3 Persoalan Perlu Dijawab MFL Selepas Pendedahan Oleh The Vibes

Hari ini komuniti bola sepak Malaysia digoncangkan dengan banyak persoalan berikutan pendedahan oleh sebuah media digital berbahasa Inggeris, The Vibes, mengenai apa yang sedang berlaku di dalam Malaysian Football League (MFL).

Sering kali perkara sebegini dilihat seperti satu teori konspirasi. Namun apa yang didedahkan oleh wartawan The Vibes, T. Vignesh melalui artikel beliau bertajuk ‘Shady business for MFL?’ sememangnya telah mewujudkan persoalan untuk dijawab oleh MFL sendiri.

Benarkah wujud penggunaan pintu belakang untuk syarikat-syarikat tertentu mendapatkan kontrak produksi siaran langsung Liga Malaysia?

Atau lebih teruk lagi, adakah terdapat penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan di kalangan orang kuat di dalam MFL membabitkan perjanjian bernilai RM35 juta keseluruhan

Kami menyarankan anda membaca artikel asal oleh T. Vignesh melalui pautan di atas sebelum meneruskan pembacaan di sini.

Berikut pula adalah persaoalan yang kami turut timbulkan untuk dijawab oleh MFL berdasarkan artikel tersebut.

Siapakah Spacelabs Technology Sdn Bhd?

Menurut artikel oleh The Vibes, tiada pemain industri di dalam produksi biasa dengan syarikat dikenali sebagai Spacelabs Technology Sdn Bhd ini. Ideanya, Spacelabs Technology akan mengambil alih dari IDEAL systems untuk menyediakan siaran langsung untuk disiarkan oleh Unifi TV (TM Malaysia).

Berdasarkan laporan The Vibes, Spacelabs Technology dimiliki oleh Benny Ching Kuo Wei, Goh Hong Loond dan Cheong Kwong Hon sebagai pengarah, manakala Choong Boon Gan adalah setiausaha syarikat.

Semakan The Vibes mendapati tiada siapa pun mengenali mereka ini baik di dalam industri penyiaran dan produksi; apatah lagi bola sepak.

Pada masa yang sama MFL dilaporkan bakal memeterai perjanjian sebanyak RM32 juta dengan syarikat yang tidak dikenali sebelum ini di dalam industri.

Semakan lebih lanjut oleh pihak kami menemui laman Facebook Spacelabs Technology hanya dibuka pada 14 Jun tahun ini.

Laman sesawang Spacelab Technology juga dipercayai mulai beroperasi pada tahun ini.

Setelah kegagalan demi kegagalan sebelum ini di dalam pembahagian hak penyiaran kepada rakan kongsi, selain kualiti penyiaran yang tidak pernah memuaskan saban musim, adakah MFL sekali lagi bertindak membuta tuli dalam hal produksi penyiaran Liga Malaysia?

Syarikat tiada pejabat?

MFL sememangnya dipandang sebagai sebuah badan profesional yang diberi kepercayaan untuk meningkatkan mutu industri bola sepak di dalam negara.

Jika rekod terdahulu diambil kira, MFL pernah berguru bersama LaLiga di Sepanyol, dan juga dengan pihak Premier League untuk belajar susun atur liga yang kompetitif, dan lebih penting boleh dijual.

Beberapa tahun lalu juga, anda semua pasti ingat bagaimana mantan Pengerusi Malaysia Football League (MFL), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim jelas kecewa dengan kualiti trofi yang disampaikan kepada pemenang-pemenang dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018. Ini kerana ia melambangkan budaya koperat dan standard yang baginda mahukan di dalam industri bola sepak kita.

Alamat sepatutnya Spacelabs di kad bisnis. Kredit: The Vibes.

Persoalannya kini ialah bagaimana MFL mahu menyerahkan produksi penyiaran Liga Malaysia kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai pejabat pun?

Berdasarkan semakan dan siasatan oleh The Vibes, alamat pada kad bisnes Ketua Pegawai Eksekutif , Kelvin Cheong merujuk kepada sebuah unit kediaman kondominium di Bukit Jalil.

Lobi kondominium Spacelab. Gambar oleh: T. Vignesh

 

Alamat pendaftaran di SSM pula merujuk kepada sebuah bangunan usang terletak di No. 38, Lorong Yap Hin, off Jalan Pasar ─ dimiliki dengan sahnya oleh ‘Syarikat Perniagaan Bee Kwong’, iaitu sebuah kedai gunting pakaian di Kuala Lumpur.

Spacelabs’ registered address on the SSM directs to this location. Pic courtesy of T.Vignesh

Timbul tanda tanya mengapakah sebuah syarikat berasaskan teknologi dan produksi menggunakan alamat kediaman, dan kedai jahit sebagai alamat pendaftaran operasi?

Adakah ini legasi yang ditinggalkan oleh TMJ kepada barisan kepimpinan baharu di dalam MFL? Kami sudah pasti tidak.

Adakah rakan kongsi akan berdiam diri?

Ini bahagian terpenting. Adakah rakan kongsi MFL yakni kelab-kelab bertanding mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku?

Jika mereka mengetahuinya selama ini, adakah mereka akan berdiam diri? Adakah mereka akan menurut sahaja?

Jika perjanjian oleh MFL bersama Spacelab Technology ini akan dimeterai seperti mana yang dilaporkan oleh The Vibes, maka jelas ia adalah satu urusniaga yang amat berisiko.

MFL Liga Bolasepak Malaysia Liga M TM
FOTO: MFL

Akhirnya yang menerima padah adalah kelab-kelab sendiri. Tidak mengapa jika perjudian oleh MFL (melantik syarikat tiada pengalaman) membuahkan hasil. Bagaimana jika sebaliknya?

Ia pasti bukan perkara yang akan dibanggakan oleh JDT. Begitu juga oleh Selangor FC, Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC mahupun Sabah FC.

Jelas sekali MFL perlu tampil memberi penerangan, bukan sahaja kepada kelab atau rakan kongsi, tetapi juga kepada semua penyokong bola sepak tempatan di luar sana.

Bukanlah mahu menuduh, tetapi buat masa ini, ia lebih kedengaran sepert isu yang boleh menjadi skandal integriti berbanding dengan perjudian berani mati yang mahu dilakukan oleh MFL.

 

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN