5 Kelebihan Ryuji Utomo Yang Boleh Bantu Penang FC Di Liga Super

Ryuji Utomo Penang FC 2021

Pemain kacukan Indonesia-Jepun, Ryuji Utomo telah menyertai Penang FC secara pinjaman untuk tempoh semusim daripada kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta.

Tiada siapa yang mengenalinya di Malaysia sebelum ketibaannya, namun di Indonesia, beliau sudah terkenal. Ada yang mengatakannya persis kapten Real Madrid, Sergio Ramos dek kerana gaya permainannya yang keras dan penampilan fizikalnya.

Pertahanan tengah berusia 25 tahun itu berkemungkinan besar bakal menjadi aset penting buat Harimau Kumbang di saingan Liga Super musim depan. Mengapa?

1. Bijak baca permainan dan putuskan gerakan lawan

Ryuji Utomo boleh dikatakan sebagai pertahanan yang menggunakan ‘otak’ ketika bertahan. Tidak hanya membuta tuli mengasak penyerang lawan, beliau terlebih dahulu akan membaca permainan dengan melihat pergerakan pemain bersama bola dan memastikan di mana pemain seterusnya yang bakal menerima bola.

Dari situ, beliau akan berjaya memutuskan gerakan lawan di kawasan defensive third mereka. Pemain yang membantu skuad B-23 Indonesia meraih pingat gangsa di Sukan SEA 2017 itu boleh diharapkan untuk mengawal pergerakan penyerang lawan.

2. ‘Tukang kunci’ terbaik penyerang lawan

Tidak seperti man-to-man marking, Ryuji Utomo lebih kepada pertahanan yang zonal marking. Beliau akan memastikan kawasannya terjaga dan selalunya penyerang utama yang menjadi pemain terakhir menerima bola akan berhadapan dengannya.

Beliau akan tampil rapat kepada penyerang lawan dan merampas kawalan bola daripada kaki mereka. Beliau akan membaca pergerakan dahulu sebelum menghampiri penyerang yang mungkin bakal menerima bola terakhir.

Penang FC sudah memiliki Rafael Vitor yang juga bagus bertahan terutamanya dalam menghadapi bola tinggi dan gandingan dua bek tengah import semestinya bakal mengukuhkan benteng Harimau Kumbang berdepan cabaran di Liga Super.

3. Permainan mudah dan pantas

Menepati gaya permainan yang diterapkan Penang FC sepanjang hampir dua musim di bawah kendalian Manzoor Azwira, Ryuji Utomo dikatakan sangat jarang membuat hantaran jauh ke depan yang tiada hasil kecuali ianya boleh menghasilkan sesuatu.

Beliau lebih gemarkan hantaran-hantaran dekat dan pantas. Tidak mengambil banyak masa memegang bola, Ryuji Utomo juga memiliki hantaran yang baik selain sering berkomunikasi bersama rakan-rakan di benteng dan juga penjaga golnya bagi melancarkan setiap hantaran atau dalam memulakan pergerakan ke jentera tengah.

Begitupun, satu perkara yang perlu dikawalnya adalah tahap agresif yang dilihat bakal mengundang kad kuning atau merah. Di Liga 1 Indonesia, beliau adalah pengumpul kad kuning, namun di Malaysia harus ditekankan, pengadilnya lebih ‘pemurah’.

4. Bijak perangkap offside lawan

Disebabkan beliau bijak dalam membaca permainan dan memiliki larian deras, Ryuji Utomo boleh dimanfaatkan oleh pasukan yang bermain dengan high defensive line iaitu dengan membuat perangkap offside. Beraksi bersama Persija Jakarta, itulah kelebihannya, malah beliau memiliki tahap fokus yang tinggi dan fizikal cergas.

Bekas pengendali pasukan, Edson Tavares pernah berkata yang beliau adalah aset pasukan kerana boleh bermain di posisi pertahanan dan tengah bertahan. Tavares beberapa kali merubah posisi pemain tersebut mengikut taktikal yang diterapkannya.

5. Pernah beraksi di pentas Asia

Selain telah banyak kali mewakili Indonesia B-19 dan B-23, Ryuji Utomo juga pernah bermain di pentas Asia dalam saingan Piala AFC dan juga pusingan kelayakan AFC Champions League. Ini mungkin telah membantu mematangkan permainannya.

Aksi terpujinya adalah pada saingan kelayakan AFC Champions League 2019 menentang wakil Australia, Newcastle Jet di gelanggang lawan. Beliau dikatakan memiliki penjiwaan dan fokus yang sangat baik berdepan lawan yang jauh lebih baik.

Musim ini, beliau terpaksa dipinjamkan ke Penang FC atas sebab ketidaktentuan mengenai masa depan pertandingan bola sepak di Indonesia yang tertangguh sejak Mac lalu. Sehingga saat ini, Liga 1 Indonesia masih belum diputuskan akan kembali ataupun tidak sehingga memaksa beberapa pasukan melepaskan pemain mereka.

KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC

Baca lagi artikel mengenai Ryuji Utomo dan Penang FC:

RASMI: Pulau Pinang Pinjam Pemain Kacukan Indonesia-Jepun, Ryuji Utomo

Penjaga Gol Ke-4 Terbaik Liga Super, Bryan See Tekad Cabar Slot Utama Penang FC

Kelibat 6 Lagenda Penang FC Dilihat ‘Kembali’ Ke Stadium Bandaraya

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN