5 Fakta Menarik Mengenai Hakimi Abdullah Perlu Anda Tahu Selepas Bocori Gawang JDT

Nama Hakimi Abdullah tiba-tiba sahaja menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan, apabila jaringan pemain muda itu untuk Terengganu FC membantu skuad penyu menewaskan JDT 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim di saingan Liga Super Malaysia pada malam tadi.

Berikut adalah antara fakta-fakta menarik mengenai Hakimi Abdullah, dan jaringan yang dilakukan oleh beliau yang memberikan tiga mata berharga buat Terengganu FC.

Rekod tanpa kalah JDT

Kekalahan 0-1 JDT kepada Terengganu FC pada malam tadi hasil gol tunggal perlawanan oleh Hakimi Abdullah bermakna rekod 21 perlawanan tanpa kalah JDT di saingan Liga Super.

Kekalahan ini juga adalah yang pertama berlaku di tempat sendiri sejak JDT tewas kepada kepada PJ City pada Julai 2019. Ini juga kekalahan pertama JDT musim ini dan kekalahan pertama di Stadium Sultan Ibrahim. Sebelum tewas kepada PJ City pada 2019, JDT tidak tewas dalam 22 perlawanan di tempat sendiri.

Debut Hakimi di Liga Malaysia

Debut Hakimi Abdullah di saingan Liga Malaysia hadir pada 10 Oktober 2018 ketika menyarung jersi Kelantan TRW di dalam saingan Piala Malaysia pada musim tesebut.

Kelantan TRW di bawah kendalian Yusri Che Lah pada ketika itu dihiasi oleh ramai pemain muda selepas kemelut kewangan yang melanda pasukan tersebut. Hakimi tampil sebagai pemain muda ke-8 yang diberikan debut oleh Yusri Che Lah pada musim terebut.

Hatrik luar biasa

Antara perlawanan yang menjadi perhatian dan menarik tumpuan ketika masih bersama Kelantan FA ialah apabila Hakimi Abdullah menjaringkan hatrik dalam perlawanan menentang UKM FC di saingan Liga Premier 2020.

Lebih menarik, Hakimi tidak beraksi di posisi kebiasaanya di bahagian tengah, sebalik diarahkan beraksi di posisi bek kiri oleh Yusri Che Lah.

“Hari ini saya turunkan Hakimi di posisi bek kiri, tetapi itu bukan posisi sebenar dia. Dia adalah pemain attacking, bermain di sayap. Kerana keadaan semasa di mana kita kekurangan pemain, saya letakkan dia di posisi itu dan saya terkejut dengan prestasi Hakimi,” ujar Yusri selepas perlawanan.

“Dia cukup menyerlah walaupun bermain di bek kiri, dia tampil dengan satu prestasi yag cukup menakjubkan.”

Pilih sertai Terengganu FC

Selepas tiga tahun bersama Kelantan FA, musim 2021 Hakimi Abdullah bersama-sama dengan Nik Akif memilih untuk menyertai Terengganu FC untuk mencari cabaran baharu.

Sepertimana pemain-pemain muda lain yang berkembang dengan baik di bawah kendalian jurulatih muda Nafuzi Zain, Hakimi turut memastikan kehadiran beliau bersama Terengganu FC pada musim ini turut dirasai.

Gol kemenangan menentang JDT adalah jaringan ketiga beliau untuk Terengganu FC pada musim ini. Dua gol lain hadir di dalam perlawanan ketika Terengganu menewaskan UiTM FC 2-1 di tempat lawan dan Selangor FC 3-1 di Kuala Terengganu, namun kedua-duanya hadir sebagai pemain gantian.

Apa kata Nafuzi Zain?

Sudah tentu Nafuzi Zain mempunyai pandangan beliau tersendiri mengenai kebolehan dan bakat pemain ini.

“Hakimi merupakan pemain yang mempunyai kelajuan, kekuatan dan tendangan yang padu tetapi masih banyak yang perlu dipertingkatkan,” kata Nafuzi sebelum ini.

“Hakimi ni masih pemain yang muda, memerlukan lebih banyak pengalaman, untuk dapatkan pengalaman, awak perlu lebih minit permainan. Jadi, setiap pemain akan mendapat peluang (untuk bermain).”

Rumusan

Buat masa ini kita boleh merumuskan Hakimi Abdullah telah memulakan musim 2021 dengan baik, walaupun beraksi di peringkat saingan Liga Super buat musim pertama sepanjang kariernya.

Namun perjalanan masih lagi jauh. Di bawah kendalian Nafuzi Zain, tiada keraguan pemain muda seperti Hakimi mampu pergi lebih jauh asalkan sanggup bekerja keras.

 

KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC

Baca lagi artikel lain mengenai Terengganu FC dan Hakimi Abdullah:

2 Perubahan Yang Bangkitkan Terengganu FC Untuk Atasi UiTM FC

Liga Super: Rekod Tanpa Kalah JDT Di Stadium Sultan Ibrahim Lebur Di Tangan Terengganu

Corak Permainan Sama Cuma Keputusan Memihak Kami, Kata Nafuzi Zain

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply