4 ‘Tempat’ Ke Kelayakan Piala Asia B-23 Sudah Ditempah Pemain Harimau Malaya

4 Pemain Harimau Malaya 2 luar negara Harimau Muda kelayakan Piala Asia B-23

Empat (4) pemain daripada skuad Harimau Malaya seakan-akan sudah pun terjamin tempat buat mereka untuk terus dibawa ke pusingan kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada minggu hadapan di Mongolia.

Walaupun pengendali skuad B-22 negara, Brad Maloney memaklumkan yang masih ada ruang kepada pemain-pemain dalam kem latihan pusat untuk memikatnya, namun kenyataan ini seolah-olah memberi gambaran lain.

Memetik kenyataan pengendali berusia 49 tahun itu daripada Astro Arena, “Mukhairi [Ajmal], Hakimi [Abdullah], Quentin [Cheng] dan Luqman [Hakim] sudah tentunya berada dalam perancangan saya untuk kelayakan itu.”

Keempat-empat pemain tersebut dilihat masih belum turun menyertai latihan pusat tersebut kerana masih menjalani tempoh kuarantin wajib sebaik tiba daripada tugasan bersama skuad senior di Amman, Jordan.

Walaupun begitu, Brad Maloney nampaknya mahu menagih kudrat mereka dan jika tidak sempat menyertai sesi latihan pusat ini, mungkinkah mereka akan terus tersenarai untuk dibawa ke Ulaan­baatar, Mongolia?

“Begitupun kita tidak tahu bila mereka akan mula menyertai latihan bersama pasukan, di mana mereka perlu terlebih dulu menjalani tempoh kuarantin. Bagi saya, mereka melakukan tugasan yang sangat baik di Jordan dan mereka tunjukkan kesungguhan dan kematangan dalam aksi persahabatan itu,” ujar Brad Maloney.

Dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan tempohari, keempat-empat pemain telah diberikan ruang oleh pengendali, Tan Cheng Hoe untuk turun beraksi bersama skuad senior dengan Mukhairi Ajmal, Hakimi Abdullah dan Quentin Cheng telah meraih penampilan sulung mereka bersama Harimau Malaya.

Setakat ini, sejak menjalani latihan pusat bermula pada 4 Oktober lalu, skuad B-22 negara telah melalui dua aksi persabahatan menentang Negeri Sembilan FC dan Penang FC. Esok, mereka akan turun bertemu Kedah Darul Aman FC. Untuk rekod, mereka menang 2-1 ke atas Penang FC dan tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan.

Skuad B-22 yang diletakkan dalam Kumpulan J pada pusingan kelayakan Piala Asia itu akan membuka tirai menentang Laos pada 25 Oktober, diikuti Mongolia pada 28 Oktober dan Thailand empat hari kemudian.

Jadi, jika 23 pemain akan disenaraikan untuk dibawa ke pusingan kelayakan itu nanti, tempat untuk pemain-pemain lain hanya berbaki 19 sahaja selain kemungkinan juga dua pemain berpengkalan di luar negara, Wan Kuzri Wan Kamal dan Annil Vigneswaran mungkin akan menyertai pasukan apabila ia sedang diusahakan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply