5 Pemain Leeds United Meningkat Naik Di Bawah Kendalian Marcelo Bielsa

Kerjasama Semuanya BOLA

Marcelo Bielsa mencipta sejarah apabila Leeds United menewaskan Rotherham United 2-0 di Elland Road pada hujung minggu lalu.

Kemenangan tersebut bermakna pengurus dari Argentina itu menjadi pengurus Leeds yang pertama berjaya merekodkan tiga kemenangan dari empat perlawanan pertama, dan merupakan pencapaian terbaik sejak beberapa musim lalu.

Kebiasaannya setiap pasukan akan mengalami kesukaran untuk mengadaptasi kepada falsafah dan corak bola sepak di bawah kendalian pengurus baru.

Tetapi ianya tidak sebegitu bagi pegendali berpengalaman seperti Bielsa. Menggunakan khidmat skuad yang hampir sama pada musim lalu, pencapaian Leeds setakat ini dianggap luar biasa.

Berikut adalah 5 pemain yang menyerlah di bawah kendalian pengurus berpengalaman ini berdasarkan data oleh Squawka.

1. Kemar Roofe

Kemar Roofe adalah pemain yang paling ketara menunjukkan peningkatan di bawah kendalian Bielsa.

Bekas pemain remaja West Brom tersebeut sebelum ini menyertai Oxford United di bawah kendalian Michael Appleton.

Selepas musim menakjubkan pada 2015/16 yang menyaksikan beliau menjaringkan 26 gol dari 48 penampilan dari semua pertandingan, beliau dilepaskan ke Leeds dengan tanda harga £3 juta pada musim berikutnya.

Bagi Oxford, Roofe tidak menunjukkan potensi yang diharapkan, dan ia diikuti dengan dua musim yang serba tidak menjadi bersama Leeds selepas itu.

Kegagalan Roofe dikaitkan dengan kegagalan barisan kejurulatihan Leeds yang meletakkan beliau di posisi sayap, dan sering seperti kehilangan (isolated) ketika perlawanan.

Bielsa lantas mengembalikan pemain itu ke posisi penyerang tengah seperti mana di Oxford. Tiga gol dan satu bantuan gol setakat ini, adalah bukti Roofe mempunyai potensi lebih dari itu.

Rajin melakukan pressing dan larian tanpa mengenal penat lelah sangat sesuai dengan taktikal permainan yang diterapkan oleh Bielsa.

Pada usia 25 tahun, ini adalah musim yang penting buat Roofe membuktikan dirinya, dan beliau semestinya bersyukur dengan ketibaan Bielsa.

2. Mateusz Klich

Mateusz Klich bagaikan pemain baru kepada Leeds United selepas kembali dari pinjaman bersama FC Utrecht di Liga Belanda.

Pemain tengah Poland ini memainkan peranan besar untuk menutup ruang dan melakukan pressing terhadap lawan di dalam sistem Bielsa.

(Photo by Kevin Barnes – CameraSport via Getty Images)

Peranan tersebut menjadikan pemain berusia 28 tahun ini sebagai nadi penting kebangkitan Leeds pada musim ini.

Mempunyai susuk tubuh semulajadi yang sasa seperti yang diperlukan oleh seorang atlet, ia banyak membantu beliau untuk menyesuaikan diri di dalam sistem Bielsa.

Klich sebenarnya bukan pemain pilihan utama di posisi ini tengah. Tetapi prestasi beliau setakat ini pasti menyukarkan Adam Forshaw untuk merebut kembali tempat di dalam kesebelasan utama selepas pulih dari kecederaan.

(photo by Nathan Munkley/Action Plus via Getty Images)

Prestasi yang ditampilkan oleh Klich adalah salah satu contoh hasil persiapan yang dilakukan oleh Bielsa ketika latihan pra musim.

Latihan intensif yang bermula dari 9am sehingga 7pm dalam program kecergasan, diikuti oleh sesi video dan kelas taktikal memudahkan pemain memahami dan mengaplikasikan kehendak pengurus melalui aksi di atas padang.

3. Samuel Saiz

Samuel Saiz bukan dikenali dengan corak permainan bertahan yang baik.

Tetapi dalam perlawanan menentang Derby, pemain ini berlari sejauh 30 meter sebelum melakukan hadangan penting untuk melindungi bahagian pertahanan, sekaligus turut mengkagumkan peyokong lawan.

(Photo by James Williamson – AMA/Getty Images)

Kebolehan pemain ini menunjukkan peningkatan sejak ketibaan Bielsa.

Saiz bijak mengadaptasikan diri dalam permainan terutama ketika transisi bertahan kepada menyerang di dalam sistem baru di Leeds.

(Photo by Athena Pictures/Getty Images)

Beliau juga bijak menggunakan ruang di antara pemain pertahanan untuk meloloskan diri, sekaligus mencipta ruang buat diri dan rakan sepasukan yang lain.

Aspek bertahan adalah keupayaan yang ketara mengalami pembaharuan di dalam permainan Saiz.

4. Luke Ayling

Ayling adalah antara pemain yang paling menonjol ketika bersama Bristol City pada dua musim yang lalu.

Musim ketiga di Elland Road, Ayling turut menampilkan permainan yang berada di tahap baharu di bawah kendalian Bielsa.

Rajin dan gigih berada di mana sahaja melalui lariannya, prestasi bek kanan ini wajar dipuji setakat ini.

Di dalam sistem Bielsa, Ayling harus sentiasa mara ke hadapan untuk melakukan serangan dari bahagian sisi. Ini menyebabkan terdapat ruang besar ditinggalkan di belakang.

Namun kerana kecergasan dan kerajinan pemain ini, ia bukan isu untuk Ayling melakukan tugasan menyerang dan bertahan dengan cemerlang pada satu masa.

Malah Ayling adalah pemain Leeds yang memiliki paling banyak hantaran di dalam dua perlawanan pertama, membuktikan dirinya adalah pemain penting kepada pengurus barunya itu.

Ayling harus memastikan dirinya sentiasa cergas dan sentiasa berkemampuan melaksanakan arahan Bielsa untuk terus kekal sebagai pemain utama.

5. Kalvin Philips

Kalvin Philios adalah antara pemain paling menonjol di bawah sistem Bielsa, dan ia sebenarnya tidak mengejutkan.

Di dalam sistem Bielsa, Philips diibaratkan jantung pasukan apabila diberikan peranan terpenting sebagai seorang deep-lying playmaker yang juga berperanan melindungi bahagian pertahanan.

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Pada usia hanya 22 tahun, Philips telah menampilkan corak permainan yang matang, dan sumbangan produk akademi Leeds ini dalam tiga perlawanan pertama wajar dipuji.

Bertindak sebagai pemain tengah, Philips juga akan beraksi sebagai pemain tengah ketiga (half-back) dalam sebagai pemain hybrid, ketika melakukan tugas untuk bertahan.

(Photo by Ian Horrocks/Sunderland AFC via Getty Images)

Setakat ini Philips melakukan tugasannya tampak mudah, seolah-olah pemain ini sudah lama beraksi di bawah kendalian Bielsa.

Merupakan pemain utama ketika Leeds melakukan serangan dari bawah dengan hantaran pendek dan jauh menakjubkan yang menakjubkan, Philips jelas telah membalas kepercayaan yang diberikan oleh pengurusnya.

Rumusan

Tidak syak lagi Leeds United ialah salah sebuah pasukan yang menarik untuk diikuti di Championship pada musim ini.

Bielsa membuktikan bahawa kreativit dan inovatif taktikal yang betul mampu memacu kejayaan sesebuah pasukan.

Kaedah beliau juga berjaya mencungkil potensi diri pemain yang sebelum ini dilabel sederhana untuk menampilkan aksi terbaik masing-masing demi pasukan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram