3 Lagenda Kelab Di Liga Malaysia Yang Kembali Ke ‘Lubuknya’

Lagenda Liga Malaysia Sireh Pulang Ke Gagang 2

Bukan hanya di luar negara, kisah kembalinya lagenda kelab ke pasukan yang pernah membuat dirinya menjadi lagenda turut berlaku di dalam saingan Liga Malaysia.

Khabar kembalinya lagenda Manchester United, Cristiano Ronaldo ke Manchester United memberi kesan yang baik kepada mereka. Selepas 12 tahun, siapa mampu menduga pemain terbaik dunia itu akan kembali ke ‘lubuknya’ untuk menabur bakti.

Untuk Liga Malaysia, memang ada banyak kisah kembalinya lagenda pasukan untuk bersama pasukan selepas berhijrah ke pasukan lain. Jom kita soroti tiga daripadanya.

Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim)

Ini kisah terkini seorang lagenda pasukan yang kembali ke pasukannya. Safiq Rahim yang berkelana ke Melaka United untuk dua musim akhirnya kembali menyertai JDT untuk saingan musim 2021. Ia umpama sireh pulang ke gagang buat JDT.

Walaupun dikenali sebagai bintang muda terbaik di Selangor, beliau telah mencipta fenomena yang tersendiri ketika menyarung jersi Harimau Selatan. Enam musim di JDT, Safiq Rahim telah menempa pelbagai kejuaraan bersama mereka.

Lima kejuaraan Liga Super, satu trofi Piala FA, satu trofi Piala Malaysia, tiga kejuaraan Piala Sumbangsih, dan yang paling dikenang ialah memimpin JDT muncul juara Piala AFC pada 2015 pasti menjadi kenangan termanis yang sukar beliau lupakan.

Safiq Rahim: Legenda Hidup Harimau Selatan Yang Masih Mengaum Gagah

Bersama JDT, Safiq pernah beraksi di bawah kendalian beberapa jurulatih, antaranya Fandi Ahmad, Bojan Hodak, Mario Gomez dan juga Ulisses Morais. Dan bersama setiap pengendali, nama Safiq sentiasa menjadi pilihan utama jurulatih untuk berada di dalam kesebelasan utama. Demikianlah penting dan pengaruh yang dimiliki pemain ini.

Di Melaka United, beliau mungkin tidak mengecapi sebagaimana ketika beliau berada di ‘Kandang Harimau’, tetapi ia cukup buat dirinya untuk keluar ‘berehat’ seketika.

Kembalinya ke JDT bagi menyertai misi pertamanya ke AFC Champions League (ACL), beliau akhirnya melengkapkan CV kariernya di pentas tertinggi Asia di peringkat kelab.

“Sangat bagus [prestasi Safiq Rahim]. Saya selalu katakan Safiq Rahim adalah lagenda bola sepak di Malaysia. Dia seorang pemain yang pandai membaca perlawanan dan dia tahu bagaimana serta bila dia perlu menyumbang kepada pasukan,” komen Benjamin Mora selepas kemunculan semulanya menentang Penang FC, Mei lalu.

Dan malam tadi, ketika menghadiahkan kejuaraan ke-8 berturut-turut buat JDT, selepas ‘hilang’ selama dua musim, assistnya kepada gol kedua Bergson da Silva sangat ‘lazat’.

Amri Yahyah (Selangor FC)

Siapa tak kenal pemain penuh karekter ini. Ini satu lagi produk Selangor yang berjaya sehingga di usia emas – 40 tahun, ketika ini. Amri Yahyah masih menjadi tumpuan dan mempamerkan prestasi baik bersama Sabah FC dalam saingan Liga Super 2021.

Amri Yahyah tidak pernah kekeringan idea untuk menarik perhatian pemerhati bola sepak tempatan. Beliau juga pernah memperdaya penjaga gol Manchester United, Edwin van der Sar sembilan tahun lalu menerusi jaringan jarak jauh yang memukau.

Apa Lagi Yang Ada Dalam Kocek ‘Master of Scam’ Amri Yahyah?

Dalam aksi minggu ke-16 dan 17 Liga Super, pemain kelahiran Selangor ini melakukan lagi aksi liciknya. Tipu dayanya membuat perangkap offside ketika sepakan percuma dibuat boleh kita katakan licik dan sangat membantu Sabah dalam situasi tersebut.

Memulakan kariernya di Selangor pada musim 2001, beliau menabur bakti selama 13 musim sebelum berhijrah ke JDT pada musim 2014. Bersama The Red Giants, beliau telah merangkul tiga kejuaraan Piala FA dan Piala Sumbangsih, dua kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia serta satu kejuaraan Liga Premier iaitu pada musim 2005.

Sejurus meninggalkan JDT bersama ‘beg kejuaraan’ juga, Amri Yahyah menyertai Melaka United untuk lima bulan sebelum kembali ke pangkuan Selangor semula.

Namun, ia tidak lagi seindah 13 musimnya terdahulu. Hanya tiga musim bertahan, beliau telah memilih untuk ‘angkat kaki’ setelah berselisih faham dengan pengendali pasukan ketika itu, B. Satiananthan. Beliau tampil sebanyak 44 kali dalam saingan liga.

“Namun ingin saya ingatkan, team yang saya main lepas ni, bila lawan Selangor [nanti], Selangor takkan menang,” ungkapnya kepada Astro Arena selepas sah meninggalkan Selangor buat kali kedua pada musim 2019 dan kemudian menyertai Sarawak United.

Begitupun, dalam satu muat naik di laman sosial Selangor FC, mereka mengiktirafnya sebagai seorang lagenda pasukan sebagaimana Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari.

Zaquan Adha (Negeri Sembilan)

Setelah hampir sedekad meninggalkan negeri kelahirannya, Zaquan Adha telah memilih untuk kembali menabur bakti bersama Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan Liga Premier 2021 – kembali ke sarangnya membina nama satu masa dahulu.

Musim 2020, Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan ke-11, hanya tiga mata dipisahkan daripada penghuni dasar liga, Perak II. Ia merupakan satu musim yang harus mereka segera lupakan kerana ia musim terburuk mereka di saingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya untuk saingan Liga Premier.

Selepas 17 perlawanan dilalui musim ini, Negeri Sembilan berada di kedudukan ke-2 Liga Premier. Dan menariknya, Zaquan Adha adalah penjaring kedua terbanyak mereka – kurang satu gol di belakang pemain import, Alain Akono yang meledak lapan gol.

Sejurus dilepaskan Kedah pada hujung musim lalu, Zaquan Adha pernah mengeluh mengenai kesukarannya untuk mencari pasukan. Dengan lambakan penyerang import, bekas penyerang skuad kebangsaan itu dilihat semakin sukar untuk bersaing.

Tidak disangka, pasukan yang menjadi permulaan karier profesionalnya, Negeri Sembilan telah tampil menagih kudratnya. Ketika kemuncak kariernya, Zaquan Adha adalah penjaring terbanyak skuad Jang untuk tiga musim berturut-turut, sejak 2007/08. Itu juga tahun beliau meraih debut bersama Harimau Malaya.

Zaquan Adha pernah membantu Negeri Sembilan menjulang beberapa kejuaraan antaranya Liga Super 2006, Piala Malaysia 2009, 2011 serta Piala FA 2010.

Selepas itu, Zaquan Adha yang kini berusia 34 tahun berkelana ke beberapa buah pasukan bersama kembarnya, Aidil Zafuan yang kini merupakan pemain JDT. Mereka berpisah pada 2017 apabila Zaquan Adha menyertai Perak selama semusim dan kemudian ke Kuala Lumpur (2019) dan terakhir, Kedah pada musim lalu.

Tiga pemain ini adalah sebahagian contoh lagenda yang kembali ke lubuk mereka sebagaimana kembalinya Cristiano Ronaldo ke Manchester United. Ia bukanlah kisah asing tetapi khabar yang sangat mengujakan buat para penyokong pasukan terlibat.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply