3 Sebab Kenapa Cheng Hoe Perlu Keluar Dari ‘Zon Selesa’ Secara Taktikal Bersama Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe Malaysia Harimau Malaya Uzbekistan

‘Belum sesuai’. Mungkin itulah perkiraan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe apabila diajukan oleh pemerhati bola sepak tempatan mengenai perubahan taktikal pasukan bimbingannya.

Desakan itu timbul selepas skuad Harimau Malaya hanya merekodkan satu kemenangan sahaja daripada tujuh perlawanan terakhir dalam kalendar antarabangsa yang pastinya menimbulkan kebimbingan serta pelbagai reaksi.

Dengan kejayaan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tempoh hari selepas muncul juara kumpulan di peringkat kelayakan, penyokong sudah mula membuat perbandingan di antara corak permainan skuad muda dan senior di atas padang.

Skuad kendalian Brad Maloney yang bermain dengan formasi 3-4-3 ketika berdepan Laos, Mongolia dan Thailand menerima pujian menggunung setelah mempamerkan corak permainan yang kemas sehingga berhasil memastikan gawang pasukan langsung tidak dibolosi untuk ketiga-tiga perlawanan tersebut.

‘Sujud Syukur’ – Cara Skuad Muda Negara Raikan Kejayaan Ke Uzbekisan Tarik Perhatian

Sebelum ini bekas ketua jurulatih skuad muda negara, Datuk Ong Kim Swee turut menggunakan sistem yang hampir sama ketika temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Maka tidak hairanlah mengapa ada yang berpandangan pasukan senior juga seharusnya menerapkan corak permainan yang sama agar ia menjadi identiti pasukan negara selari dengan perkembangan bola sepak moden.

Ia juga sepatutnya menjadi kesinambungan kepada Peta Hala Tuju FAM yang diberi nama F:30 yang mahukan Malaysia mempunyai DNA serta falsafah bola sepaknya yang tersendiri.

Permainan “Cara Malaysia”

Mungkin kita boleh ‘ulang kaji’ sebentar Falsafah Bola Sepak Malaysia yang terkandung dalam Pelan Bola Sepak Malaysia ini.

“Mendominasi kesemua empat situasi penting dalam permainan; menguasai bola dengan efektif, memberikan tekanan kepada pasukan lawan dan pantas dalam melakukan transisi.

“Memiliki mental yang ampuh, proaktif dan daya kreativiti pemain di setiap penjuru padang, bijak dalam membuat keputusan; bermain tanpa rasa gentar.”

Fokus Terhadap Penguasaan Bola Yang Berkesan

  • Sentiasa mengatur permainan ke depan mengikut situasi.
  • Menguasai permainan boleh mengekang pasukan lawan daripada menjaringkan gol.
  • Kurang berpatah balik ke gawang sendiri, tetapi kadang-kadang berada di kawasan sendiri.
  • Bersabar dalam melancarkan serangan.
  • Memecahkan benteng pertahanan dengan skil individu dan kombinasi permainan yang kreatif.

Bagaimanapun, Cheng Hoe dalam temubualnya bersama Bernama mahu semua pihak melihat perkara ini dari sudut ketersediaan pemain untuk beraksi dan beradaptasi dengan formasi dan posisi yang berbeza.

“Saya rasa cadangan itu bagus, tetapi kita perlu lihat sama ada kita ada pemain yang boleh bermain di posisi tersebut, selain kena lihat dan kaji semula adakah kita mempunyai kualiti pada permainan dengan posisi baharu itu,” ujar jurulatih kelahiran Kedah itu.

“Mungkin pandangan itu disebabkan dia (pengkritik) tengok EPL [Liga Perdana Inggeris], Liga Itali atau Liga Sepanyol, jadi dia membuat perbandingan tetapi pemain kita adakah sampai ke tahap itu?”

Adakah ini bermakna Cheng Hoe tidak mahu keluar dari ‘Zon Selesa’ secara taktikal bersama Harimau Malaya

Falsafah Kejurulatihan

Dalam peta hala tuju F:30 itu juga telah dijelaskan bahawa jurulatih di negara ini perlu menggunakan pendekatan holistik membabitkan teknikal, taktikal, mentak dan kompenan fizikal dalam satu senarai.

Perkara lebih penting yang disebutkan adalah memperbaiki cara untuk mengubah permainan mengikut situasi dan pastilah individu yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya adalah ketua jurulatih skuad kebangsaan sendiri.

Cheng Hoe FAM F30
FAM Road Map 2019-2030

Kita lihat pula apa yang terkandung dalam Falsafah Pemain Malaysia iaitu kita mahukan pemain yang mempunyai kebolehan teknikal, proaktif, memiliki daya dalam membuat keputusan yang baik serta mampu menerapkan permainan “Cara Malaysia”.

Seperti yang kita tahu, Cheng Hoe lebih selesa mempertaruhkan formasi 4-2-3-1 atau 4-3-3, Tidak dinafikan ia merupakan sistem yang sudah begitu sinonim untuk pasukan negara. Malah ia memberikan hasil yang positif pada awal pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang lalu.

Fleksibel mengikut kekuatan lawan

Justeru itu, selaku jurulatih Cheng Hoe tidak sepatutnya terikat dengan ‘satu mazhab’ sahaja sepanjang mengendalikan skuad negara. Ia sudah pun disebut di dalam F:30 bahawa corak permainan hendaklah diatur mengikut situasi.

Dengan erti kata lain, alasan ‘belum bersedia’ tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak mempelbagaikan formasi dan taktikal yang mahu diterapkan dalam setiap perlawanan. Apa salahnya bereksperimen dalam perlawanan-perlawanan persahabatan untuk mencuba sistem baharu.

Sebagai contoh, ketika berhadapan pasukan yang lebih superior, sistem bek bertiga yang boleh membentuk rangkaian lima pemain pertahanan ketika bertahan turut boleh diuji.

Logiknya, apabila berdepan pasukan yang kita tahu kualitinya jauh lebih baik, ia memberi peluang yang lebih baik untuk pasukan negara mengelak dari dibelasah dan diaibkan dengan kekalahan besar.

Jika pasukan negara fleksibel di dalam sistem permainan dan taktikal yang diguna pakai, maka perkara ini hanya akan memberikan keuntungan kepada pasukan negara kerana lawan juga sukar untuk mengagak corak permainan yang bakal kita tampilkan.

Penutup

Cheng Hoe yang membimbing pasukan negara sejak 2017 masih belum meraih sebarang gelaran dan pencapaian terbaiknya adalah membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018.

Kejohanan AFF 2020 yang akan berlangsung pada hujung tahun ini akan menjadi medan terbaik untuk jurulatih berusia 53 tahun tersebut sekali lagi membuktikan keupayaannya di pentas Asia Tenggara.

Ketika ini, dua pasukan yang dilihat sebagai pencabar utama di rantau ini adalah Vietnam dan Thailand.

Walaupun Cheng Hoe menganggap tahap skuad bimbingannya tidak jauh berbeza dengan pasukan yang menduduki ranking ke-98 dunia itu, tetapi bukankah lebih baik agar kita melihat cermin dengan sebaiknya dan mengakui kelemahan sendiri?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply