5 Pemain Yang Disingkirkan Selepas Bersengketa Dengan Pep Guardiola

Kerjasama Semuanya BOLA

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini dunia bola sepak

Pep Guardiola adalah salah seorang pengurus terbaik dunia pada hari ini dan telah memenangi pelbagai kejuaraan di dalam bola sepak. Ini termasuklah dua kejuaraan Champions League, dua kejuaraan Premier League, dan tiga trofi kejuaraan lain di Bundesliga dan La Liga.

Tempoh beliau bersama Barcelona dicanang sebagai yang terbaik di dalam sejarah Barcelona apabila menjadi pengurus termuda menjuarai kejuaraan Champions League yang menandakan kelahiran taktikal bola sepak moden.

Sejak bergelar pengurus, dari Barcelona sehingga kini di Etihad bersama Manchester City, Guardiola juga telah mengendalikan ramai pemain. Dani Alves misalnya melihat Guardiola sebagai seorang genius. Bekas pemain pertahanan Bayern Munich, Dante pula mempunyai pandangan beliau tersendiri mengenai Guardiola.

Beberapa pemain yang biasanya tidak mempunyai persefahaman dengan Guardiola kebiasaannya terpaksa disingkirkan daripada pasukan. Berikut adalah antaranya.

Dante (Bayern Munich)

Pemain pertahanan Brazil ini menyertai Bayern Munich pada 2012 dan membantu juara Jerman itu merangkul kejuaraan treble, termasuk Champions League pada musim pertamanya di Allianz Arena.

Dante memainkan peranan penting pada musim tersebut dengan membentuk gandingan mantap bersama Jerome Boateng. Gandingan kedua-duanya hanya dibolosi 15 gol dari 34 perlawanan.

Walaupun merupakan antara nama pertama yang berada di dalam kesebelasan utama Jupp Heynckes, Dante mendapati perkara itu berubah sejak ketibaan Pep Guardiola. Pengendali kelahiran Catalan itu mengambil alih dari Heynckes pada 2013, dan Dante ditunjukkan pintu keluar oleh Guardiola pada 2015.

Dalam satu temu ramah, Dante pernah mengulas mengenai hubungan beliau bersama Guardiola. “Beliau tidak akan bercakap kepada anda dan sebagai pemain anda tidak tahu di mana anda berada. Terdapat jurulatih yang mempunyai kemahiran taktikal berkelas dunia, tetapi tidak bagus dalam mengendalikan pemain sebagai manusia. Demikianlah Guardiola.”

Joe Hart (Manchester City)

Seterusnya adalah bekas penjaga gol England dan Manchester City, Joe Hart. Kini beraksi bersama Tottenham Hotspur, Hart masih dianggap sebagai legenda oleh penyokong setia City selepas 12 tahun bersama kelab itu.

Pemain berusia 33 tahun itu adalah penjaga gol utama ketika City merangkul kejuaran pertama Premier League mereka pada musim 2011/12. Namun nasib Hart mulai berubah selepas ketibaan Guardiola yang kemudiannya kerap memanaskan bangku pemain simpanan.

Hart dikatakan disisihkan oleh Guardiola kerana tidak menepati ciri “sweeper keeper” yang dikehendaki oleh beliau. Guardiola kemudiannya membawa masuk Caludio Bravo untuk menggantikan Hart sebagai penjaga gol No.1 City.

Pada 2016, Hart terpaksa beraksi secara pinjaman bersama Torino, dan pada masa yang sama Bravo kemudiannya digantikan oleh Ederson.

Yaya Toure (Barcelona & Man City)

Pemain ketiga di dalam senarai ini ialah seorang lagi legenda Manchester City, Yaya Toure. Persengketaan Guardiola-Toure dianggap sebagai salah satu persengketaan yang paling kontroversi di dalam bola sepak, dan turut melibatkan ejen Yaya Toure, Dimitri Seluk yang tidak teragak-agak mencemuh Guardiola melalui media.

Sebagai tindak balas Guardiola berkata beliau akan memastikan pemain antarabangsa Ivory Coast itu tidak akan beraksi lagi buat pasukannya sehingga permohonan maaf dilakukan.

Tiada pilihan, Toure melakukan permohonan maaf bagi pihak ejen beliau, sebelum sekali lagi mendapat peluang beraksi bersama City. Episod yang berlaku pada musim 2015/16 itu rupa-rupanya belum berakhir dan berterusan sehingga menyebabkan Toure meninggalkan Etihad pada 2018, selepas lapan tahun beraksi bersama City.

Kejadian di City bukan kali pertama Guardiola bersengketa dengan Toure. Perkara sama pernah berlaku apabila Guardiola memilih Sergio Busquet yang lebih muda untuk turun beraksi dalam kesebelasan Barcelona berbanding Toure.

Kedua-duanya disatukan kembali tujuh tahun selepas itu di Etihad, dan sejarah sekadar berulang apabila Toure mendapati dirinya sekali lagi disisihkan oleh Guardiola.

Samuel Eto’o (Barcelona)

Bekas penyerang legenda Barcelona ini beraksi di bawah kendalian Pep Guardiola pada musim pertama pengurus itu mengendalikan skuad utama gergasi Catalan tersebut. Ketajaman penyudah dimiliki pemain antarabangsa Cameroon itu adalah antara punca kekuatan membantu Guardiola dan Barcelona merangkul kejuaraan treble pada musim 2008/09.

Pada musim berikutnya ramai menjangkakan Eto’o akan memainkan lebih banyak peranan untuk memperkuatkan Barcelona. Sebaliknya berlaku apabila beliau dilepaskan oleh Guardiola kepada Inter Milan.

“Beliau [Guardiola] tidak mempunyai keberanian menjelaskan perkara sebenar di hadapan saya. Saya beritahu dia bahawa saya adalah Samuel Eto’o dan sayalah yang membuatkan anda menang. Dia memberikan ceramah kepada saya bagaimana untuk menyerang, tetapi pada masa yang sama mahu saya mengambil peranan sebagai pemain tengah,” jelas Eto’o dalam satu temubual.

“Xavi berkata mereka mahu untuk saya terus kekal, tetapi saya harus bercakap kepada Pep. Saya hanya akan katakan ‘tidak’ jika anda tidak pandai untuk menghormati saya. Saya juga tidak akan menghormati kamu.”

Enggan menoleh ke belakang Eto’o menyertai Inter Milan dan di sana beliau sekali lagi meraih kejuaraan treble – kali ini pada musim pertama Jose Mourinho. Membantu perpindahan Eto’o ke Inter ialah perpindahan Zlatan Ibrahimovic yang berpindah menyertai Barcelona.

Zlatan Ibrahimovic (Barcelona)

Seperti dikatakan tadi, Ibrahimovic tiba di Nou Camp sebagai pengganti Eto’o. Melalui penyerang Sweden itu, Barcelona memiliki seorang penyerang yang menawarkan dimensi serangan berbeza kerana fizikal dan kemampuan Ibrahimovic melakukan penyudah sukar.

Zlatan Ibrahimovic boleh dianggap sebagai pemain paling ternama yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Guardiola. Walaupun pemain itu dilihat memiliki keupayaan teknikal luar biasa, hubungan kedua-duanya menjadi keruh hanya selepas separuh musim.

Melalui pendedahan Ibrahimovic melalui buku biografinya, pemain yang turut pernah menyarung jersi PSG, Manchester United, AC Milan, Ajax, dan LA Galaxy itu betkata: “Saya menjerit kepadanya dan menggelar dia pengecut, dan kemudian kata-kata lain yang lebih teruk dari itu. Anda bercakap besar kerana Jose Mourinho. Anda boleh pergi saja ke neraka.”

Penyerang AC Milan itu kemudian menyambung: “Bulan-bulan pertama semuanya berjalan dengan baik dan kemudian sesuatu berlaku dan saya masih tidak faham apa itu. Dan sehingga kini saya masih menantikan jawapan. Beberapa bulan selepas itu ‘faslsafah bola sepak’ sudah tidak saya pedulikan.”

Penutup

Tiada keraguan bahawa Pep Guardiola adalah pakar taktikal moden No.1 pada hari ini. Berdasarkan kejadian-kejadian di atas, pengurusan pemain atau ‘man management’ adalah salah satu kelemahan beliau.

Apa pula pendapat anda. Nyatakan pendapat anda melalui platform yang kami sediakan. Kami juga mahu mendengarnya daripada anda.

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Pep Guardiola:

Karier Angelino ‘Dibunuh’ Pep Guardiola Selepas 2 Perlawanan Sahaja

Phillip Lahm: Bayern Sudah Bebas Dari ‘Cengkaman’ Tiki-Taka Guardiola

Guardiola Puji Ole

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply