5 Bekas Bintang Liverpool Yang Kita Lupa Pernah Jadi Pegurus Tetapi Tidak Sehebat Gerrard

Kerjasama Semuanya BOLA

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini dunia bola sepak

Selepas kejayaan Steven Gerrard bersama Rangers sebagai pengurus bersama Rangers, Daniel Agger bakal menjadi bekas bintang Liverpool terkini yang akan masuk ke dalam dunia kejurulatihan dan pengurusan.

Bekas pemain pertahanan tengah itu dikhabarkan akan mengendalikan HB Koge di Denmark bermula musim hadapan. Agger beraksi selama lapan musim di Anfield, beraksi lebih dari 230 perlawanan dan menjaringan 14 gol untuk kelab Merseyside itu.

Bergelar jurulatih dan pengurus selepas karier sebagai pemain bukan perkara yang asing. Di Liverpool sendiri, bekas rakan sepasukan Aggers dan Gerrard seperti Xabi Alonso, Harry Kewell dan Sammi Hyypia turut memilih laluan kerjaya yang sama.

Namun nama lima bekas pemain Liverpool ini mungkin ramai yang terlepas pandang. Perjalanan karier sebagai jurulatih dan pengurus yang mereka lalui juga tidak cemerlang seperti Gerrard.

Titi Camara
Selepas melalui karier bersama Saint-etienne, Lens dan Marseille di Peracis, Camara berhijrah ke England untuk bersama The Reds pada 1999.

Beliau amat dikenali kerana keraian gol penuh emosi selepas mendapat tahu kematian ayahnya dengan menangis di hadapan tempat duduk Anfield Road.

Dipendekkan cerita karier di dalam bidang pengurusan Titi Camara bermula bersama skuad kebangsaan Guinea. Pada 2009 beliau dilantik untuk menggantikan Robert Nouzaret dan berperanan sebagai pengurus dan Pengarah Teknikal selama tiga bulan.

Pada September tahun yang sama Camara dipecat selepas deretan keputusan buruk, selain ketidaksefahaman dengan beberapa pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Guinea dan beberapa pemain utama pasukan.

Stephane Henchoz

Selepas enam musim di Anfield, pemain pertahanan itu meninggalkan Anfield pada 2005 selepas melakukan 135 penampilan. Beliau kemudiannya berhijrah ke Celtic, Wigan dan Blackburn Rovers.

Selepas bersara sebagai pemain, Henchoz ditawarkan peranan selaku jurulatih skuad B-18 di Ewood Park. Beliau memegang peranan tersebut selama setahun sebelum menerima tawaran mengendalikan skuad utama kelab Switzerland, FC Bulle.

Henchoz cuma kekal selama semusim bersama Bulle dan lima tahun selepas itu beliau bergelar pembantu pengurus Neuchatel Zamax. Beliau bergelar pengurus interim sehingga ke akhir musim selepas pengurus  pasukan, Michel Decastel dipecat.

Tidak cukup dengan itu, Henchoz turut pernah bergelar pengurus FC Sion pada Mei 2019, namun hanya kekal sehingga September selepas kekalahan 3-0 kepada St. Gallen. Beliau kemudiannya kembali bergelar pengurus Xamax buat kali kedua pada Julai tahun lalu.

Abel Xavier

Kebanyakkan pemain menjadi ikon di sesebuah kelab kerana pencapaian mereka di atas padang. Bagi beberapa pemain lain, ia kerana penampilan mereka. Bekas bintang Liverpool, Abel Xavier berada di dalam kategori ini.

Selepas tiga tahun bersama Everton, pemain antarabangsa Portugal ini berhijrah ke Anfield bersama dengan gaya rambut dan janggut yang sentiasa menarik perhatian ramai.

Xavier hanya tampil dalam 21 perlawanan di bawah kendalian Gerard Houllier, tetapi masih kekal sebagai pemain popular di Liverpool. Selepas bersara sebagai pemain pada 2008, Xavier menceburkan dirinya di dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan.

Dari 2013 sehingga 2015, beliau memegang tiga peranan di kelab divisyen tiga Portugal iaitu bersama Olhanense, Farense dan Desportivo Ave. Pada 2016, beliau kembali ke negara kelahirannya Mozambique dan bergelar Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan negara tersebut. Beliau kekal dengan peranan tersebut sehingga 2019.

Phil Babb

Sebelum Virgil van Dijk, Babb pernah menjadi pemain pertahanan termahal Liverpool dan Britain apabila perpindahan beliau ke Anfield pada 1994 memaksa kelab Merseyside itu membayar £3.6 juta. Pada musim pertamanya, Babb membantu Liverpool merangkul kejuaraan Piala Liga

Berbeza dengan Van Dijk, Babb amat dikenali kerana mengalami kecederaan tulang di celah kelangkang selepas pelanggaran dengan dengan tiang gol dalam perlawanan menentang Chelsea pada 1998. Ia adalah antara insiden yang sentiasa dikenang sehingga ke hari ini.

Selepas meninggalkan Liverpool, Babb sempat menyarung jersi Sporting Lisbon dan Sunderland sebelum bersara pada 2004. Sembilan tahun selepas persaraan sebagai pemain, Babb kembali bergelar pengurus kepada Hayes dan Yeadings d Liga Conference South dari 2013 sehingga 2015. Ia kekal sebagai satu-satunya pengalaman Babb di arena pengurusan dan kejurulatihan.

Andrea Dossena

Pemain bek kiri Itali ini hanya melakukan 29 penampilan untuk Liverpool, dan pernah dianggap hero oleh penyokong Liverpool pada Mac 2019.

Ia berikutan gol oleh pemain ini dalam perlawanan menentang Manchester Unted dan kemudiannya Real Madrid, dan tempoh tersebut dianggap detik terbaik karier Dossena di Anfield.

Selain Liverpool, Dossena sempat menyarung jersi Udinese, Napoli, Torino, Sunderland dan Leyton Orient sebelum beraksi di liga bawahan di Itali dan bersara.

Pada 2019, beliau kembali ke dalam bola sepak sebagai jurulatih kelab Serie D Itali, Crema. Beliau masih melatih kelab itu pada hari ini dan Crema kini berada di kedudukan keempat liga. Impian beliau suatu hari nanti ialah untuk bergelar pengurus Liverpool. 

Penutup

Tatkala Steven Gerrard dilihat sebagai bakal pengganti Jurgen Klopp satu hari nanti, siapakah di kalangan pemain Liverpool pada hari ini yang anda rasa mempunyai karisma untuk bergelar pengurus dan jurulatih pada masa hadapan?

Kongsikan dengan kami melalui platform yang kami sediakan. Kami juga mahu mendengarnya daripada anda.

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liverpool seperti di bawah:

5 Sebab Yang Boleh Sebabkan FSG Hilang Sabar Dan Pecat Jurgen Klopp Di Liverpool

Mengenang 10 Pemain Terawal Dibawa Masuk Oleh Jurgen Klopp Di Liverpool

Dari Era Shankly Sehingga Gerrard, Siapakah Kapten Paling Berjaya Dalam Sejarah Liverpool?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply