Ini Sebab Mengapa 2020 Dianggap Tahun Malapetaka Buat Barcelona

Barcelona Lionel Messi 2020

Selepas terikat 1-1 dengan Eibar di tempat sendiri dalam perlawanan terakhir untuk tahun 2020, pengurus Barcelona Ronald Koeman dengan jujur mengatakan amat sukar untuk Barcelona menjuarai La Liga musim ini.

Segalanya serba tidak kena buat skuad dari Catalan itu sepanjang tahun ini. Ia bermula dengan kekalahan kepada Atletico Madrid di peringkat separuh akhir Piala Super Sepanyol yang berlangsung di Arab Saudi pada awal Januari.

Seminggu kemudian, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk memecat ketua jurulatih Ernesto Valverde dan kemudian melantik jurulatih berpengalaman Quique Setien untuk memperbaiki keadaan.

Sebaliknya situasi menjadi semakin buruk apabila beberapa agensi berita melaporkan cerita mengenai hubungan dingin kapten pasukan Lionel Messi dengan Setien.

Pada awal Februari, Barcelona disingkirkan oleh Athletic Bilbao dari saingan Piala Raja Sepanyol di peringkat suku akhir. Bulan berikutnya mereka tewas 2-0 pula kepada Real Madrid dalam pertembungan El Clasico di Santiago Bernabeu sebelum semua aksi terhenti akibat wabak COVID-19.

Sebaik sahaja saingan liga bersambung, The Blaugarana semakin terhimpit apabila mencatat keputusan seri dalam beberapa perlawanan menyebabkan mereka keciciran mata penting.

Sedangkan pesaing terdekat mereka Real Madrid pula terus bernafsu mencatat kemenangan demi kemenangan dan merampas kejuaraan La Liga dari Barcelona selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Granada pada 13 Julai 2020.

Mimpi buruk Barcelona tidak berakhir di situ. Mereka berlepas ke Lisbon untuk meneruskan aksi Liga Juara-Juara Eropah yang dijalankan secara ‘pertandingan mini’.

Selepas menewaskan Napoli 3-1 untuk mengesahkan tempat di peringkat suku akhir, mereka telah diundi bertemu dengan kelab gergasi Jerman Bayern Munich. Pada awalnya semua pihak menjangkakan ianya ibarat aksi final kerana mempertemukan dua jogoan dari liga terbaik dunia.

Namun kejutan berlaku apabila Barcelona diaibkan dengan begitu dahsyat selepas dibelasah 8-2 oleh juara Bundesliga tersebut. Ia merupakan kekalahan terbesar mereka dalam kejohanan Eropah dan sekaligus menamatkan musim 2019/20 tanpa sebarang trofi.

Pengurusan kelab tidak menunggu lama dengan memecat Setien tiga hari selepas kekalahan memalukan itu. Jurulatih berusia 62 tahun berkenaan kemudiannya mengambil tindakan undang-undang kerana mendakwa kontraknya tidak dihormati.

Selepas berjaya mendapatkan Ronald Koeman sebagai pengendali baharu, bekas jurulatih skuad kebangsaan Belanda itu berhasrat untuk membina ‘Barcelona baharu’ dengan memberi peluang kepada pemain-pemain muda seperti Ansu Fati, Pedri, Francisco Trincao dan Riqui Puig.

Beliau bertindak membuat beberapa rombakan dengan ‘membuang’ beberapa pemain senior seperti Ivan Rakitic, Arturo Vidal dan Luis Suarez selain turut menjual serta meminjamkan beberapa pemain seperti Nelson Semedo, Rafinha, Moussa Wague dan Jean-Clair Todibo.

Messi pula telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Nou Camp kerana mendakwa terdapat klausa di dalam kontraknya yang membenarkan beliau berpindah secara percuma, namun ia berjaya dihalang oleh pihak pengurusan kelab.

Bagaimanapun segala perancangannya serba tidak kena. Barcelona tewas empat daripada 15 perlawanan liga termasuk dalam aksi El Clasico dan kini hanya menduduki tangga keenam liga.

Kekalahan kepada Juventus dalam saingan UCL juga menyebabkan mereka menamatkan aksi di peringkat kumpulan di tempat kedua di belakang kelab Serie A tersebut.

Pergolakan di peringkat pengurusan berakhir dengan perletakan jawatan Josep Maria Bartomeu sebagai presiden kelab pada bulan Oktober bersama lembaga pengarahnya yang lain selepas sekian lama didesak oleh penyokong.

Namun kebanyakan pihak berpendapat tindakan tersebut didorong oleh keadaan kewangan Barcelona yang semakin meruncing sehingga memaksa pihak kelab berunding dengan pemain untuk membuat pemotongan gaji sehingga 30 peratus jika tidak mahu difailkan bankrup.

Pada bulan November pula, bintang Brazil Neymar telah membuat tuntutan saman sebanyak €44 juta terhadap bekas majikannya ekoran pertikaian mengenai bonus pembaharuan kontrak setelah membuat perpindahan ke Paris Saint-Germain pada 2017.

Baru-baru ini bintang utama mereka Messi juga gagal meraih anugerah peribadi setelah penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski diumumkan sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA bagi tahun 2020.

“Secara realistiknya untuk memenangi kejuaraan [La Liga] amat sukar buat kami. Saya tahu tiada yang mustahil, tetapi lihatlah jarak mata yang jauh dengan Atletico yang konsisten memenangi perlawanan dan tidak melepaskan banyak gol,” ujar Koeman.

Menjadi lumrah buat mana-mana pasukan bola sepak untuk berdepan dengan pasang surut dalam perjalanan mereka. 2020 pastinya menjadi tahun yang mahu segera dilupakan oleh penyokong setia Barcelona.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Barcelona:

Ini ‘Manifesto’ Calon Presiden Barcelona Tentang Masa Depan Lionel Messi

Barcelona Mungkin Tukar Nama Nou Camp Kepada ‘Stadium Leo Messi’

‘Pasukan Itu Tiada Apa’ – Pengurus Benfica Tolak Perbandingan Dengan Barcelona

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply