5 Bekas Pemain Muda Chelsea Yang Boleh Kembali Menghantui Mereka

Pada Ogos 2012, Kevin De Bruyne disifatkan sebagai salah seorang prospek hebat yang tiba di Stamford Bridge. Pemain muda Belgium ini dijangka akan menjadi satu lagi bintang bola sepak yang mampu membantu Chelsea untuk menyinar bukan sahaja di EPL, tetapi juga di Eropah.

Hari ini De Bruyne dilihat sebagai seorang pemain bintang yang dikehendaki oleh mana-mana pengurus di dalam kesebelasan utama masing-masing.

Bezanya, ia bukan untuk Chelsea. Minggu lalu Kevin De Bruyne menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk Manchester City menewaskan bekas pasukannya, Chelsea.

Persoalannya sekarang ialah, adakah Chelsea tidak mahir mengendalikan pemain berpotensi yang dimiliki oleh mereka?

Kami senaraikan 5 lagi pemain yang telah dilepaskan oleh kelab London tersebut, dan mempunyai potensi untuk menghantui Chelsea pada masa hadapan sepertimana yang telah dilakukan oleh De Bryune.

1. Bertrand Traore (Lyon)

Pemain sayap Lyon ini merupakan pemain Chelsea sehinggalah pada permulaan musim 2017/18 ini. Bersama Ajax pada musim lalu, Traore menunjukkan kualiti yang dimiliki oleh beliau dengan sumbangan 4 gol sehingga berjaya membawa pasukannya ke perlawanan akhir UEFA Europa League.

Traore mempunyai corak permainan yang lincah, dan kehadirannya mampu mengubah rentak perlawanan pasukan yang diwakilinya.

Lyon memandang tinggi kualiti yang dimiliki oleh Traore, lantas membawa pemain antarabangsa Burkino Faso itu ke Ligue 1 pada jendela perpindahan musim panas yang lalu.

(Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Musim lalu Traore menjaringkan 9 gol untuk Ajax di saingan liga dari posisi sayap kiri. Untuk kualiti yang dimiliki oleh Bertrand Traore, nilai perpindahan £8.8 juta yang dibayar oleh Lyon kelihatan berbaloi.

Traore sudah menjaringkan 2 gol buat Lyon dalam semua pertandingan setakat ini, dan prestasi memukaunya ketika menentang Atalanta dalam saingan Europa League mengembalikan ingatan kepada potensi yang dimiliki oleh pemain ini.

Namun untuk Bertrand Traore, Chelsea dilaporkan memasukkan klausa pembelian semula ketika perpindahan pemain itu ke Lyon.

2. Thorgan Hazard (Borussia Monchengladbach)

Thorgan adalah adik kepada bintang Chelsea, Eden Hazard. Prestasi Thorgan di Bundesliga menjadi konsisten sejak menyertai Monchengladbach. Ini menjadikan Thorgan menjadi tumpuan pencari bakat dari seluruh Eropah.

Terdapat laporan bahawa Chelsea turut merancang untuk membawa Thorgan kembali ke Stamford Bridge setelah melepaskan pemain berusia 24 tahun itu ke kelab Jerman tersebut secara tetap pada musim panas 2015.

(Photo by Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images)

Thorgan menjaringkan 6 gol dan menyumbang 4 bantuan gol untuk Gladbach dalam saingan Bundesliga pada musim lalu. Pemain tengah menyerang berusia 24 tahun ini turut menyerlah di Eropah dengan 4 gol dan 3 bantuan gol melalui 8 penampilan pada musim lalu.

Gladbach sedang membina pasukan baru yang mampu melayakkan diri dan memberi cabaran di Champions League.

Dua kemungkinan pada masa hadapan yang boleh kita jangkakan ialah, sama ada Thorgan akan berhadapan dengan Eden di pentas Champions League atau pun kedua-dua adik beradik bakal bergandingan sebagai jentera tempur Chelsea.

Prospek manakah yang anda mahu lihat?

3. Nathaniel Chalobah (Watford)

Chalobah kurang bernasib baik kerana mengalami kecederaan pada bulan lalu. Sebelum itu, pemain yang menyertai Chelsea sejak 2010 ini kelihatan selesa dan cepat menyesuaikan diri dengan saingan bersama Watford.

Sbelum Watford, Chalobah turut pernah mewakili beberapa pasukan secara pinjaman termasuklah ke Napoli. Chelsea mungkin melakukan kesilapan untuk melepaskan Chalobah sekarang.

Sesetengah pemain, mengambil masa yang agak lama untuk berada di tahap prestasi yang dikehendaki. Pada usia 22 tahun, Chalobah pasti masih mempunyai banyak potensi untuk diperagakan pada masa hadapan.

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Selepas kerap meninggalkan Chelsea secara pinjaman untuk mengejar minit beraksi, Chalobah seperti telah menemui posisi yang paling sesuai untuk dirinya pada musim ini bersama Watford.

Beraksi sedikit ke bawah di jentera tengah, Chalobah sering membantu pasukannya mencipta peluang dengan hantaran dan lorongan berbahaya membelah pertahanan lawan.

Chalobah juga mempunyai corak permainan yang ‘direct’ ketika menyerang namun turut mempunyai kebijaksanaan membaca serangan lawan untuk membuat pintasan dari bahagian tengah.

Musim ini Chalobah telah beraksi sebanyak 5 perlawanan untuk Watford sebelum mengalami kecederaan.

Prestasinya turut mendapat perhatian penganilsa dan bekas penyerang Arsenal, Ian Wright dan mengundang panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan England pada September lalu.

4. Dominic Solanke (Liverpool)

Penjualan Nemanja Matic kepada Manchester United pada jendela perpindahan yang lalu sudah membuatkan pengurusan Chelsea menerima kecaman. Namun Chelsea mungkin mempunyai alasan mereka yang tersendiri jika faktor usia Matic di ambil kira.

Tetapi apakah kisah Dominic Solanke? Penyerang berusia 20 tahun ini merupakan antara pemain paling menyerlah dalam sistem akademi di Chelsea.

Solanke turut membintangi skuad England B-20 yang muncul sebagai juara Piala Dunia B-20 di Korea Selatan pada Jun lalu dengan 3 gol daripada 4 perlawanan.

Prestasinya bersama England pasti menjadikan Solanke prospek panas untuk masa hadapan mana-mana pasukan.

(Photo by Mark Kolbe/Getty Images)

Di sebalik semua statistik positif yang dimiliki oleh penyerang muda ini, Chelsea membenarkan Solanke ke Anfield dengan yuran perpindahan tribunal bernilai £3 juta.

Kegagalan Solanke untuk beraksi walaupun untuk satu perlawanan kompetitif di Stamford Bridge dikhabarkan antara sebab pemain ini nekad untuk menyertai Liverpool.

Solanke telah tampil dalam 4 perlawanan liga bersama Liverpool setakat ini. Tatkala permintaan dan harga untuk pemain Inggeris sedang meningkat naik, Chelsea mungkin akan menyesali cara mereka mengendalikan Solanke.

5. Nathan Ake (Bournemouth)

Pemain pertahanan ini menyertai Bournemouth pada awal musim ini dengan tanda harga £22 juta. Ake mungkin bermula dengan aksi yang agak goyah bersama Bournemouth pada awal kempen musim 2017/18 ini.

Tetapi musim lalu, Ake menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sehingga memaksa Chelsea memanggil kembali pemain ini daripada pinjaman bersama Bournemouth.

Adalah sesuatu yang mengejutkan untuk melihat Chelsea membenarkan Ake menyertai Bournemouth secara tetap selepas membenarkan Kurt Zouma pergi secara pinjaman dan John Terry mengakhiri karier profesional sebagai pemain di Stamford Bridge.

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Ake mendapat pujian daripada Conte dalam beberapa penampilannya di Stamford Bridge pada musim lalu. Pemain ini menunjukkan ketenangan dan kematangan dalam permainannya walaupun baru mencecah usia 22 tahun.

Nathan Aku juga merupakan antara pemain kegemaran penyokong yang kerap hadir menyaksikan perlawanan di Stamford Bridge.

Pertahanan Chelsea kelihatan agak kental pada masa ini. Namun jika bek bertiga Konte mengalami masalah akibat kecederaan atau masalah prestasi, Conte mungkin akan merenung kembali keputusan mereka membenarkan Ake ke Bournemouth secara tetap.

Rumusan

Apa pandangan anda terutama penyokong Chelsea? Mana satukah di antara 5 pemain ini yang wajar dikekalkan? Nyatakan hujah anda dengan bernas di ruangan komen.

Kami mahu mendengarnya daripada anda!

Sumber:

1. Keerthi, Sportskeeda (2017): 5 youngsters Chelsea might regret selling; https://www.sportskeeda.com/football/5-players-chelsea-might-regret-selling/4

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram