3 Sebab Mengapa Maurizio Sarri Dipecat Juventus

Iklan

Maurizio Sarri Juventus

Adakah keputusan Juventus untuk memecat Maurizio Sarri adalah satu perkara yang mengejutkan?

Walaupun telah membantu The Bianconeri menjulang Scudetto buat kali kesembilan berturut-turut, kegagalan untuk melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas disingkirkan Lyon mengakibatkan bekas pegawai Bank itu hilang pekerjaannya.

Tiada mentaliti menang

Kebanyakan pemerhati bola sepak melihat Sarri tidak pernah berjaya membentuk imej baharu Juventus. Beliau bergelut dalam percubaan untuk menerapkan falsafah ‘Sarriball’ sedangkan kebanyakan pemain masih terus dibayangi dengan era Massimiliano Allegri.

“Saya tidak tahu kenapa saya gagal untuk memahamkan pemain tentang kepentingan untuk menggerakkan bola dengan lebih pantas,” ujar Sarri satu ketika dahulu ketika ditemubual Sky Sports.

Empat kekalahan dalam lapan perlawanan terakhir liga bukanlah satu keputusan yang selayaknya untuk sebuah pasukan yang dibarisi oleh deretan pemain bintang.

Bermula dengan kekalahan 4-2 kepada AC Milan, Juventus kemudian tewas pula kepada Udinese, Cagliari dan AS Roma. Walaupun sudah mengesahkan kejuaraan lebih awal, ianya bukanlah keputusan yang diharapkan.

14 daripada 26 kemenangan dalam saingan Serie A musim ini hanya dengan kelebihan satu gol sahaja. Kemudian tewas pula kepada ‘pasukan kerdil’ seperi Hellas Verona membuatkan pihak pengurusan mula meragui kredibilitinya.

Kekalahan kepada Napoli dalam perlawanan akhir Coppa Italia turut menjadi salah satu faktor mengapa Sarri bukan lagi individu yang selayaknya untuk terus mengemudi Juventus untuk jangka masa panjang.

Keputusan Buruk di UCL

Bukan lagi rahsia Juventus sangat dahagakan kejayaan di peringkat Eropah selepas kali terakhir menjuarai UCL adalah pada 1996.

Allegri pernah membawa pasukan tersebut ke perlawanan akhir pada musim 2014/15 dan 2017/18, namun dikecewakan oleh dua pasukan Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid.

Musim lepas pengurus warga Itali itu terus ‘disingkirkan’ selepas tewas kepada Ajax di peringkat separuh akhir dan ia menunjukkan betapa pentingnya kejuaraan Eropah itu buat pihak pengurusan kelab.

Presiden kelab, Andrea Agnelli dalam ucapannya selepas perlawanan menentang Lyon jelas kecewa apabila Juventus sekali lagi gagal untuk mencatat keputusan yang baik dalam kejohanan Eropah tersebut.

“Walaupun kita menjuarai liga buat kali kesembilan berturut-turut, tetapi prestasi dan keputusan di UCL sangat mengecewakan semua pihak,” kata Agnelli.

“UCL bukan sekadar satu impian, tetapi ia adalah objektif pasukan. Kita seharuskan kecewa apabila tersingkir daripada kejohanan seperti ini. Kita ada sasaran yang perlu dicapai sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.”

Terlalu Fokus Kepada Ronaldo

Perlawanan terakhir Sarri sebelum dipecat juga menyaksikan Ronaldo menjaringkan dua gol buat pasukannya menjadikannya sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan 35 gol musim ini. Jumlah tersebut adalah 40% daripada keseluruhan 87 gol yang dijaringkan oleh pasukan.

Penyerang berbakat seperti Paulo Dybala yang mempunyai jumlah penampilan yang sama dengan penyerang Portugal itu hanya menyumbang 14 gol sahaja musim ini. Gonzalo Higuain yang pernah meledak 38 gol dalam semusim pula hanya menjaringkan 10 gol.

Statistik tersebut jelas menunjukkan kebergantungan Sarri kepada Ronaldo sehinggakan beberapa pemain kreatif lain gagal untuk menyerlah potensi sebenar mereka seperti Juan Cuadrado (3 gol), Douglas Costa (3 gol) dan Federico Bernardeschi (2 gol).

Walaupun mempunyai banyak pemain yang mampu mengubah perlawanan, tetapi kebergantungan yang terlalu tinggi kepada Ronaldo menyebabkan bahagian tengah Juventus yang ditunjangi oleh pemain seperti Miralem Pjanic, Adrien Rabiot, Aaron Ramsey, Rodrigo Bentancur dan Blaise Matuidi ‘hilang punca’.

Penutup

Semua perkara di atas jelas menunjukkan masalah Sarri adalah beliau tidak sesuai dengan pasukan seperti Juventus sehingga beberapa pemain mula tidak selesa dengan keberadaannya setelah gagal menyerlahkan potensi dan memabantutkan perkembangan mereka.

Nama jurulatih berusia 61 tahun itu secara tiba-tiba menjadi sebutan apabila mengubah Napoli menjadi pasukan yang digeruni dengan corak permainan bola sepak moden yang beliau terapkan sehinggakan Pep Guardiola pernah mengakui begitu kagum dengan Sarri.

Walaupun tidak pernah menjadi pemain profesional, sepanjang kariernya, Sarri telah pun membimbing 16 pasukan berbeza. Bermula dengan pasukan kecil yang beraksi di liga divisyen keempat dan meniti satu demi satu anak tangga sehinggalah diberi tugasan mengendalikan pasukan terbaik dunia.

Jadi ke manakah agaknya destinasi seterusnya buat Sarri selepas ini?

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Maurizio Sarri dan Juventus:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram