5 Gol Terbaik Safee Sali Bersama Harimau Malaya Pilihan Semuanya BOLA

Safee Sali Malaysia Singapura Piala AFF Suzuki

Yang manakah antara 5 gol terbaik Safee Sali bersama skuad negara ketika beliau bersama Malaysia? Rantau Asia Tenggara pernah digegar oleh anak kelahiran Kajang, Selangor ini satu ketika dahulu menerusi jaringan golnya bersama Harimau Malaya.

Malah ada yang menyamakannya dengan Mokhtar Dahari ketika di era kehebatannya. Penjaga gol mana yang tidak risau berdepan dengan rembatannya, tidak kira menerusi kaki kanan mahupun kaki kiri, kedua-duanya mempunyai bisanya yang tersendiri.

Safee Sali membuat 76 penampilan bersama Harimau Malaya dan telah meledak 23 gol keseluruhannya. Majoriti golnya dihasilkan ketika saingan Piala AFF Suzuki.

Safee Sali sekali lagi menyatakan keinginannya untuk menyarung jersi skuad negara dan menurutnya ianya tidak pernah padam selagi beliau aktif bermain. Ketika ini beliau merupakan penyerang untuk pasukan PJ City FC yang bersaing di Liga Super 2020.

Jom kita soroti lima gol terbaik sepanjang kariernya bersama skuad negara. Semua tahu kelebihan rembatan derasnya satu ketika dahulu, tetapi beliau juga mampu menghasilkan gol menerusi tandukan serta memiliki tahap ketenangan yang tinggi.

Malaysia 4-0 Nepal, Pestabola Merdeka 2008

Ini merupakan gol ke-3 peribadinya bersama Harimau Malaya. Safee Sali berhasil meledak dua gol pada malam tersebut dan gol pertamanya hadir pada minit ke-25 menerusi libasan akrobatik untuk menewaskan penjaga gol Nepal, Ritesh Thapa.

Beliau terlebih dahulu menanduk bola tersebut sebelum melakukan libasan akrobatik jauh yang memukau Ritesh Thapa berdekatan kotak penalti lawan. Malaysia menang 4-0 dalam aksi pembukaan kejohanan yang mana Malaysia muncul naib juara.

Malaysia 3-0 Laos, Piala AFF Suzuki 2008

Ini adalah antara gol menarik Safee Sali yang dijaringkan ketika menundukkan Laos dalam aksi pembukaan kejohanan tersebut. Ia perlawanan yang sukar kerana golnya ini adalah jaringan pertama skuad negara dan ianya hanya dihasilkan pada minit ke-68.

Sepakan penjuru yang diambil oleh Indra Putra Mahayuddin berjaya disambut dengan sentuhan kaki di depan pertahanan yang sedang mengawalnya. Satu tindakan yang bijak apabila penyerang ikonik negara itu menghulurkan kakinya terlebih dahulu.

Malaysia 3-0 Laos, Piala AFF Suzuki 2008

Safee Sali meneruskan sentuhan cemerlangnya pada malam itu dan sekali lagi hasil bantuan hantaran lambung Indra Putra Mahayuddin ke dalam kawasan gol lawan yang disudahkan menerusi tandukan tipis membelakangkan gol, pada minit ke-87.

Gol kelapan peribadinya itu membantu skuad kendalian B. Satiananthan membuka kejohanan dengan keputusan yang baik, namun itulah satu-satunya kemenangan yang diperolehi. Malaysia kemudian tewas kepada Vietnam dan kemudian Thailand.

Malaysia 1-2 Indonesia, Piala AFF Suzuki 2010

Malaysia tewas tipis namun, jaringan Safee Sali sudah cukup untuk memberikan skuad negara kejuaraan pertama Piala AFF Suzuki. Malaysia melangkah ke Jakarta dengan bekal tiga gol, dua daripadanya adalah hasil jaringannya ketika di Bukit Jalil.

Kejohanan yang akan sentiasa diingati penyokong negara. Hantaran jarak jauh dari kawasan negara membelah dua pertahanan lawan menemuinya yang membuat larian sebelum merembat padu kaki kiri untuk menewaskan Markus Haris Maulana.

Malaysia 1-2 New Zealand, Persahabatan

Ini merupakan jaringan sulungnya bersama skuad kebangsaan. Gol penyamaan pada minit ke-24 itu dihasilkan menerusi rembatan padunya dari luar kotak penalti lawan yang hanya mampu ditepis masuk ke dalam gol oleh penjaga gol tuan rumah.

Berkongsi detik tersebut di laman Facebook peribadinya malam tadi dengan antara ungkapannya, “Abaikan style abam masa zaman ni yer. Ini kisah mula-mula sumbang gol untuk pasukan negara. Jangan putus asa dan selalu positif untuk berjaya.”

Penutup

Itu antara pilihan gol menarik Safee Sali bersama skuad negara oleh Semuanya BOLA. Ada lagi yang anda rasa menarik? Sila kongsikan bersama kami dan pembaca lain.

“Nampak seperti ada kekosongan di posisi penyerang utama, jadi kenapa tidak? Mungkin juga saya boleh menyumbang dari segi sumbangan pengalaman,” memetik kenyataannya kepada Berita Harian yang dilaporkan oleh Semuanya BOLA semalam.

KREDIT FEATURED IMAGE: REUTERS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram