3 Sebab Shahrul Saad Mungkin Hampiri Perpindahan Ke JDT

Shahrul Saad Perak FC 2021 JDT

Kapten Perak FC dan bek kental skuad kebangsaan, Shahrul Saad dikhabarkan bakal ‘angkat kaki’ dalam jendela perpindahan kali ini dan JDT dikatakan destinasinya.

Mengapa juara liga tujuh kali berturut-turut itu dikaitkan dengan Shahrul Saad? Sekali lagi mereka terlibat dalam transaksi yang mengundang sangsi di kalangan pengikut bola sepak tempatan. Namun, jelas ia bukan berpunca daripada mereka.

Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin mengambil peluang atas masalah luar padang yang dilalui Perak pada saat ini yang dikatakan meruncing iaitu masalah tunggakan gaji yang katanya sudah beberapa bulan tertunggak sejak awal musim lalu.

Dan kemuncaknya, malam tadi, keseluruhan skuad Perak memboikot sesi latihan pasukan pada sebelah malam dan mereka tampak hanya berada di perkarangan Stadium Perak sahaja. Berikut adalah tiga sebab mengapa JDT dan Iskandar Puteri adalah destinasi yang semakin hampir menjadi kenyataan buat Shahrul Saad.

Shahrul Saad yang minta dilepaskan

Kemelut yang melanda Perak kian sampai ke kemuncak apabila kapten Shahrul Saad dikatakan antara pemain yang meminta untuk dilepaskan oleh pihak pengurusan.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T. Avineshwaran, dua pemain yang telah sah memohon untuk meninggalkan pasukan iaitu Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula. Jika ia berlaku, akan ada lagi perpindahan lain.

Selepas mengalami kecederaan ketika tewas kepada Penang, Shahrul Saad hanya tampil dua kali iaitu ketika tewas kepada Sabah dan menang ke atas PJ City. Adakah itu petanda yang bek kental skuad kebangsaan itu bakal meninggalkan mereka?

Sebelum itu, pemain yang mesra dipanggil Badak itu dilihat tampil penuh dalam lima perlawanan berturut-turut. Setakat ini, selepas 12 aksi liga, tonggak utama sepertinya hanya tampil sebanyak 671 minit daripada 1080 minit permainan sepatutnya.

Ditambah pula dengan khabar Shakir Hamzah dan Azri Ghani yang mahu angkat kaki selepas kalah kepada Penang, adakah Shahrul Saad terpanggil berbuat demikian?

Mahukan suasana lebih membina, bukan bermasalah

Mungkin sudah agak lama pertimbangan dibuat olehnya. Selepas tewas 1-2 kepada Penang pada awal April lalu, ejen rakannya di benteng, Shakir Hamzah memberi bayangan, dua pemain mereka akan mengaktfikan klausa berkaitan tunggakan gaji.

Shahrul Saad yang kebetulan mengalami kecederaan, selepas itu hanya tampil dalam dua aksi daripada enam aksi yang berjalan. Mungkin salah satu faktornya adalah kecederaan tetapi mungkin ia juga didorong atas masalah lain pada masa itu.

Avineshwaran turut memperkatakan tentang mengapa pemain yang setia seperti Shahrul Saad mahu meninggalkan The Bos Gaurus. Katanya, pemain itu mungkin mahukan suasana baharu dalam kariernya bagi meningkatkan prestasinya.

Jika dilihat, isu luar padang sebegini tidak membantu pasukan, malah merencatkan segalanya. Perak kini sedang menduduki tangga ke-9 Liga Super dengan mengumpul 12 mata, hanya tiga mata di depan pasukan di zon penyingkiran, Sri Pahang.

JDT dan Selangor FC mungkin tempat yang sesuai buatnya kerana kedua-duanya dilihat stabil dari segi kewangan, fasiliti dan visi pasukan. Kedua-dua pasukan juga sentiasa mengikuti rapat kariernya dan sudah beberapa kali dikaitkan dengannya.

JDT umum akan pinjamkan pemain keluar

Siapa yang tidak mahu pemain utama skuad kebangsaan ini dalam skuad mereka? Sudah tentu hampir semua mahukan khidmat beliau tetapi pasukan mana yang sedang mendahului tawaran tidak dapat dipastikan secara sah lagi.

Hanya berlegar khabar angin yang JDT sudah hampir pasti menjadi destinasinya jika benar beliau memilih untuk meninggalkan pasukan. Belum ada kenyataan rasmi pengurusan Perak tentang statusnya dan pemain-pemain lain setakat ini.

Sebelum itu, Shahrul Saad dikaitkan dengan Sri Pahang yang sedang melalui masalah prestasi sejak awal musim selain Terengganu yang akan bersaing di Piala AFC 2021. Kedua-dua pasukan menafikan penglibatan mereka dalam memancing kapten Perak itu dengan mengatakan sukar buat mereka untuk mendapatkan khidmatnya.

Selangor FC pula ada cuba memancingnya menerusi perkongsian daripada portal Harian Metro berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak, Rizal Ali Naizali yang berkata hanya The Red Giants tampil menghubungi pihaknya.

Menariknya, lewat malam tadi, JDT telah membuat perkongsian mengenai beberapa pemainnya bakal dipinjamkan keluar kepada Melaka United, UiTM FC, Sri Pahang dan Sabah FC pada jendela perpindahan pemain kali kedua ini. Satu kebetulan?

Baca lagi artikel lain mengenai Shahrul Saad dan Perak FC:

Retak Menanti Belah, Bagaimana Aksi Perak FC Sebelum Liga Berehat?

Shahrul Saad: Berat Untuk Melihat Brendan Gan, Nor Hakim Meninggalkan Perak

De Paula Beri Isyarat ‘Sangkut’ 2 Bulan Gaji Ketika Raikan Jaringan?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply