3 Pengajaran Daripada Kegagalan Skuad Kelayakan Piala Asia B-23 Edisi 2020

Kelayakan Piala Asia B-23 2023 safawi rasid kelayakan afc b-23 2020

Malaysia akan membuka gelanggang pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia pada 25 Oktober ini dan apakah yang skuad kelayakan edisi kali ini boleh belajar daripada kegagalan skuad kelayakan edisi 2020?

Skuad Harimau Muda telah pun tiba di Ulaanbaatar, Mongolia dua hari lalu dan telah menjalani dua sesi latihan. Amat penting untuk mereka menyesuaikan diri dengan segera kerana suhu di sana di bawah 10 darjah Celsius.

Mereka tentunya mahu mengulangi pencapaian skuad kelayakan edisi 2018 yang berjaya meraih tiket automatik ke pusingan akhir selepas menjuarai Kumpulan H. Malah, skuad itu melakar pencapaian terbaik apabila berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir di pusingan akhir kejohanan sebelum tewas tipis kepada Korea Selatan.

Hadir ke kelayakan Piala Asia B-23 2020 dengan reputasi besar sebagai antara enam pasukan terbaik di edisi sebelumnya, skuad yang dikemudi kapten, Safawi Rasid gagal mengulangi pencapaian layak ke pusingan akhir.

Begitupun, mereka bukanlah kecundang teruk. Diundi sekumpulan bersama kuasa besar Asia, China, Filipina dan Laos, skuad negara tersingkir dek kerana perbezaan jaringan dan gagal mendapat tiket empat pasukan kedudukan kedua terbaik. Malaysia berkongsi tujuh mata dengan China, namun China menjuarai kumpulan itu.

Ia hasil dua kemenangan besar China ke atas Filipina dan Laos, sementara perlawanan menentang Malaysia berkesudahan seri 2-2. Ia kegagalan yang perit untuk ditelan walaupun boleh kita katakan hampir untuk layak.

Jangan harapkan tiket empat pasukan di posisi kedua terbaik

Oleh itu, sasaran pertama skuad kendalian Brad Maloney adalah, jangan mengharapkan tiket daripada empat pasukan kedudukan kedua terbaik. Ia jelas sukar dengan situasi, Malaysia bukanlah pasukan yang akan menang dengan margin gol yang besar. Rata-rata pasukan lain adalah kuasa besar Asia, jadi ia jalan sukar buat kita.

Sebagaimana di edisi yang lalu, walaupun kita boleh berbangga berkongsi mata dengan China dan mengikat mereka dengan keputusan seri, ia tidak bermakna kita mampu melepasi pusingan kelayakan di posisi kedua.

Skuad Harimau Muda berada di kedudukan ke-7 dalam ranking kedudukan kedua terbaik semua kumpulan yang menyaksikan Australia, Iran, Syria dan Arab Saudi berjaya mendapat tiket tersebut dan mara ke pusingan akhir.

Tak kalah, tak beerti boleh layak

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee turun dengan harapan besar dengan barisan pemain yang ampuh dan diketuai pula oleh bintang masa depan skuad kebangsaan, Safawi Rasid. Jelas, skuad ini mampu pergi jauh.

Malah, Malaysia turun sebagai tuan rumah untuk pusingan kelayakan kali ini – satu lagi kelebihan besar.

Malaysia menang 3-0 ke atas Filipina dan 1-0 ke atas Laos sebelum terikat 2-2 menentang China. Mereka tidak tewas, namun gagal mara ke pusingan akhir. Jadi, tidak kalah, tak bererti tiket hak milik Malaysia. Walaupun edisi kelayakan kali ini Malaysia tidak diundi dengan kuasa besar Asia, jangan ambil mudah cabaran lawan.

Apa yang penting adalah mensasarkan untuk menang semua perlawanan yang telah dijadualkan menentang Thailand, Laos dan Mongolia. Itu sahaja jalan selamat untuk terus mara ke pusingan akhir pada 2022 nanti.

Nama besar tak jamin mampu lepasi pusingan kelayakan

Kim Swee menyenaraikan nama-nama besar bola sepak remaja negara ketika itu antaranya kapten, Safawi Rasyid, Akhyar Rashid, Hadi Fayyadh dan wira di edisi 2018, Daniel Amier Norhisham. Ia skuad yang ampuh.

Kelebihan beraksi sebagai tuan rumah diiringi bantuan sorakan penyokong dijangka akan mampu membawa skuad ini terbang ke Thailand untuk pusingan akhir nanti. Sebaliknya, mereka gagal mencapai ekspetasi itu. Berbanding skuad 2018 yang sederhana, skuad yang dibawa Kim Swee selepas itu adalah yang terkuat.

Terdapat juga nama-nama besar bola sepak remaja dalam skuad kelayakan kali ini dan diharapkan sejarah tidak akan berulang. Nama seperti Luqman Hakim Shamsudin sentiasa didendang seperti Safawi Rasid sebelum ini. Quentin Cheng pula seakan-akan Syahmi Safari yang tampak pilihan gagah di benteng edisi sebelumnya.

Skuad kendalian Brad Maloney perlu membentuk keserasian segera dan tidak terlalu bergantung kepada nama-nama besar semata-mata. Kerjasama sepasukan adalah paling penting dan diharapkan arkitek era kini skuad muda negara, Mukhairi Ajmal Mahadi, sebagai kapten akan mampu memberikan inspirasi kepada skuad kali ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply