30 Pemain Telah Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-15

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam telah mengumumkan senarai 30 pemain muda yang dipilih oleh ketua jurulatih skuad B-15 kebangsaan, P. Maniam untuk menyertai kem latihan pusat di Padang MSN, Bukit Jalil bermula Sabtu, 22 Jun 2019.

Sesi latihan tersebut adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Kelayakan kejuaraan AFC b-16 2020 yang akan berlangsung pada bulan September ini.

Dalam senarai tersebut, 24 pemain adalah daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD), tiga daripada Sekolah Sukan (SSTMI) dan dua pemain daripada Akademi JDT. Hanya seorang pemain daripada sekolah harian biasa (SMK Ibrahim Fikri) turut dipilih kali ini.

Selain sesi latihan, mereka juga akan menghadapi satu Perlawanan Persahabatan Antarabangsa menentang skuad kebangsaan Singapura B-15 pada 25 dan 27 Jun 2019 di Kuala Lumpur.

Pada saingan Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020, skuad B-15 kebangsaan, yang diundi dalam Kumpulan J akan berdepan Kemboja (18 September 2019), Laos (20 September 2019) dan Jepun (22 September 2019) di mana Laos akan menjadi tuan rumah bagi kumpulan tersebut.

Pada bulan April lepas, anak buah P. Maniam menepati status sebagai juara bertahan apabila mendominasi Kejohanan Jemputan B-15 Jockey Club International Youth di Hong Kong selepas menewaskan Singapura (1-0), Myanmar (6-0) dan Hong Kong (4-0).

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram