3 Sebab Kenapa Negeri Sembilan Berpeluang Kembali Menjulang Piala Malaysia

Negeri Sembilan Piala Malaysia

Kali terakhir Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia adalah pada 2011 yang lalu. Sudah pasti penyokong Skuad Jang mengimpikan trofi kejohanan paling berprestij dan tertua di rantau Asia itu kembali dibawa pulang ke bumi Darul Khusus.

Skuad kendalian K. Devan itu masih segar dengan kejayaan meraih gelaran juara Liga Perdana tempoh hari dan sekaligus kembali semula ke saingan Liga Super selepas tiga tahun beraksi di liga divisyen dua.

Adakah pasukan ini berpeluang untuk mencipta kejutan di pentas Piala Malaysia musim ini? Berikut adalah 3 sebab kenapa impian itu mampu menjadi kenyataan.

Tiada tekanan

Di atas kertas, kebanyakan pemerhati meletakkan Kedah Darul Aman dan Melaka United sebagai dua pasukan pilihan dari kumpulan C untuk mara ke peringkat suku akhir.

Namun menurut penyerang import Negeri Sembilan, Francis Kone, ia menjadi satu kelebihan buat pasukannya kerana mereka akan beraksi tanpa tekanan dan berpeluang untuk mencipta kejutan.

Menurut penyerang dari Togo ini, Negeri Sembilan sudah tidak lagi berada dalam fasa berbulan madu selepas meraikan kejayaan menjuarai Liga Premier musim ini dan akan cuba sedaya upaya mencipta kejutan di pentas Piala Malaysia.

“Pentas Piala Malaysia sangat berbeza buat kami kerana kebanyakan pasukan terdiri dari ramai pemain berpengalaman dan serta berkualiti tinggi,” ujar Kone kepada Media MFL.

“Kami sudah tidak boleh fikirkan lagi kejayaan menjuarai Liga Premier kerana cabaran di Piala Malaysia sangat hebat dan pasukan perlu berusaha keras jika mahu mencipta kejutan.

“Saya tahu Negeri Sembilan ada sejarah tersendiri dalam Piala Malaysia kerana pernah memenanginya pada 2009 dan 2011, berdasarkan apa yang pernah diperkatakan jurulatih.

“Sebagai pemain, saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak pasti kepada peminat Negeri Sembilan namun kami berjanji akan beraksi habis-habisan dalam tiap perlawanan yang dilalui serta cuba mara sejauh mungkin pada saingan Piala Malaysia, jangan pandang rendah dengan kemampuan kami.”

Pengalaman K. Devan

Negeri Sembilan merupakan pasukan pertama yang dibimbing oleh K. Devan pada 2003 selepas beliau terjun ke bidang kejurulatihan dan beliau telah membuktikan kewibawaannya dengan meraih pelbagai kejuaran.

Oleh itu apabila dipilih sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan yang baharu untuk musim ini, kebanyakan pihak sudah menjangkakan kebangkitan Negeri Sembilan berdasarkan pengalaman luasnya dalam pentas bola sepak Malaysia.

Walaupun ada pihak yang menganggap ‘sentuhan emasnya’ telah lama hilang, namun beliau membuktikan pelantikannya untuk penggal ketiga ini dengan kejayaan menjuarai Liga Premier tempoh hari.

K. Devan setakat ini masih belum berpeluang untuk menjulang Piala Malaysia sepanjang 18 tahun kariernya selaku jurulatih. Namun beliau merupakan individu yang bertanggungjawab membimbing Negeri Sembilan dan Selangor menjuarai Liga Super dan Piala FA.

Ia menjadikan beliau sebagai salah seorang jurulatih paling berjaya dalam arena bola sepak Malaysia dengan menjadi satu-satunya jurulatih tempatan yang pernah menjulang trofi Liga Super sebanyak tiga kali bersama dua pasuakn berbeza.

Aura Zaquan Adha

Kapten Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abd Razak menjadi pemain paling berpengalaman dalam pasukan dan pastinya rekod beliau yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali bersama skuad Rusa pada 2009 dan 2011 menjadi taruhan untuk pasukan ini memenanginya kembali.

Penyerang berusia 34 tahun itu telah membuktikan kewibawaannya dengan menyumbang tujuh gol dalam saingan Liga Premier. Pastinya pengalaman dan bimbingannya amat ditagih oleh pemain-pemain muda di dalam pasukan.

Menyedari skuad rusa bukanlah pasukan pilihan, namun Zaquan telah tanam di dalam kepada rakan sepasukannya bahawa dalam bola sepak tiada apa yang mustahil.

“Saya beritahu mereka yang Piala Malaysia ini merupakan trofi kejuaraan yang amat istimewa dan ia akan dikenang seumur hidup jika memenanginya,” ujar Zaquan ketika ditemubual The Star.

“Menjuarainya merupakan satu kebanggaan, saya dah tanam perkara itu di dalam kepala semua pemain, terutamanya pemain muda. Untuk melakukan sesuatu dalam Piala Malaysia, kami perlu bekerja dalam pasukan, seperti mana yang kami lakukan untuk memenangi Liga Premier.

Penutup

Negeri Sembilan kini di kedudukan ketiga dalam kumpulan C dengan mengumpul tiga mata. Berbaki empat perlawanan, aksi berdepan Kedah untuk pusingan pertama dan kedua pastinya menjadi perlawanan paling mencabar.

K. Devan sudah pasti akan mempertaruhkan gandingan Francis Kone, Zaquan Adha dan Alain Akono yang sudah meledak 21 gol untuk merobek pertahanan lawan.

Dari baki empat perlawanan, tiga daripadanya akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Dengan kehadiran semula penyokong ke stadium selepas ini, tentunya ia akan memberi semangat kepada pemain-pemain Negeri Sembilan untuk mencipta sejarah.

Mungkin ada yang beranggap peluang untuk kelab Liga Premier menjuarai Piala Malaysia agak tipis, tetapi ingat, Selangor pernah melakukannya pada tahun 2005.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply