5 Pemain Bola Sepak Dunia Yang Dibesarkan Oleh Ibu Tunggal

Hari ini adalah Hari Ibu. Hari Ibu ialah hari apabila seluruh dunia memperingati jasa dan pengorbanan seorang wanita bergelar ibu.

Ibu tidak tertakluk kepada ibu kandung kita sahaja. Isteri, ibu kepada anak-anak kita juga adalah seorang ibu. Begitu juga bagi anda yang mempunyai penjaga yang sudah dianggap sebagai ibu.

Ada pelbagai cara untuk kita meraikan Hari Ibu. Anda boleh memberikan hadiah, kad ucapan ataupun bawalah insan yang bergelar ibu yang anda sayangi untuk makan malam di restoran di sekitar ibu kota.

Jujurnya, penulis bertanggapan Hari Ibu harus diraikan setiap hari. Ibu harus diraikan sepanjang masa. Alasannya mudah. Jasa, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka kongsikan kepada kita amatlah besar.

Apatah lagi ibu tunggal. Cabaran hidup sebagai ibu tunggal bukanlah cabaran yang sembarangan. Sempena Hari Ibu ini, kami kongsikan 5 pemain bola sepak yang dibesarkan oleh ibu tunggal.

1. Arturo Vidal (Bayern Munich)

Jacqueline Pardo adalah ibu kepada bintang tengah Chile, Arturo Vidal. Jacqueline membesarkan Vidal dalam keadaan miskin di kawasan setinggan di ibu kota Chile.

Ayah kepada Vidal, Erasmo Vidal berpisah dengan Jacqueline ketika Arturo Vidal berusia 5 tahun. Sebagai anak sulung, Arturo Vidal turut memangku tugasan untuk mencari nafkah keluarga.

Dalam satu temubual bersama Sportsmail, Vidal berkata:

“Ibu saya bekerja dengan keras untuk menyara kami adik beradik. Saya akan membantu ibu sedaya kemampuan saya. Saya turut merasa bertanggungjawab kepada adik-adik saya yang lain.”

“Saya seperti memegang watak seorang ayah di dalam keluarga kami. Saya sukakannya dan selesa dengan peranan itu.”

Jacqueline Pardo pasti bangga mempunyai seorang anak yang penuh tanggungjawab dan berjaya seperti Arturo Vidal.

2. Memphis Depay (Lyon)

Bekas pemain Manchester United , Memphis Depay juga dibesarkan tanpa seorang ayah. Ayah Memphis meninggalkan keluarganya ketika Memphis berumur 4 tahun.

Ibu Memphis, Cora Schensema membesarkan Memphis dan anak-anaknya yang lain di Selatan Belanda di sebuah perkampungan bernama Moordrecht.

Apabila Memphis menyertai Manchester United, beliau enggan nama ayahnya, Depay terpampang di jersi No.7 beliau.

Ini kerana Memphis berpendapat ayahnya tidak menjalankan tugas sebagai seorang suami dan ayah kepada keluarganya.

Sebagai hadiah, Memphis menghadiahkan ibunya sebuah kereta baharu ketika baru menyertai Manchester United beberapa musim yang lalu.

3. Alexis Sanchez (Arsenal)

Tidak ada siapa pun boleh meramal masa depan seorang pemain bola sepal.. Tetapi tanpa ibunya, Martina Sanchez, dunia tidak akan mengenali bekas bintang Barcelona dan Arsenal ini.

Ayah Alexis meninggalkan keluarganya ketika beliau berusia 5 tahun. Hidup sangatlah sukar dan miskin pada ketika itu.

Martina sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan untuk memastikan Alexis dan adik beradik yang lain untuk mendapatkan sesuap nasi.

Untuk membantu ibunya, Alexis mengambil upah membasuh kereta di sekitar bandaraya di Chile.

Kerana tidak punyai wang untuk membeli sepasang kasut but, ibunya pernah datang ke pejabat Datuk Bandar untuk merayu supaya anaknya dihadiahkan sepasang kasut but untuk bermain bola.

Martina berjaya mendapatkan sepasang kasut but untuk Alexis. Pada hari ini, Alexis Sanchez mampu membeli apa jenis kasut pun untuk ibunya. Sungguh! Ibunya adalah idola bagi Alexis.

4. Luiz Suarez (Barcelona)

Luiz Suarez adalah seorang pemain yang tidak pernah lekang daripada menjaringkan gol. Tetapi tahukah anda dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah sejak berusia 9 tahun?

Ayah Luiz turut meninggalkan beliau dan keluarganya. Sejak daripada itu, Sandra Diaz memegang peranan sebagai ketua keluarga.

Luis gemar bermain bola. Oleh kerana dia hanya memiliki sepasang kasut (hanya untuk bersekolah), maka Luis bermain bola dengan berkaki ayam.

Sandra sedar akan bakat yang dimiliki oleh Luis. Oleh kerana itu, Sandra sanggup membawa Luis untuk sesi pemilihan bakat dianjurkan sebuah kelab tempatan di Montevideo.

Usaha Sandra tidak sia-sia kerana luis terpilih untuk bermain bersama kelab akademi Lagomar pada usia 7 tahun.

Pada usia 19 tahun, bakat Luis dikesan oleh pencari bakat dari Belanda. Kita semua tahu apa yang berlaku dalam karier menakjubkan Luis Suarez selepas itu.

Sandra Diaz pasti bangga kerana pengorbanannya tidak sia-sia.

5. Cristiano Ronaldo

Maria Dolores hampir mengugurkan kandungannya bila sedar dirinya telah mengandung. Bagaimanapun, Maria membatalkan niatnya itu.

Ayah Ronaldo tidak bersamas-sama Maria untuk membesarkan anak mereka. Ayahnya adalah seorang pemabuk, dan menghabiskan kebanyakkan masa dengan alkohol.

Ayahnya meninggal dunia ketika Ronaldo berusia 20 tahun akibat penyakit yang berpunca daripada alkohol.

Maria Dolores pernah berkata:

“Dia adalah anak yang saya pernah ingin gugurkan. Tuhan tidak mahu saya melakukannya. Hari ini hidup kami diberkati kerana tindakan bijak saya itu.”

“Jika saya meneruskan niat tersebut, Tuhan pasti menghukum saya pada hari ini.”

Maria Dolores gigih membesarkan Cristiano Ronaldo sehingga beliau berjaya. Pada hari ini, bintang Portugal itu sudah tampil sebanyak 4 kali sebagai Pemain Terbaik Dunia oleh FIFA.

Kesimpulan

Hargailah seorang ibu selagi mereka masih ada. Raikan mereka setiap hari. Sayangilah mereka seadanya.

Kami warga kerja Semuanya BOLA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Ibu kepada semua pembaca kami yang bergelar ibu.

 

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak dunia:

PSG Umum Lanjutan Kontrak Neymar Sehingga 2025

Selepas Salah, Kini Riyad Mahrez Pula Jadi Ikon Kebanggaan Muslim Di Seluruh Dunia

Klopp Anggap Penyokong Man Utd Melampau Dan Menyusahkan

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply