5 Pemain Man Utd Yang Paling Tidak Berprestasi Ketika Bertemu Watford

Man Utd sekali lagi berdepan dengan kekalahan yang sangat memalukan, selepas mereka menjadi mangsa belasahan Watford di Vicarage Road awal pagi tadi.

Skuad Red Devils yang jelas turun sebagai pasukan pilihan terpaksa akur dengan kekalahan 4-1 di tangan pasukan tuan rumah.

Para pemain Man Utd telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat mengecewakan dalam perlawanan ini, dengan mereka didominasi sepenuhnya oleh Watford.

Walau persembahan Manchester United tidak berada di tahap terbaik, namun tiada siapa sangka mereka boleh dibelasah teruk dengan pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran itu.

Watford terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Joshua King sebelum Ismaila Sarr menggandakan kedudukan sebelum tamat aksi babak pertama.

Donny Van de Beek berjaya merapatkan jurang gol pada aksi babak kedua permainan, sebelum Joao Pedro dan Emmanuel Dennis meledak gol untuk mengesahkan kemenangan 4-1 Watford menewaskan Man Utd.

Kekalahan ini juga telah menyebabkan Ole Gunnar Solskjaer dipecat oleh pimpinan kelab, dengan beliau dan pihak kelab kini sedang berunding berkait pampasan.

Walaupun United memiliki skuad yang dipenuhi dengan pemain bintang, namun aksi yang dipersembahkan oleh para pemain terlalu teruk untuk ditonton.

Mereka yang dianggap bakal mencabar kejuaraan liga kini hanya mampu untuk berada di kedudukan ketujuh sahaja dalam carta saingan liga dengan tujuh mata dipisahkan dari pendahulu saingan Premier League, Chelsea.

Jelas sekali selain kesilapan taktikal Ole Gunnar Solskjaer, segelintir pemain juga turut melakukan kesilapan dengan mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mendukacitakan.

Berikut merupakan lima pemain paling tidak berprestasi ketika aksi kekalahan memalukan 4-1 di tangan Watford awal pagi tadi.

5. Nemanja Matic

Ekoran dari persembahan buruk yang dipamerkan oleh Fred dan Scott McTominay, Solskjaer akhirnya memilih pemain veteran kelab, Matic untuk diturunkan dalam kesebelasan utamanya.

Pemain kebangsaan Serbia itu tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain midfield terbaik sejak sedekad lalu, namun sayangnya beliau gagal pamerkan aksi terbaiknya dalam perlawanan ini.

 

 

Matic gagal untuk mengawal barisan tengah dengan baik, dan beliau jelas menjadi punca sering melepaskan bola kepada pemain Watford.

Bintang berusia 33 tahun itu didominasi sepenuhnya oleh Sarr dan Cleverly dan kualiti hantaran yang beliau tunjukkan dalam perlawanan ini juga sungguh mengecewakan.

4. Bruno Fernandes

Bruno Fernandes telah membuktikan yang dirinya merupakan pemain midfield terhebat dalam saingan Premier League sejak dari awal ditandatangani oleh United.

Pemain kebangsaan Portugal itu sering memberi kelainan dan impak yang cukup positif dalam membantu jentera serangan Manchester United.

Sayang sekali, beliau gagal mempamerkan aksi persembahan yang sama dalam perlawanan ini, dengan Fernandes dilihat hilang arah ketika mahu membantu jentera serangan.

Bruno berjaya dikawal sepenuhnya sepanjang perlawanan ini dan ia menyebabkan beliau tidak mampu memberikan impak seperti yang diharapkan.

Bola hantaran beliau juga sering terkandas dengan Fernandes sangat jelas tidak mampu melakukan apa-apa melainkan hanya melihat skuadnya dibelasah teruk dalam perlawanan ini.

Kesilapan beliau juga turut mengakibatkan United hampir dibolosi seawal minit ke-6 permainan, selepas bola sepakan beliau mengundang kepada McTominay menjatuhkan King di dalam kotak, seterusnya menghadiahkan sepakan penalti kepada Watford.

3. Aaron Wan-Bissaka

Aaron Wan-Bissaka sebelum ini pernah dianggap sebagai salah seorang full-back terhebat dalam saingan Premier League sejak dari awal ketibaannya ke bumi Old Trafford.

Malang sekali, beliau sepertinya telah menjadi antara pemain paling tidak berprestasi Manchester United sepanjang musim ini, selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengecewakan.

Ketika aksi bertemu Watford, beliau sekali mempamerkan aksi persembahan yang sangat hambar dan menyebabkan beliau teruk dikritik oleh para peminat.

Tidak dinafikan yang Wan Bissaka memang tidak mempunyai kualiti yang baik ketika menyerang, namun beliau sebenarnya sangat mantap ketika membantu barisan pertahanan.

Walau bagaimanapun, dalam perlawanan bertemu Watford ini, beliau sepertinya hilang keupayaan tersebut dan terlalu mudah untuk melihat beliau didominasi.

Bahagian kanan sering menjadi pilihan pemain Watford untuk melakukan build up serangan dan ia jelas membuktikan yang beliau sememangnya terlalu mudah untuk dilepasi dalam perlawanan ini.

2. Cristiano Ronaldo

Melihat nama Cristiano Ronaldo berada dalam senarai ini mungkin akan membangkitkan kemarahan segelintir peminat, apa lagi selepas melihat beliau mencatatkan satu assists.

Namun begitu, tidak boleh dinafikan lagi yang beliau sememangnya tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan ini, dan kerap juga mensia-siakan kesempatan untuk menjaringkan gol.

Jentera serangan Man Utd terlalu lemah dan tidak berfungsi dengan Ronaldo antara yang paling teruk dikecam kerana malas melakukan press dan tidak mahu mencari bola.

Pada aksi babak pertama, beliau mungkin boleh beri alasan yang beliau tidak mendapat sokongan dari pemain di posisi tengah, namun selepas Van de Beek dimasukkan, Ronaldo kerap disajikan dengan kesempatan untuk menjaringkan gol.

Namun entah apa yang berlaku, beliau dilihat sangat tumpul dan seolah-olah hilang tumpuan untuk terus beraksi dalam perlawanan yang memperlihatkan skuadnya sedang teruk dibelasah.

Antara kesempatan terbaik untuk beliau menjaringkan gol adalah ketika menerima ‘killer pass’ dari Van de Beek, namun percubaan beliau berjaya diselamatkan oleh Ben Foster.

1. Harry Maguire

Sudah terang lagi bersuluh, sangat jelas dan pasti yang Maguire merupakan pemain paling tidak berprestasi dalam perlawanan ini, dan ia bukan hanya kerana kad merah yang beliau terima, namun ia juga kerana aksi hambar yang beliau persembahkan.

Kad kuning kedua yang beliau terima juga agak tidak masuk akal kerana kekasaran yang beliau lakukan sebenarnya datang dari kesilapan beliau sendiri.

Beliau sememangnya telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat teruk sejak kebelakangan ini, dan aksi bertemu Watford merupakan kemuncak kejatuhan beliau.

Dengan Raphael Varane sedang terpaksa diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan, pihak kelab jelas sekali sangat berharap kepadanya.

Namun apa yang Maguire persembahkan dalam perlawanan ini, membuktikan yang beliau sememangnya tidak boleh diharapkan.

Kesilapan yang beliau lakukan bukan hanya menghukum dirinya, namun ia juga sebenarnya memberi impak teruk kepada rakan sepasukannya secara keseluruhannya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply