3 Kelab Yang Boleh Disertai Dean Henderson Jika Terus Dipinggir Manchester United

Dean Henderson Manchester United

Penjaga gol Manchester United, Dean Henderson dikhabarkan sudah ‘bosan’ menunggu untuk beraksi secara lebih kerap yang akan memberi kesan kepada peluangnya untuk disenaraikan bersama skuad kebangsaan England.

Buat masa ini David de Gea masih menjadi pilihan utama Ole Gunnar Solskjer untuk perlawanan-perlawanan penting. Tambahan pula penjaga gol berusia 30 tahun itu merupakan penerima gaji tertinggi di Old Trafford dan mempunyai baki kontrak yang masih panjang.

Justeru itu, agak sukar untuk melihat Henderson merampas status penjaga gol utama United dalam masa terdekat melainkan penjaga gol Sepanyol tersebut dijual kepada kelab lain.

Namun buat masa ini tiada pasukan yang berminat untuk mendapatkan De Gea, apatah lagi dengan harga yang tinggi sewaktu keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Henderson baru sahaja menandatangani kontrak baharu jangka panjang dengan gaji £120,000 seminggu pada awal musim ini. Ia bermaksud pihak pengurusan kelab mahu memastikan penjaga gol berusia 23 tahun itu terus kekal menjadi pemain United untuk jangka masa panjang.

Panjaga gol legenda England, David Seaman juga menasihatkan agar beliau segera meninggalkan United untuk meningkatkan peluangnya menjadi penjaga gol utama skuad Three Lions.

Maka pilihan yang ada untuk Henderson adalah berhijrah ke kelab lain secara pinjaman jika tidak mahu terus memanaskan bangku simpanan pada musim hadapan. Berikut adalah tiga pasukan yang dicadangkan untuknya.

Tottenham Hotspur

Menurut laporan Sky Sports, antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan Henderson adalah Tottenham Hotspur yang sedang giat mencari pengganti Hugo Lloris.

Penjaga gol Perancis itu yang mempunyai baki kontrak sehingga Jun 2022 itu dijangka meninggalkan kelab utara London tersebut pada musim panas ini untuk menyertai Mauricio Pochettino di Paris Saint-Germain (PSG).

Kemampuan penjaga gol berusia 34 tahun itu telah dianggap tidak setangkas dahulu dan memaksa Jose Mourinho dan Daniel Levy untuk mencari alternatif terbaik sekiranya kehilangan khidmat kapten Perancis yang menjulang Piala Dunia 2018 berkenaan.

Borussia Dortmund

Sebuah lagi pasukan yang berminat untuk memancing Henderson adalah kelab Bundesliga, Borussia Dortmund yang berhasil membangunan bakat pemain-pemain dari England sejak kebelakangan ini.

Jadon Sancho telah menjaringkan 44 gol dan menyumbang 59 bantuan jaringan sejak menyertai kelab Jerman tersebut dari Manchester City, sementara Jude Bellingham pula telah pun membuat 29 penampilan sejak awal musim ini.

Namun di sana masih ada dua penjaga gol Switzerland, Roman Burki dan Marwin Hitz yang dilihat bergilir-gilir mengawal gawang gol, namun kedua-duanya kini sudah menjangkau usia 30-an.

Sekiranya United masih berminat untuk mendapatkan Sancho pada musim panas ini, kemungkinan Henderson akan menjadi ‘umpan’ terbaik untuk memuktamadkan perpindahan tersebut.

Celtic

Jika tidak mahu berhijrah terlalu jauh dari negara kelahirannya, mungkin Celtic adalah pilihan yang baik buat Henderson.

Musim ini skuad bimbingan Neil Lennon itu bergelut untuk mempertahankan kejuaraan dan jauh ketinggalan 18 mata dari pendahulu liga Rangers.

Musim ini Celtic telah bolos 26 kali daripada 30 perlawanan sedangkan mereka hanya melepaskan 19 gol pada musim lepas dalam jumlah perlawanan yang sama.

Vasilis Barkas yang dibeli pada musim panas lalu nampaknya gagal mempamerkan aksi yang diharapkan. Mungkin penjaga Greece itu memerlukan masa lebih lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Untuk Henderson, ia adalah peluang untuk beliau beraksi lebih kerap pada musim depan bersama kelab yang mempunyai sejarah kejayaan yang panjang dan boleh menjadi batu loncatan untuk mengumpul koleksi kejuaraan dalam kariernya.

Kredit Foto: Getty Images

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Dean Henderson:

Seaman: Henderson Perlu Tinggalkan Man Utd Untuk Bergelar Penjaga Gol Utama England

De Gea Kembali Ke Prestasi Terbaik Kerana Tergugat Dengan Henderson

Dean Henderson Tekad Beri Tekanan Buat David De Gea

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply