12 Pemain Premier League Sedang Bersama Negara Masing-Masing Di Sukan Olimpik

Penyokong bola sepak di seluruh dunia telah disajikan dengan beberapa kejohanan antarabangsa sepanjang musim panas ini.

Bermula dengan kejohanan eropah (Euro 2020) sehingga menyaksikan Lionel Messi mencipta sejarah bersama Argentina menjulang Copa America, kita telah dihiburkan oleh aksi-aksi pemain bola sepak dunia sepajang tempoh pandemik ini.

Musim bola sepak eropah akan kembali pula selepas ini. Tetapi sebelum itu kita juga akan disajikan oleh perlawanan akhir Piala Emas Concacaf pada 1 Ogos hadapan.

Bola sepak Sukan Olimpik

Satu lagi pertandingan antarabangsa yang turut sedang berlangsung sekarang ialah acara bola sepak di Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlarutan sehingga Ogos hadapan.

Berbeza dengan tiga kejohanan yang disebut di atas, Sukan Olimpik pula dikhaskan skuad Bawah-23 tahun dari setiap negara bertanding, selain tiga lagi pemain lebih umur yang dibenarkan.

Namun seperti kita semua sedia maklum, penangguhan Sukan Olimpik edisi kali ini menyebabkan skuad B-24 dibenarkan mengambil kira persiapan yang sekian lama telah dilalui oleh pasukan-pasukan bertanding.

Bakal ganggu persiapan kelab Premier League?

Pusingan pertama perlawanan untuk acara lelaki telah pun bermula semalam, dan acara bola sepak hanya akan berakhir pada 7 Ogos di mana tarikh perlawanan akhir telah ditetapkan. Tarikh perlawanan akhir itu bakal berlangsung kurang seminggu sebelum sepak mula musim baharu Premier League 2021/22.

Situasi tersebut sedikit sebanyak pasti akan menanggu perancangan beberapa pasukan Premier League. 12 pemain dari liga tersebut bertanding bersama pasukan masing-masing di serata Jepun.

Pasukan yang memiliki pemain berpengkalan di Premier League paling ramai adalah Brazil. Salah satu dileme dihadapi Rafael Benitez selepas dilantik sebagai pengurus Everton ialah untuk melepaskan Ricaharlison menyertai skuad Olimpik Brazil selepas pemain itu turut terlibat dengan kejohanan Copa America sebelum itu.

Benitez akhirnya memberi lampu hijau dan ia perkara sukar bagi pengendali dari Sepanyol itu menyekat Richarlison kerana Sukan Olimpik adalah temasya sukan yang dipandang tinggi di Brazil.

Richarlison tidak mensia-siakan peluang diberi apabila meledak hatrik dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan, menewaskan Jerman 4-2 semalam.

Selain Richarlison, skuad Brazil turut memiliki Douglas Luiz yang beraksi bersama Asto Villa. Khidmat Luiz pasti akan dirindui Villa untuk perlawanan pembukaan Premier League nanti. Pemain Arsenal, Gabriel Maetinelli turut berada di dalam skuad Brazil yang memilih pemain veteran, Dani Alves sebagai pemain lebih umur dan kapten pasukan.

Seorang lagi pemain yang pasti dirasai oleh kelabnya kerana beraksi di Sukan Olimpik ialah penyerang Burnley dari New Zealand, Chris Wood.

Wood telah membantu New Zealand mencipta sejarah, merekodkan kemenangan pertama di Sukan Olimpik apabila jaringan tunggalnya membantu negaranya menewaskan Korea Selatan semalam.

Dua bintang Brighton, Alexis Mac Allister dan Tudor Baluta pula masing-masing mewakili Argentina dan Romania. Buat penyokong The Seagulls, mereka pasti teruja untuk menyaksikan aksi Baluta kerana satu-satunya penampilan pemain itu bersama skuad senior ialah pada 2019 yang lalu dalam pertandingan Piala Liga.

Skuad Australia turut mempunyai wakil dari Premier League melalui pemain berusia 21 tahun Crystal Palace, Jay Rich-Baghuelou, dan pemain berusia 19 tahun Southampton, Caleb Watts.

Dua pemain Manchester United pula menjadi sandaran Ivory Coast, apabila Eric Bailly dan Amad Diallo selepas diberikan lampu hijau oleh Ole Gunnar Solskjaer.

Selain Richarlison, Everton turut mempunyai seorang lagi wakil iaitu Niels Nkounkou yang bersama skaud Perancis. Pemain antarabangsa New Zealand, Winston Reid yang bersama West Ham tetapi dipinjamkan ke Brentford pada musim lalu melengkapka senarai pemain.

Penutup

Setiap jurulatih akan melihat dengan pendekatan berbeza bagi setiap pemain yang dilepaskan ke Sukan Olimpik. Bagi pemain yang tidak membarisi skuad utama ianya bukan masalah.

Dari segi kecergasan, penyertaan pemain-pemain ini di Sukan Olimpik dapat membantu mereka membina ketajaman menjelang musim baharu. Kontranya pula ialah pemain-pemain ini tidak dapat mengikuti perancangan taktikal yang dikehendaki jurulatih di peringkat kelab, selain perjalanan yang perlu dilalui boleh menyebabkan keletihan selepas pertandingan berakhir.

Tetapi untuk nama besar seperti Richarlison, jelas sekali Everton terpaksa berkorban tanpa khidmat pemain itu untuk beberapa minggu saingan Premier League.

 

Baca artikel menarik lain melalui pautan berikut:

Kisah Man Utd “Minum Tapai” Lalui Detik Sukar Lawan Sabah Perlawanan Pra Musim

Status Amatur & Tidak Pernah Ke Piala Dunia, Antara Syarat Khas Ke Olimpik

Senarai Trio Serangan Terbaik Barcelona Pernah Hasilkan Sejak Era Messi

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply