5 Pemain Termasuk Martial Yang Mungkin ‘Dilelong’ United Selepas Ketibaan Sancho & Varane

Anthony Martial Manchester United

Selepas berbelanja besar sejumlah £73 juta untuk mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund, tentunya Manchester United perlu mendapatkan dana tambahan bagi memastikan kewangan pasukan pada tahap terbaik.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu juga semakin hampir untuk membawa masuk Raphael Varane dari Real Madrid yang memerlukan mereka berbelanja sekitar £35 juta bagi mendapatkan pertahanan Perancis tersebut.

Maka langkah terbaik untuk menampung beban perbelanjaan itu adalah menjual beberapa pemain yang masih mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran perpindahan.

Berikut adalah lima pemain yang mungkin dijual oleh Manchester United dalam jendela perpindahan ini.

Anthony Martial

Pemain berusia 25 tahun ini jelas bergelut untuk mengekalkan konsistensinya dalam setiap perlawanan. Sehingga hari ini, tiada lagi musim yang menyaksikan beliau mampu mengekalkan ketajamannya sepanjang semusim penuh seperti penyerang prolifik lain.

Justeru itu, pemain itu mungkin masih boleh dijual dengan nilai yang agak tinggi memandangkan kontraknya masih berbaki tiga tahun lagi.

Louis van Gaal sebelum ini membelanjakan £36 juta untuk mendapatkan Martial dari Monaco. Dengan prestasi semasanya ketika ini, mungkin harga penjualannya tidak jauh daripada nilai itu.

Tottenham Hotspur dilapor menjadi salah satu pasukan yang berminat, namun belum tentu kelab Inggeris itu mampu membayar gaji lumayan £250,000 yang diterima Martial di United ketika ini.

Paul Pogba

Apa lagi pilihan yang ada buat United melainkan menjual Pogba pada jendela perpindahan musim panas ini daripada membiarkan beliau meninggalkan kelab secara percuma apabila kontraknya berakhir pada Jun 2022.

Walaupun telah ditawarkan kontrak baharu dengan kenaikan gaji setinggi £350,000, pemain berusia 28 tahun itu dikatakan lebih cenderung untuk mencari cabaran baharu kerana sudah bosan menantikan kejuaraan liga yang tidak kunjung tiba.

Paris Saint-Germain (PSG) dikatakan bersedia untuk membuat bidaan sekitar £45 juta. Walaupun nilai itu jauh lebih rendah daripada £89 juta yang dibelanjakan The Red Devils untuk mendapatkannya dari Juventus lima tahun lalu, namun ianya adalah pilihan yang lebih baik daripada langsung tidak mendapat apa-apa dalam tempoh setahun lagi.

David de Gea

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Sepanyol itu bukan sahaja mengakibatkan beliau kehilangan posisi penjaga gol utama kepada Dean Henderson di Manchester United, tetapi di skuad kebangsaan beliau juga kini merupakan pilihan kedua di belakang Unai Simon.

Selaku penerima gaji tertinggi di Old Trafford iaitu sekitar £350,000 seminggu, masalah utama buat Manchester United adalah tiada pasukan yang mahu membeli pemain ini. Kali terakhir ada kelab yang mahukannya adalah Real madrid pada 2015 yang lalu.

Kepulangan penjaga gol veteren, Tom Heaton juga sudah cukup untuk menjadi penjaga gol sandaran buat Henderson.

Alex Telles

Pada awalnya ketibaannya di Old Trafford adalah untuk menjadi pengganti kepada Luke Shaw yang semakin ‘hilang arah’, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Luke Shaw menikmati musim terbaiknya pada musim lalu dan muncul bek kiri terbaik di England sehingga disenaraikan sabagai salah seorang pemain terbaik skuad The Three Lions di kejohanan Euro 2020 tempoh hari.

Kemudian muncul pula pemain muda dari akademi seperti Brandon Williams yang telah memecah masuk ke skuad utama.

Beberapa pasukan sudah menunjukkan minat untuk meminjam pemain ini, tetapi United mungkin lebih cenderung untuk mendapatkan tunai.

Andreas Pereira

Pemain Brazil ini sudah pun kehilangan tempat dalam skuad utama setelah United membawa masuk Donny van de Beek dari Ajax pada musim lalu. Jesse Lingard juga telah kembali mencapai prestasi terbaiknya sewaktu dipinjamkan ke West Ham United.

Maka jelas beliau tiada lagi dalam perancangan pasukan dan penjualan pemain berusia 25 tahun itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pembayaran bil gaji pemain dan menambah aliran tunai kelab.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN