikmati musim terbaiknya dalam saingan Premier League, dengan beliau telah menunjukkan kualiti penyudah yang sungguh menakjubkan.

https://twitter.com/DacresMario/status/1449054571138007045?t=JB0xzzD0XRTnF0IE8I3DXA&s=19

 

Bintang berusia 31 tahun itu pada ketika ini dianggap antara pemain paling berprestasi dalam saingan Premier League setakat ini.

Beliau telah berjaya menjaringkan lima gol, dan turut mencatatkan tiga assists hanya dari enam penampilan sahaja dalam saingan Premier League.

Dengan West Ham dijadualkan bertemu Everton pada minggu ini, ia jelas merupakan satu cabaran yang sukar untuk Michail Antonio.

Everton pada ketika ini sedang berada di rentak persembahan terbaik mereka dan Goodison Park jelas sekali tempat yang sukar untuk dilawati.

Harapan West Ham untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan ini bergantung kepada persembahan para pemain mereka, terutama Michail Antonio.

Beliau jelas sekali telah membuktikan kepada peminat yang dirinya berguna ketika mana kelab memerlukan khidmatnya untuk mencari gol penting.

3) Joao Cancelo (Manchester City)

Dengan memiliki barisan pemain terhebat dunia di dalam skuadnya, Pep Guardiola cukup terkenal dengan sistem pertukaran pemain yang beliau sering amalkan.

Pengurus Manchester City itu terkenal dengan sikap beliau yang suka melakukan uji kaji terhadap taktikal dan kesebelasan utamanya, dan satu hal yang menarik, Cancelo merupakan antara pemain yang paling beliau percaya pada ketika ini.

Pemain right back Portugal itu sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dan beliau merupakan kunci utama yang membantu Manchester City mencatatkan beberapa clean sheet sepanjang musim ini.

The Citizens hanya bolos tiga gol sahaja dari tujuh perlawanan mereka dalam saingan liga musim ini, dengan pemain berusia 27 tahun itu memainkan peranan penting sebalik pencapaian gemilang tersebut.

Cancelo merupakan pemain pertahanan yang sangat versatile dengan beliau sebenarnya mempunyai kemampuan untuk beraksi cemerlang di mana-mana bahagian di posisi pertahanan.

Satu lagi kelebihan Cancelo adalah kemampuan beliau dalam membantu jentera serangan, dengan beliau senantiasa kerap naik ke atas untuk memberi ancaman kepada barisan pertahanan lawan.

Dengan beliau pada ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaiknya, Cancelo bakal menjadi antara pemain yang sangat menarik untuk ditonton pada minggu ini.

2) Cristiano Ronaldo (Manchester United)

Menjadi dosa besar untuk pengurus andai meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan tidak kira Manchester United bertemu dengan pasukan apa sekali pun.

Seandainya beliau diketepikan, ia bakal menjadi tajuk utama kebanyakkan media dalam dunia bola sepak, dan pengurus akan dipersalahkan andai skuadnya tewas dalam perlawanan tersebut.

Ronaldo merupakan pemain yang akan sentiasa mencuri perhatian peminat setiap kali beliau turun beraksi, dan walau beliau pamer persembahan yang teruk, ia tetap akan jadi bual bicara ramai.

Selepas ditandatangani semula oleh Red Devils, Cristiano Ronaldo kini sudah menjadi pemain terpenting dalam sistem serangan Ole Gunnar Solskjaer.

Beliau telah berjaya menjaringkan lima gol dalam semua pertandingan musim ini, dengan tiga darinya berjaya beliau jaringkan ketika beraksi dalam saingan Premier League.

https://twitter.com/FootballFunnnys/status/1448744474981683208?t=Mkv7RPVFAbrUUQmsNTlKVQ&s=19

Kemampuan beliau untuk sentiasa berada di tempat dan masa yang tepat untuk menghasilkan jaringan tidak boleh dipertikaikan lagi.

Beliau juga sebenarnya sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dengan pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu baru sahaja mencatatkan hat-trick ketika beraksi bertemu Luxembourg dalam aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Beraksi bertemu Leicester jelas sekali bakal menyajikan aksi permainan serang menyerang antara kedua-dua pasukan, dan United tentunya memerlukan khidmat pemain seperti Ronaldo untuk bantu mereka memburu gol dalam perlawanan tersebut.

1) Mohamed Salah (Liverpool)

The Egyptian King jelas sekali sedang berada di tahap persembahan terbaik sepanjang kariernya pada ketika ini, dengan beliau turut dianggap pemain paling berprestasi dalam dunia bola sepak hari ini.

Beliau merupakan pemain terbaik dalam saingan Premier League sepanjang musim ini atas persembahan luar biasa yang beliau persembahkan dalam membantu Liverpool mencatatkan rekod tanpa kalah.

Beliau merupakan nadi penting sebalik kejayaan Liverpool berada di kedudukan kedua dalam carta liga pada ketika ini, dan beliau juga turut terlibat dalam majoriti gol jaringan The Reds pada musim ini.

Pemain kebangsaan Mesir itu berjaya menjaringkan gol yang dianggap calon gol tercantik musim ini ketika beraksi bertemu Manchester City sebelum rehat antarabangsa.

Dengan kepantasan larian yang beliau miliki untuk menewaskan pertahanan lawan, Salah dianggap ancaman paling bahaya untuk semua pasukan dalam saingan Premier League musim ini.

Liverpool dijadualkan bertemu Watford pada minggu ini, dan melihat kepada persembahan Salah pada ketika ini, sepertinya tiada masalah untuk beliau merobek gawang gol pasukan tuan rumah.

Beliau tentunya akan memainkan peranan penting dalam membantu Liverpool untuk mengutip tiga mata penuh, seterusnya memberi cabaran kepada Chelsea untuk menduduki puncak saingan liga.

Dari kesemua pemain yang beraksi pada minggu ini, Salah jelas sekali bakal menjadi pemain yang paling dinanti-nantikan aksinya oleh para peminat.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN