10 Saat Musnahkan Impian Skuad Futsal Negara Untuk Raih Kemenangan Kedua

Malaysia

Skuad negara hanya dipisahkan sepuluh saat sahaja dengan kemenangan kedua selepas terikat 4-4 pada aksi kedua The Belt and Road Cup CFA International Futsal Tournament 2019 bertemu China di Chengdu City, sebentar tadi.

Skuad negara yang masih segar dengan kemenangan besar bertemu Mexico semalam terlepas peluang terbaik untuk memperoleh jaringan pendahuluan selepas rembatan Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin pada minit kelapan sekadar singgah di tiang gol.

Ketika pemain negara terus menggandakan asakan, kapten China, Zhang Yameng mengejutkan skuad bimbingan Chiew Chun Yong pada minit ke-11 hasil serangan balas pantas yang berjaya membolosi penjaga gol, Azrul Hadee Mohd Taufiq.

Berselang tiga minit kemudian, penyokong China terus melonjak kegembiraan apabila Shen Siming menjadikan kedudukan 2-0 selepas beliau tidak melepaskan peluang menyempurnakan sepakan percuma.

Ketinggalan dua gol jelas tidak langsung melunturkan semangat juang Khairul Effendy dan rakan sepasukan untuk kembali bangkit meraih kemenangan yang diharapkan.

Ia terbukti apabila Saiful Nizam Mohd Ali hanya memerlukan seminit untuk merapatkan jurang gol menerusi sepakan percuma yang gagal dihalang penjaga gol China, Du Liang.

Kedudukan kembali terikat pada minit ke-17 setelah Yameng tertampan bola ke gawang sendiri berpunca daripada sepakan sudut yang diambil Mohd Azwann Ismail.

Babak kedua memperlihatkan China yang dibimbing pengendali daripada Itali, Sergio Gargelli cuba memberikan tekanan yang lebih kuat buat skuad negara. Ketangkasan Azrul Hadee bagaimanapun sedikit membantutkan usaha mereka.

Kealpaan skuad China dihukum Mohd Awalluddin Mat Nawi yang dengan tenang menguis masuk bola berikutan hantaran jauh dilakukan Azri Rahman di minit ke-31 untuk Malaysia mendahului buat pertama kali.

Tersentak mahu mendapatkan jaringan, Gargelli menggunakan taktikal ‘power play’ untuk menambah tekanan ke kubu skuad negara. Pada mulanya langkah tersebut memakan diri apabila Mohd Ridzwan Bakri berjaya mengambil kesempatan bagi menghasilkan gol keempat.

Namun, selepas itu segalanya menjadi seperti yang diharapkan kem China apabila Pai Hai Er menjaringkan gol ketiga yang nyata menjadi tonik berguna buat tuan rumah.

Ketika perlawanan hanya tinggal 10 saat untuk ditamatkan, Xu Yang memusnahkan harapan skuad negara untuk meraih kemenangan kedua selepas tolakannya dari sebelah kanan pintu gol negara berjaya menghadiahkan gol keempat buat China.

Myanmar merupakan lawan terakhir yang bakal ditemui skuad negara pada Selasa ini dan perlawanan dijadualkan berlangsung jam 11.30 pagi.

Kredit foto: zb.mianfeizuqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram