11 Pemain Yang Wajar Ada Dalam Skuad Kelayakan Piala Asia B-23

Harimau Muda Kejohanan Piala Asia B-23 2018

Kelayakan Piala Asia B-23 2022 dijangka akan berlangsung pada Oktober depan dan siapakah pemain muda negara yang mungkin menjadi tunjang skuad tersebut?

Walaupun tiada sebarang aksi disebabkan pandemik COVID-19, saingan liga yang berlangsung sejak Mac lalu telah menampilkan sejumlah pemain muda. Menurut statistik daripada OptaJ, 18.5 peratus pemain muda mendapat peluang bermain.

Ia merangkumi 58 pemain berusia bawah 23 tahun yang telah meraih minit permainan musim ini dan majoritinya daripada Terengganu FC. Jadi, siapa 11 pemain yang wajar dipertimbangkan oleh S. Balachandran untuk diberikan peluang ketika ini?

Selain itu, pertandingan ini bakal memberi peluang buat pemain muda yang menyerlah di liga untuk mempamerkan kemampuan mereka untuk dilihat oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk dipanggil ke skuad Harimau Malaya nanti.

Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, 19 tahun)

Penyerang muda yang beraksi bersama KV Kortrijk di Jupiler Pro League, Belgium ini wajar dipanggil untuk bersama rakan-rakan seusia dengannya. Mungkin agak sukar buat dirinya untuk dilepaskan sekali lagi tahun ini, tidak salah untuk kita mencuba.

Beliau telah menyertai skuad kebangsaan dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE, pada awal Jun yang lalu. Di sana, beliau telah meraih kaps pertamanya apabila membuat penampilan ketika menentang Bahrain.

Arif Aiman Hanapi (JDT, 19 tahun)

Tidak dinafikan, Arif Aiman adalah nama wajib untuk menjadi tonggak penting skuad B-23 negara kali ini. Beliau telah tampil 831 minit daripada 1170 minit sepatutnya di Liga Super bersama JDT. Beliau juga turun bermain di AFC Champions League (ACL).

Bersama skuad kebangsaan di Dubai, UAE tempohari, beliau juga berjaya mendapat kaps pertamanya ketika berdepan Vietnam. Pemain sayap JDT ini merupakan antara aset penting buat negara dan tentunya perlu disenaraikan untuk skuad ini.

Hakimi Abdullah (Terengganu FC, 21 tahun)

Impaknya dalam saingan Liga Super bersama Terengganu kian terasa. Beliau telah tampil bermain sebanyak 689 minit daripada 1170 minit sepatutnya malah telah meledak empat gol dalam 12 penampilannya di saingan tertinggi Liga Malaysia.

Mungkin inilah langkah terbaik buat dirinya sebelum menyertai skuad kebangsaan dan Cheng Hoe dapat melihat bagaimana prestasi pemain ini ketika latihan serta pusingan kelayakan Piala Asia B-23 kali ini. Ini peluang terbaik untuk buktikan dirinya.

Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC, 20 tahun)

Beliau sudah berada dalam radar Cheng Hoe untuk skuad kebangsaan sebelum ini, namun disebabkan kecederaan yang dialaminya ketika latihan bersama kelab, namanya tersisih. Jadi, tidak salah untuk bermula dengan menyertai skuad muda.

Skuad muda negara memang memiliki penjaga gol seperti Firdaus Irman, Sikh Izhan Nazrel dan Azri Ghani, namun ketinggian pemain ini lebih menarik perhatian dan juga dijangkakan bakal menjadi pilihan utama skuad negara di masa akan datang.

Nik Akif Syahiran (Terengganu FC, 22 tahun)

Beliau boleh dikatakan antara pemain yang lebih berpengalaman antara semua pemain muda yang dimiliki oleh skuad negara. Beliau pernah beraksi di kejohanan AFC B-23 edisi 2018 yang menyaksikan Malaysia mara hingga ke peringkat suku akhir.

Bersama Terengganu FC dalam saingan Liga Super musim ini, beliau telah membuat sembilan penampilan dan tentunya jentera tengah skuad muda negara masih menagih sentuhannya untuk mencorak serangan ke kubu lawan. Calon kapten skuad ini.

Azmeer Aris (Penang FC, 21 tahun)

Pemain yang bermula sebagai pemain sayap ini menjadi antara tonggak penting Penang FC dalam musim pertama mereka kembali ke saingan Liga Super. Beliau ketika ini beraksi sebagai bek kiri dan prestasinya agak memberangsangkan.

Sebagai pemain yang mampu beraksi di tiga posisi – bek sayap, pemain sayap dan penyerang, Azmeer Aris wajar diberikan peluang untuk mewakili skuad muda negara dan boleh diperhatikan sama ada layak untuk bersama skuad kebangsaan.

Quentin Cheng (Penang FC, 21 tahun)

Bek kanan yang tidak kenal erti penat. Sepanjang musim ini, bersama Penang FC, beliau merekodkan 1166 minit daripada 1170 minit sepatutnya. Hanya sekali beliau tidak beraksi sepenuh masa apabila dikeluarkan pada minit ke-86, berdepan JDT.

Pemain kacukan Malaysia-Australia ini pernah bersama skuad B-22 negara dalam kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina. Walaupun hanya digunakan sekali iaitu dalam perlawanan terakhir selepas sah tersingkir, Quentin Cheng berhasil meledak satu gol.

Aliff Haiqal Hakim Lau (Selangor FC, 20 tahun)

Pemain muda yang paling dipercayai pengendali baharu Selangor FC, Karsten Neitzel untuk membarisi kesebelasan utama. Tidak mudah baginya kerana The Red Giants memiliki barisan pemain bintang, namun ia tidak sesekali menghalangnya.

Beliau telah merekodkan 711 minit daripada 1170 minit sepatutnya dan menjadi antara pemain tempatan yang banyak meraih minit bersama Brendan Gan. Kelincahannya menggerakkan jentera tengah wajar digunakan oleh skuad muda negara.

Mukhairi Ajmal (Selangor FC, 19 tahun)

Selain Aliff Haiqal, Mukhairi Ajmal juga sudah mula menempatkan diri dalam skuad utama. Daripada 13 penampilannya bersama Selangor FC, empat kali beliau bermula dalam kesebelasan utama. Pemain sayap menyerang ini wajar diberikan ruang.

Beliau memiliki larian pantas dan mengelirukan, malah menurut bekas pengendalinya di PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, Mukhairi Ajmal adalah pemain muda yang hampir sempurna dengan tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi, boleh mencorakkan perlawanan dan berfikir dalam tempoh yang singkat ketika membuat hantaran.

Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC, 21 tahun)

Mula diberikan kepercayaan membarisi kesebelasan utama apabila pemain import, Tim Heubach mengalami kecederaan, kapten Selangor 2 ini sudah meraih enam penampilan dan turut mula dikenali para penyokong dengan gaya rambut afro.

Bermain di posisi bek tengah, pengalamannya bersaing dengan penyerang-penyerang import di Liga Super wajar diberikan perhatian dan diberikan ruang untuk bersama skuad Harimau Muda dalam kejohanan sebegini untuk pengalamannya.

Akhyar Rashid (JDT, 22 tahun)

Selain Nik Akif Syahiran, Akhyar Rashid juga merupakan seorang lagi pemain daripada skuad edisi 2018 yang layak untuk beraksi kali ini. Pengalamannya bersama skuad muda dan juga senior negara wajar dimanfaatkan dalam saingan kali ini.

Prestasinya bersama skuad kebangsaan dalam kelayakan Piala Dunia tempohari juga tampak baik walaupun beliau jarang mendapat tempat dalam saingan Liga Super bersama JDT. Beliau masih layak untuk bersama skuad ini buat kali terakhir.

Baca lagi artikel lain mengenai skuad negara dan perkembangan bola sepak dunia:

‘Misi Bersama’ Harimau Malaya & Harimau Muda Untuk 2021-2022

XI Harimau Malaya: Adakah Harimau Selatan Telah Jadi Harimau Malaya?

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN