4 Perkara Perlu Dilakukan Solskjaer Sekiranya Mahu Man Utd Jadi Pilihan Kejuaraan

Manchester United memulakan kempen baharu Liga Perdana Inggeris dengan cemerlang apabila membelasah Leeds United 5-1 pada minggu pertama saingan. Dengan pantas, Manchester United dianggap mampu mencabar kejuaraan selepas kemenangan tersebut.

Deretan pujian dihamburkan kepada Ole Gunnar Solskjaer dan barisan pemainnya untuk permainan bertenaga yang dipamerkan. Kredit sewajarnya diberikan kerana ia bukan mudah untuk menewaskan Leeds yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman seperti Marcelo Bielsa.

Namun pada hujung minggu ini, Manchester United sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Southampton di Stadium St.Mary. Keputususan tersebut menimbulkan tanda tanya sama ada Solksjaer benar-benar mempunyai ramuan untuk menjadikan pasukan kendaliannya sebagai salah sebuah pasukan yang mampu meraih kejuaraan.

Selepas mengakhiri saingan pada musim lalu di kedudukan kedua liga, adakah cukup bagi Manchester United bergelar sekadar sebagai pencabar kejuaraan pada musim ini? Atau pergi lebih jauh untuk menjadi pasukan pilihan yang akan bergelar juara di akhir musim?

Berikut antara perkara yang perlu menjadi perhatian pengendali dari Norway itu sekiranya mengimpikan trofi pertama beliau bersama Red Devils pada musim ini.

Segera gunakan Sancho dan Varane

Tidak sempat diturunkan dalam aksi minggu pertama menentang Crystal Palace, Romelu Lukaku hanya memerlukan 15 minit dalam perlawanan kedua menentang Arsenal untuk kehadirannya mulai dirasai.

Berbeza dengan Lukaku, dua pembelian utama Manchester United pada musim ini, Jadon Sancho dan Rapahel Varane belum lagi berpeluang beraksi di dalam kesebelasan utama.

Sancho sempat tampil 30 minit dalam aksi menentang Southampton dan 15 minit dalam perlawanan pertama menentang Leeds. Varane pula belum merasa langsung sebarang aksi setakat ini.

Ia agak aneh kerana berbanding Lukaku, pembelian Sancho dan Varane telah dimuktamadkan lebih awal berbanding Lukaku.

Untuk memiliki sebuah skuad yang mantap, Solskjaer harus berani menggunakan aset yang ada. Kedua-dua pemain juga harus membiasakan diri dengan segera dengan corak permainan pasukan dan menghadirkan impak yang dikehendaki oleh pasukan.

Alasan belum bersedia untuk diturunkan 90 minit perlawanan tidak boleh diterima dalam bola sepak profesional – apatah lagi dengan standard pemain dan pertandingan seperti Liga Perdana Inggeris.

Penyelesaian untuk bahagian tengah

Gandingan Scott McTominay dan Fred menampilkan aksi penuh bertenaga ketika menentang Leeds. Kecederaan kepada McTominay menyebabkan Solskjaer terpaksa menggunakan Nemanja Matic di posisi itu untuk digandingkan dengan Fred.

Masalahnya Nemanja Matic pada usia 33 tahun kini bukan lagi pemain yang mampu menghadirkan aksi bertempo tinggi sepanjang 90 minit perlawanan – sekaligus mendedahkan bahagian pertahanan Man United kepada ancaman serangan lawan.

Isu di bahagian tengah begitu ketara sekali ketika aksi menentang Southampton yang lebih robust dalam pendekatan mereka.

Solskjaer mempunyai dua pilihan untuk masalah di bahagian tengah selain daripada berharap kepada Matic. Pertama, berikan peluang kepada Van de Beek untuk digandingkan dengan Fred. Bekas pemain Ajax itu cemerlang sepanjang aksi pra musim di posisi tersebut.

Kedua, Solskjaer masih boleh terjun ke pasaran pemain untuk mendapatkan pemain muda lebih bertenaga. Pemain tengah Rennes berusia 18 tahun, Eduardo Camavinga dikhabarkan berada di dalam radar. Namun untuk meyakinkan pemain itu untuk ke Old Trafford pasti tidak mudah.

Tiada pelan B

Aksi menentang Southampton juga menyaksikan Manchester United seperti terlalu ‘rigid’ dari segi taktikal. Mereka terlalu bergantung kepada dua pivot Fred-Matic untuk menggerakkan jentera tengah – sekaligus menjadi kelemahan utama mereka dalam perlawanan tersebut.

Dengan pemain dan kualiti yang dimiliki – khususnya di bahagian pertahanan – Solskjaer juga sepatutnya mampu mencongak untuk menggunakan sistem 3-4-3, atau 3-5-2 untuk membenarkan serangan dari posisi bek sayap dengan lebih kerap dan berkesan.

Gandingan Maguire-Varane-Lindeloff boleh dijadikan sebagai gandingan bek bertiga, dan diapit oleh pemain seperti Shaw dan Wan-Bissaka.

Itu antara contoh perubahan yang boleh dilakukan ketika permainan, dan tidak bergantung kepada hanya satu sistem sahaja apabila berhadapan kesukaran.

Jadikan Mason Greenwood No.9

Manchester United cukup bertuah kerana memiliki pemain tengah yang mampu menghasilkan jaringan seperti Bruno Fernandnes. Menentang Leeds misalnya pemain itu menjaringkan hatrik. Tetapi Solskjaer harus sedar, tugasan utama Fernandnes di dalam pasukan ialah untuk menjana kreativiti – dan bukan untuk memburu gol semata-mata.

Musim lalu Fernandes menjadi penjaring terbanyak Manchester United dengan 18 gol di dalam aksi liga. Ia indikasi jelas pasukan itu tidak memiliki seorang penyerang No.9 yang mampu menghasilkan gol secara konsisten. Sebuah pasukan yang bagus wajib memiliki seorang No.9 yang mampu menghasilkan 30 gol minima semusim dalam semua pertandingan.

Edinson Cavani sebelum ini dicanang mampu mengisi kekosongan tersebut. Bergelut dengan isu kecergasan, penyerang dari Uruguay itu hanya menyumbang 17 gol dari 39 penampilan pada musim lalu. Bagi sebuah pasukan yang mengimpikan kejuaraan, jumlah jaringan tersebut dianggap tidak mencukupi.

Tatkala aktiviti di pasaran pemain untuk mendapatkan seorang No.9 yang berkualiti kini sukar kerana harga yang mahal, Solskjaer mungkin perlu melihat penyelesaian kepada pemain yang sudah berada di dalam pasukannya.

Antara pilihan yang Solskjaer miliki ialah dengan membenarkan penyerang muda, Mason Greenwood beraksi di posisi tersebut. Mempunyai kepantasan, dan kebolehan menggunakan kedua-dua belah kaki, Greenwood memiliki ciri-ciri seorang No.9 yang baik  – sepertimana dibuktikan oleh pemain itu ketika bersama skuad remaja.

Penyerang muda England itu setakat ini cemerlang mencetak dua gol dari dua perlawanan – walaupun beraksi sebagai penyerang sayap. Cukup-cukuplah bergantung kepada Anthony Martial yang tidak habis mengecewakan ramai penyokong Red Devils.

Rumusan

Selepas menamatkan saingan tanpa kejuaraan sejak beberapa musim lalu, dan jumlah pelaburan yang dikeluarkan untuk membentuk sebuah pasukan baharu, Solskjaer seharusnya sedar masa sudah tidak lagi memihak kepada beliau untuk terus bereksperimen.

Untuk mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris yang dianggap begitu sukar dan kompetitif, aksi dan keputusan positif secara konsisten perlu mulai dihasilkan. Man United sudah pun tercicir dua mata pada musim ini.

Berapa banyak mata lagi mata yang akan dicicirkan selepas ini? Solksjaer mungkin perlu mengkaji terlebih dahulu makna dan perbezaan dua fraza berbeza iaitu ‘title contenders’ dan ‘title favorites’.

 

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply