3 Faktor Pendorong Hadi Fayyadh Untuk Kekal Di Fagiano Okayama

Hadi Fayyadh Fagiano Okayama

Semua telah maklum, penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak telah menyambung kontraknya bersama kelab Divisyen 2 Jepun, Fagiano Okayama.

Ini bakal menjadi musim ketiganya di bumi Jepun dan walaupun tidaklah semegah penyertaan Safawi Rasid ke Portimonense SC di Premiera Liga Portugal dan Luqman Hakim Shamsudin ke KV Kortrijk di Belgian Pro League, beliau dilihat antara pemain yang paling kental bertahan di bumi asing selepas meninggalkan tanah air.

Selain merupakan antara projek khas Yakult Malaysia bersama Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh yang berusia 20 tahun itu dilihat memiliki potensi untuk menjadi penyerang terbaik dengan telah mewakili skuad negara di hampir semua peringkat umur.

Ya, faktor sokongan daripada Yakult Malaysia menjadi antara sebab kontraknya disambung, apa lagi faktor pendorong Hadi Fayyadh untuk terus berada di sana?

Peningkatan demi peningkatan

Ketika beliau tiba di Fagiano Okayama pada penghujung tahun 2018, beliau dilihat bergelut untuk meraih penampilan bersama kelab tersebut. Produk Frenz United itu gagal menempatkan diri dalam skuad utama dan dikatakan akan diberikan latihan khas untuk meningkatkan kemampuan dirinya selaku seorang penyerang.

Menurut Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, pengurusan kelab sangat berpuas hati dengan peningkatan permainan Hadi Fayyadh terutamanya ketika meledak hatrik dalam aksi persahabatan menentang skuad B-18 Fagiano Okayama yang dikatakan merupakan antara pasukan terkuat di liga remaja di Jepun.

Perancangan ‘istimewa’

Berikutan itu, Fagiano Okayama yang menamatkan musim ini di kedudukan ke-17 daripada 22 pasukan itu dikatakan memiliki perancangan istimewa kepada bekas pemain yang pernah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk tempoh semusim itu.

Kata Hamada yang bercakap kepada Berita Harian, “Akan ada perancangan istimewa untuk Hadi bagi 2021, namun masih lagi dalam perbincangan. Saya akan maklumkan perkara ini apabila mendapat kebenaran dari Fagiano nanti.” Mungkinkah kita bakal menyaksikan kelibat Hadi Fayyadh dalam saingan J League 2 nanti?

Sudah sesuaikan diri dengan baik

Hadi Fayyadh juga tampak semakin menyesuaikan diri dengan budaya hidup dan kehidupannya di Jepun. Beliau semakin petah berbicara menggunakan bahasa Jepun antaranya ketika melayan temuramah oleh media kelab sekitar November lalu.

Selain itu, beliau juga telah dilantik sebagai Duta Pelancongan Kesihatan Okayama oleh Datuk Bandar Okayama bersempena dengan satu program kerjasama di antara Bandar Okayama, Bandar Maniwa, Bandar Kibi-Chuo yang bertujuan untuk memperkenalkan tempat-tempat menarik di sekitar Okayama kepada pengunjung Muslim.

Selain itu, tiada tekanan daripada luar mahupun dalam dilihat sangat membantu dalam pembangunan karier pemain yang dijangkakan akan menjadi penyerang utama negara satu masa nanti. Kesabaran Fagiano Okayama dalam membantu dan membentuk Hadi Fayyadh diharapkan akan membuahkan hasil buat mereka dan juga negara.

KREDIT FEATURED IMAGE: INSTAGRAM HADI FAYYADH

Baca lagi artikel mengenai Hadi Fayyadh:

Bakti Ramadan Hadi Fayyadh, Yakult Buat Kanak-Kanak Pesakit Kanser

Hadi Fayyadh, Fagiano Okayama Teruskan Sesi Latihan

Hadi Fayyadh Mahu Pulihkan Semula Prestasinya Dengan Fagiano Okayama

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN