13 Pemain Sah Bersama Felda United Musim Depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Pasukan Felda United menjadi satu lagi pasukan yang membuat rombakan besar-besaran dengan mengumumkan hanya 10 orang pemain sahaja yang sudah pasti kekal bersama pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Seperti yang diketahui, The Fighters hanya mengekalkan seorang pemain import iaitu penyerang Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal. Tiga lagi pemain import, Thiago Junio, Masaki Watanabe dan Jocinei tidak disambung kontrak.

Selain itu, mereka turut mengekalkan beberapa pemain tempatan sedia ada iaitu Jasazrin Jamaluddin, Muhamad Daniel Amier Norhisham, Muhammad Syahmi Zamri, Muhammad Jadid Ilias dan Ahmad Haziq Ahmad Puad,

Empat pemain yang diserap dari skuad belia sebelum ini iaitu Muhammad Faiz Mazlan, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir,  Mohd Syah Fadhil Jokori dan Muhammad Azarul Nazarith Azhar turut disahkan akan terus membawa cabaran Felda United untuk musim 2020.

Bagi melengkap skuad, The Fighters telah pun mengumumkan kemasukan tiga pemain baharu ke pasukan itu. Mereka adalah bekas pemain tengah PKNS FC, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, bekas pemain PKNP FC, Muhammad Fadhil Idris dan juga bekas pemain pertahanan Negeri Sembilan, Osman Mohamad Yusoff.

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman dan pemain-pemain yang disenaraikan dilihat sudah pun mula menjalani latihan bersama ketua jurulatih, Nidzam Jamil di padang latihan kelab pada Selasa.

“Jika diikutkan selain daripada tiga pemain baharu ini ada beberapa pemain lain lagi [sudah sertai], tetapi kami akan umumkan sedikit demi sedikit pada minggu ini,” kata Afizal ketika dihubungi oleh SemuanyaBOLA.

Felda sebelum ini telah pun melepaskan 19 pemain skuad musim 2019 termasuk kapten pasukan, Hadin Azman yang telah pun menyertai pasukan Kedah.

Begitu juga dengan penjaga gol utama yang bermain penuh 90 minit dalam 22 perlawanan sepanjang musim ini, Norazlan Razali juga telah sah mengikat kontrak bersama Melaka United untuk musim depan.