3 Sebab Antonio Conte Tidak Sesuai Jadi Pengganti Mikel Arteta Di Arsenal

Selepas tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris yang berakhir dengan kekalahan, Mikel Arteta kini jelas terdesak untuk membangkitkan Arsenal dari prestasi buruk yang mereka lalui setakat ini.

Kini khabar angin turut bertiup kencang mengatakan Arteta hanya mempunyai beberapa perlawanan sahaja lagi untuk mengubah keadaan, atau pengendali dari Sepanyol itu akan dipecat.

Antara calon pengganti yang dikhabarkan bakal menjadi pengganti Arteta di Emirates nanti adalah beas pengendali Chelsea dan Inter Milan, Antonio Conte.

Conte adalah seorang pengurus berpengalaman yang telah memenangi banyak trofi sebelum ini. Tetapi itu tidak semestinya beliau adalah calon tepat untuk membawa Arsenal ke hadapan. Berikut pula adalah tiga sebab utama mengapa Arsenal tidak seharusnya bergantung kepada Conte.

1. Cita-cita Conte rosakkan pemain muda

Tiada keraguan dengan melantik Antonio Conte, Arsenal akan memiliki seorang pengendali yang memiliki mentaliti Sang Juara.

Tanpa mengira kelab yang disertainya, Conte setakat ini berjaya memenangi trofi di setiap kelab yang disertainya. Namun di sebalik kejayaan memenangi trofi-trofi tersebut, Conte sering kali mengorbankan aspek terpenting yang memberi impak kepada kelangsungan kelab.

Untuk membentuk sebuah pasukan yang mampu meraih trofi, Conte biasanya akan terjun aktif ke pasaran pemain untuk mendapatkan pemain yang beliau perlukan.

Kebiasaanya, pemain yang dimahukan oleh Conte ialah pemain yang berpengalaman dan sudah berusia.

Perkara ini jelas berlaku ketika Conte mengendali Chelsea, dan kemudiannya Inter Milan. Masalahnya falsafah ini bertentangan dengan apa yang Arsenal amalkan sejak dari dulu – iaitu pembangunan bakat muda

Walaupun melalui prestasi serba tidak menentu pada hari ini, The Gunners masih memiliki beberapa pemain muda berkualiti tinggi yang memainkan peranan besar di dalam skuad utama. Tidak dapat dipastikan apakah nasib pemain-pemain ini jika Conte dipanggil sebagai pengganti Arteta hanya untuk mendapatkan hasil secara singkat.

2. Kedudukan kewangan Arsenal

Perkara kedua masih lagi berkaitan ‘mentaliti juara’ versi Antonio Conte. Untuk membentuk pasukan yang dimahukannya, Arsenal sudah pasti perlu berbelanja besar.

Ini kerana Conte adalah jenis jurulatih yang tidak segan silu memaksa kelab mengeluarkan dana yang tinggi untuk projek yang mahu dilaksanakannya.

Ketika mengendali Chelsea, Conte berbelanja sehingga £300 juta hanya dalam tempoh beberapa musim. Inter Milan pula kini menghadapi masalah kewangan kerana terlalu menurut permintaa bekas jurulatih skuad kebangsaan Itali itu.

Jika kelab gagal menurut kehendak beliau, maka Conte tidak teragak-agak menjaja rasa tidak puas hati tersebut kepada media – sepertimana yang berlaku di Chelsea.

Bagi kelab seperti Arsenal yang sudah berbelanja tanpa arah sejak beberapa musim lalu, satu lagi blunder di pasaran pemain dengan pelaburan besar boleh memberikan masalah kewangan kepada kelab London itu.

Jelas sekali falsafah milik Conte tidak selari dengan apa yang diamalkan oleh Arsenal selama ini.

3. Cenderung buat masalah dalaman

Antonio Conte adalah seorang jurulatih dengan perwatakan keras. Sejak masih bergelar pemain, dan kini sebagai jurulatih dan pengurus, beliau sentiasa vokal dalam menyuarakan pendapatnya.

Bagaimanapun sifat tersebut sering kali memberi masalah kepada beliau sendiri, sehingga berseteru dengan anggota lain di dalam hierarki kelab, dan juga di kalangan pemain kendaliannya.

Ketika masih di Chelsea Conte mempunyai hubungan yang keruh dengan Diego Costa. Begitu juga hubungan Conte dengan Radja Nainggolan ketika kedua-duanya bersama di Inter Milan.

Seperti dikatakan tadi, Conte juga tidak teragak-agak menyelar pihak pengurusan tertinggi kelab jika permintannya tidak dipenuhi. Perkara ini berlaku di Chelsea sehingga menyebabkan beliau dipecat.

Ketika bersama Inter Milan, Conte sampai sanggup meletakkan jawatan dan pergi begitu sahaja kerana tidak mempunyai kesefahaman dengan pengurusan kelab Itali tersebut.

Bayangkan saja jika Arsenal melantik Conte sebagai pengganti Arteta? Sudahlah aksi di padang kini longlai, keadaan di bilik persalinan juga rendah, penyokong juga mulai berpaling tadah, maka Conte adalah masalah terakhir yang perlu dielakkan oleh kelab London itu.

Penutup

Perkara tersebut hanya tiga dari banyak masalah lain yang mungkin timbul jika Arsenal melantik Conte. Pemilik Arsenal, Stan Kroenke misalnya juga jenis yang keras kepala?

Mampukah Kroenke memenuhi permintaan Conte yang juga keras? Atau kedua-duanya hanya akan menjadikan Arsenal semakin parah?

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply