4 Sebab Mengapa Anda Tidak Boleh Ketinggalan Dari Menyaksikan MPFL 2019

MPFL

Sejarah baru bakal tercipta buat kancah futsal tanah air apabila tirai saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 akan dibuka pada 22 Jun ini.

Sembilan pasukan lelaki yang terdiri daripada Melaka United, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan KL City akan bersaing hebat bagi merebut mahkota kejuaraan liga futsal profesional julung kali diadakan itu.

Persiapan rapi yang telah dirangka sejak dari awal pasti menghangatkan lagi perseteruan setiap pasukan bertanding.

Sepertimana yang diketahui, sukan futsal ini juga mempunyai peminat setia yang tersendiri jika dilihat dalam edisi Liga Futsal Kebangsaan lepas.

Dengan penganjuran liga ‘home away’ seperti kempen Liga Super, ia perlu digunakan sepenuhnya oleh peminat di seluruh negara bagi memberikan sokongan buat pasukan kesayangan anda.

Berikut adalah 4 sebab mengapa anda tidak boleh ketinggalan daripada menyaksikan perlawanan MPFL 2019:

1) Liga futsal profesional pertama tanah air

Langkah pembaharuan yang diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ini wajar disokong semua pihak termasuk para penyokong dalam meningkatkan kualiti liga tempatan.

Liga ‘home away’ yang diperkenalkan buat pertama kali dalam kancah futsal tanah air ini memberikan peluang buat anda menyokong pasukan kesayangan dengan lebih dekat.

Sebagai contoh, sebelum ini para penyokong setia Perak perlu ke Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam bagi memberikan sokongan tetapi musim ini Stadium Indera Mulia, Ipoh akan menjadi gelanggang rasmi bagi Perak Futsal.

Secara tak langsung, futsal akan lebih dekat dihati penyokong Perak yang berada di Ipoh. Begitu juga keadaannya buat pasukan lain.

2) Bakal disajikan dengan aksi bermutu tinggi

Secara peribadi, penulis merupakan antara pencinta futsal tanah air dan pernah membuat liputan skuad negara yang menyertai kejohanan AFC B-20 di Bangkok pada tahun 2017 dan 2018.

Berdasarkan pemerhatian penulis, kualiti pasukan dan pemain dalam saingan ini (MPFL) sangat berbeza berbanding ‘liga haram’ yang sering diadakan.

Ridzwan Bakri jadi sandaran utama Perak.

Dengan latihan sistematik dipraktikkan setiap pasukan, aksi yang dipamerkan benar-benar cukup menghiburkan para peminat dengan kualiti permainan di tahap terbaik.

Anda akan dapat melihat, waima pasukan yang berada di tempat terakhir juga bakal mempamerkan aksi bertenaga ketika beraksi.

Mungkin selepas menyaksikan perlawanan pertama, anda akan terus tertarik dengan sukan lima sebelah ini.

3) Kehadiran pemain hebat futsal negara

Mungkin sebelum ini anda hanya mengenali ketua pasukan skuad negara, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin yang pernah beraksi di Liga Pro Futsal Indonesia dan pemain semakin meningkat naik, Mohd Awalluddin Mat Nawi.

MPFL 2019 bakal memberikan peluang buat anda untuk menyaksikan secara lebih dekat himpunan pemain futsal hebat tanah air beradu kekuatan.

Ridhwan Zainal bakal memperkuatkan jentera serangan Selangor.

Skil individu menarik dari Ridzwan Bakri (Perak), rembatan padu dimiliki Ridhwan Zainal (Selangor) serta ketenangan Abu Haniffa Hassan (Pahang) dalam menyempurnakan sepakan penalti ‘second spot’ pasti membuatkan anda teruja.

Itu hanyalah tiga contoh pemain yang mampu untuk mengagumkan anda berbekalkan kelebihan mereka. Pada hari perlawanan nanti, pasti lebih banyak aksi luar biasa dari para pemain yang dapat anda saksikan.

Selain itu, ia turut mendekatkan para peminat dengan pemain-pemain pasukan yang terlibat.

4) Medan penghasilan bakat baharu futsal

Setiap kejohanan yang berlangsung semestinya akan melahirkan bakat baru yang boleh diketengahkan.

Begitu juga dalam penganjuran MPFL ini, FAM telah meletakkan syarat setiap pasukan perlu mendaftarkan lima pemain berusia bawah 21 tahun.

Menarik untuk anda saksikan perkembangan para pemain muda dalam menyaingi pemain pasukan pilihan dalam saingan sulung ini.

Melaka United dan Terengganu dikhabarkan antara pasukan yang akan membariskan sebahagian besar pemain muda dan tidak mustahil ramai bakat baru bakal menyerlah dari kedua-dua pasukan ini.

Rumusan

Saingan minggu pertama bakal menemukan Kedah menentang Terengganu di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada 22 Jun ini.

Sementara itu tiga perlawanan akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada keesokannya apabila KL City berdepan Pulau Pinang (2.00 petang) dan Kuala Lumpur menanti cabaran Pahang, jam 5.00 petang.

Pertembungan menarik dapat disaksikan pada jam 8.30 malam apabila Selangor akan membuat perhitungan bertemu Perak.

Ayuh semua, berikan sokongan buat pasukan kesayangan anda pada kempen Liga Premier Futsal Malaysia 2019!

Kredit foto: FAM, Selangor MAC Futsal & Perak Futsal 


Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN