5 Pemain Yang Menyinar Ketika Kejohanan AFC B23 Edisi 2016

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun merupakan pentas terbaik pemain muda dari seluruh negara Asia untuk menyinar dan mengembangkan bakat mereka.

Ia juga merupakan destinasi yang sering menjadi tumpuan pencari bakat kelab-kelab dari seluruh dunia untuk membawa pemain itu menyertai kelab mereka.

Berikut ialah 5 pemain muda yang mencuri tumpuan pencari bakat ketika kejohanan AFC Bawah 23 Tahun edisi 2016 yang berlangsung di Qatar.

Takuma Asano (Japan)

Sebelum ini, Takuma Asano kerap memanaskan bangku simpanan skuad B-23 Jepun. Apabila salah seorang pemain utama mengalami kecederaan, itulah peluang keemasan yang digunakan oleh Takuma untuk memikat jurulatihnya ketika itu, Teguramori.

Takuma ternyata tidak mengecewakan apabila mempamerkan permainan menakjubkan dengan menjaringkan 2 gol termasuk gol di minit akhir ketika menentang Korea Selatan di perlawanan Akhir  yang membawa Jepun menjuarai Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun.

Prestasi yang mengagumkan itu telah memikat ramai pencari bakat dari kelab-kelab eropah. Takuma telahmendapat tawaran untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal tetapi dinafikan hak bermain kerana tidak mendapat permit kerja.

Beliau kemudiannya dipinjamkan ke Kelab Jerman, VFB Stuttgart selama setahun. Takuma berjaya menjaringkan 5 gol dalam 37 penampilan bersama kelab itu. Beliau juga mendapat panggilan untuk menyertai skuad senior Jepun bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia.

Akram Afif (Qatar)

Akram merupakan produk daripada Akademi Aspire iaitu antara akademi bolasepak yang terbaik di Qatar. Ketika di Aspire, beliau telah dihantar ke Sepanyol untuk program pertukaran pemain dan telah beraksi untuk pasukan muda Sevilla dan Villarreal.

Walaupun skuad Qatar mempunyai Ahmed Alaa yang merupakan penjaring terbanyak Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun ketika itu, tetapi Akram lebih menjadi tumpuan dan merupakan antara bintang muda Qatar yang bakal menyinar pada masa hadapan.

Pemain ini terkenal dengan kemampuan teknikalnya seperti teknik menghantar bola dan membaca gerakan pemain pertahanan lawan. Beliau juga merupakan pemain utama untuk skuad senior Qatar dan dijangka akan menyertai skuad Qatar Bawah 23 Tahun untuk Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di China pada Januari depan.

Kemampuan Akram itu telah memikat pencari bakat dari Sepanyol.  Pada 8 Mei 2016, Akram menjadi pemain pertama dari Qatar yang menandatangani kontrak untuk menyertai pasukan Villarreal dalam sejarah La Liga. Beliau membuat penampilan pertama dalam La Liga pada 21 Ogos 2016 ketika perlawanan menentang Athletic Bilbao.

Ali Karimi (Iran)

Ali Karimi adalah antara perancang tengah terbaik Iran ketika kejohanan itu dan berjaya mempamerkan permainan memukau yang membantu Iran mara ke suku akhir.

Pencari bakat menyedari kemampuan beliau mengawal jentera tengah sehingga mendapat kontrak beraksi dengan kelab juara liga Croatia, Dinamo Zagreb.

Beliau juga merupakan pemain pertama dari Iran yang beraksi dalam saingan Liga Croatia.

Prestasi mantap yang dipamerkan olehnya membolehkan beliau mendapat panggil dari Carlos Queiroz untuk menyertai skuad senior dan digandingkan dengan Saeid Ezatolahi di bahagian tengah untuk saingan kelayakan Piala Dunia.

Gandingan ini berjaya membantu Iran menempah tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia dan Ali Karimi mempunyai peluang cerah untuk mewakili negaranya di kejohanan berprestij dunia itu.

Fahad Al Muwallad (Arab Saudi)

Walaupun Arab Saudi tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan AFC Bawah 23 Tahun edisi 2016, seorang penyerang mereka berjaya mencuri tumpuan iaitu Fahad Al Muwallad yang mempunyai larian deras sehingga memberi kesukaran kepada barisan pemain pertahanan lawan.

Sebelum menyertai kejohanan AFC Bawah 23 Tahun, Fahad sudah pun mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Piala Asia 2015 bersama skuad senior Arab Saudi dan mempunyai 26 caps di peringkat antarabangsa.

Penyerang kelab Al-Ittihad ini begitu menyinar dalam saingan AFC Champions League dan menarik minat beberapa kelab dari Korea Selatan untuk menandatangani pemain ini. Namun begitu, beliau menolak tawaran kelab itu kerana masih mempunyai kontrak dengan Al-Ittihad.

Fahad adalah antara bintang arab saudi yang dijangka akan menyinar dalam kejohanan Piala Dunia di Russia dan para pemerhati bola sepak meramalkan beliau akan menyertai kelab eropah selepas tamat kempen Piala Dunia tahun depan.

Chanathip Songkrasin (Thailand)

Thailand merupakan salah satu pasukan yang gagal melayakkan diri ke suku akhir pada Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun edisi 2016 tetapi mereka mempunyai seorang pemain tengah yang kreatif iaitu Chanathip Songkrasin yang berjaya memikat pencari bakat dari Jepun.

Selepas menyinar di kejohanan itu, Chanathip terus konsisten mempamerkan prestasi yang menakjubkan ketika mewakili pasukan Muangthong United dalam saingan AFC Champions League sehingga menarik minat sebuah kelab dari J.League, Consadole Sapporo untuk menandatangani pemain itu.

Pemain sayap skuad kebangsaan Thailand ini sudah berjaya membuka mata Jepun bahawa kehadiran beliau bukan sekadar alat pemasaran kelab itu.

Sejak melakukan penampilan pertama dalam J1 League pada 29 Julai 2017 ketika bertemu juara AFC Champions League 2017, Urawa Reds, Chanathip Songkrasin telah tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan Hokkaido Consadole Sapporo sebanyak 14 kali daripada 15 perlawanan.

Dengan prestasinya yang semakin hari menjadi buah mulut orang Jepun terutamanya penyokong Hokkaido Consadole Sapporo, ia jelas ‘jawapan’ kepada persoalan keraguan mereka apabila tiba di Sapporo.

Kini mereka sudah menganggap Chanathip Songkrasin sebagai seorang ‘key’ player mereka, dan bukan lagi sekadar penumpang dalam pasukan untuk dijadikan alat pemasaran kelab di Asia Tenggara.