10 Penyerang Tempatan Paling Ikonik Sepanjang Zaman Di Liga Malaysia

Dengan atau tanpa pemain import yang sering mendominasi posisi penyerang dalam kalangan pasukan di Liga Malaysia, kita pernah menyaksikan beberapa nama penyerang tempatan yang menjadi idola dan sebutan sehingga ke hari ini.

Walaupun dengan kelibat pemain import, mereka tetap menyinar dan diangkat sebagai wira oleh penyokong masing-masing. Artikel kali ini menyingkap kembali nama-nama penyerang tempatan yang pernah kita sanjung.

Berikut adalah 10 penyerang tempatan paling ikonik pilihan Semuanya BOLA sejak era Semi Pro.

1. Azman Adnan

Pemain yang merupakan anak kepada bekas anggota tentera ini pernah disamakan dengan bekas legenda negara, Allahyarham Mokhtar Dahari kerana ketangkasan di hadapan gawang.

Bakat Azman Adnan dibangunkan oleh ayahnya sendiri, Allahyarham Adnan Ahmad sejak usia yang muda.

Kehebatan Azman bersama sebuah kelab bola sepak yang ditubuhkan oleh ayahanda beliau sendiri, Kotai FC membuka laluan untuk Azman beraksi bersama Kuala Lumpur sejak usia remaja.

Azman juga merupakan pemain tempatan pertama negara yang dilabel bernilai RM1 juta. Nilai tersebut diletakkan oleh Kuala Lumpur setelah Selangor berminat untuk mendapatkan khidmat Azman pada musim 1993.

Setelah tampil sebanyak 225 kali dan menjaringkan 129 gol bersama Kuala Lumpur, Azman meneruskan kecemerlangan di hadapan gol bersama Selangor dengan 147 gol melalui 279 penampilan di antara 1992-1998.

Selain daripada turut beraksi dengan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Azman turut pernah tampil sebanyak 79 kali untuk skuad negara dan menjaringkan 49 gol di pentas antarabangsa di pelbagai kejohanan dan pertandingan.

Sumber: Zairudin Hj Hashim

2. Matlan Marjan

Jika hari ini kami mengatakan Malaysia berjaya membolosi gawang England bimbingan Gareth Southgate sebanyak 2 kali, anda mungkin tersengih. Bukan niat memperlekehkan kebolehan skuad kebangsaan, namun itu hakikat yang harus kita terima.

Namun bagi pemain Kota Belud, Sabah ini, ia bukan perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Dalam satu perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Merdeka pada 1991, Matlan Marjan berjaya membolosi gawang England sebanyak 2 kali walaupun skuad negara tewas 4-2 dalam perlawanan tersebut.

Karier Matlan bermula bersama skuad Piala Presiden skuad negeri di Bawah Bayu.

Setelah beberapa musim, beliau mulai diserapkan ke skuad utama pasukan Sabah FA, dan membentuk gandingan yang mantap bersama penyerang import daripada Australia, Scott Ollerenshaw.

Di sebalik kehebatan aksi di atas padang, karier Matlan turut dipalit dengan episod hitam, apabila turut didakwa terbabit dengan skandal rasuah yang melanda bola sepak negara pada pertengahan 90an.

Setelah dibebaskan dari hukuman oleh FAM pada tahun lepas, jiwa Matlan masih jelas dengan bola sepak, dan kini giat membantu membangunkan bola sepak di Sabah di peringkat belia.

3. Hashim Mustapha

Karier Hashim Mustapha bersama Kelantan bermula sejak beliau berada di bangku persekolahan apabila dipanggil untuk mewakili negeri dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja pada 1982.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Hashim mula menyertai skuad utama Kelantan secara rasmi pada 1984. Beliau terus menjadi pemain utama yang bermain setiap minggu untuk Kelantan pada 1985 di bawah kendalian M. Chandran.

Pada 1990, Hashim Mustapha memenangi gelaran kasut emas Divisyen 2 setelah meledak 15 gol sepanjang musim untuk pasukan dari pantai timur tersebut.

Pada musim 1993, Hashim sekali lagi muncul penjaring terbanyak Liga Malaysia, selepas jaringan hatrik pada perlawanan terakhir liga menentang Negeri Sembilan untuk mengatasi Jose Iriarte yang mendahului senarai penjaring dengan kelebihan 2 gol sebelum itu.

Beliau turut mengulangi pencapaian gelaran kasut emas pada 1994, apabila berjaya menghasilkan 25 gol sepanjang musim tersebut.

Hashim Mustapha membuat keputusan mengejut apabila berhijrah ke Kedah pada 1996. Beliau mengecapi kejayaan Piala FA bersama pasukan Kedah, menewaskan Sarawak 1-0 di perlawanan akhir.

Setelah bersara sebagai pemain, Hashim Mustapha turut giat sebagai jurulatih, dan pernah mengendalikan skuad Piala Presiden dan bertindak sebagai penolong jurulatih skuad Liga Malaysia Kelantan.

Kredit: Pemilik gambar

4. Azizul Kamaluddin

Bagi penyokong Pahang, Azizul kamaluddin diibaratkan seperti legenda bola sepak Itali, Roberto Baggio. Ini adalah kerana penampilan pemain ini yang sinonim dengan gaya rambut seolah-olah bekas pemain Juventus dan AC Milan tersebut.

Di era 90an, Azizul Kamaluddin merupakan antara penyerang prolifik yang pernah dilahirkan oleh negara.

Pada musim 2000, Azizul mengejutkan penyokong Pahang apabila menyatakan niat untuk menyertai Perak. Namun beliau terpaksa akur selepas tidak mendapat pelepasan pengurusan skuad Tok Gajah dan akhirnya memilih untuk kekal bersama Pahang.

Keputusan untuk kekal bersama Pahang jelas tidak sia-sia. Pada tahun 2000 beliau pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak saingan Liga Malaysia, walaupun gagal membantu Pahang untuk mempertahankan gelaran liga yang diraih pada musim sebelumnya.

Sumber: Lagenda Bola Sepak, facebook.

5. Hairuddin Omar

18 tahun bergelar pemain profesional, Hairuddin Omar adalah salah seorang pemain yang mempunyai koleksi kejuaraan lengkap di peringkat saingan domestik di negara ini.

Empat kejuaraan Piala Malaysia, satu kejuaraan Piala FA, dan dua kejuaraan liga (salah satu kejuaraan Liga Perdana), adalah sebahagian daripada koleksi yang menghiasi kabinet kejuaraan milik Hairuddin Omar.

Tampil di dalam 367 perlawanan di peringkat domestik, dan menjaringkan sejumlah 113 gol untuk pasukan yang diwakili beliau, Hairuddin pernah mewakili Terengganu, Pahang, T-Team, Negeri Sembilan, Kelantan dan juga ATM.

Di peringkat antarabangsa, Hairuddin pernah membantu skuad negara untuk muncul sebagai pemenang pingat perak di temasya Sukan SEA 2001, selain berjaya menghasilkan 35 gol untuk skuad kebangsaan melalui 113 penampilan.

Selain daripada pernah dilantik sebagai Presiden PFA Malaysia, Hairuddin Omar turut dikenali sebagai salah seorang usahawan yang berjaya pada hari ini dengan pelbagai produk berasaskan resipi masakan di bawah syarikat milik beliau, Adeqsue Resources.

(Photo by Ben Radford/Getty Images)

6. Bobby Pian

Ketika kami melihat ke Sarawak, ada dua nama yang boleh dipertimbangkan untuk berada di dalam senarai ini. Shamsurin Abdul Rahman adalah penyerang kelahiran Melaka yang berjaya mencipta nama bersama Sarawak.

Tanpa menafikan sumbangan Shamsurin, akhirnya kami memilih Bobby Pian, kerana faktor lokaliti dan juga kerana artikel ini memuatkan senarai penyerang ikonik yang terus menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air.

Bakat Bobby Pian mulai dikesan oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) ketika mewakili Miri dalam kejohanan Piala Sarawak. Beliau akhirnya dipanggil oleh Alan Vest untuk menyertai skuad utama Sarawak pada tahun 1994.

Perkembangan karier Bobby bersama Sarawak agak unik. Ini adalah kerana beliau adalah seorang pemain tengah pertahanan pada asalnya. Namun kerana saiz badan yang kecil dan kelincahan yang dimiliki beliau, Bobby akhirnya dijadikan seorang penyerang oleh Alan Vest.

Sepanjang karier bersama Sarawak, Bobby pernah membantu skuad Bujang Senang bergelar juara Liga Perdana Malaysia pada 1997, dan juga juara Piala Sumbangsih pada 1998.

Pernah diberikan tugas memakai lilitan kapten pasukan negara, Bobby turut pernah mewakili Malaysia di saingan Piala Tiger (kini Piala AFF Suzuki), Pestabola Merdeka, dan juga pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.

Kredit: Sarawak Football, facebook

7. Khalid Jamlus

Khalid Jamlus adalah seorang penyerang baka ‘target man’ yang jarang dilihat di negara kita. Karier Khalid mulai menyinar ketika beliau dipanggil untuk menganggotai skuad kelayakan Olimpik 2000.

Kelebihan utama beliau ialah memiliki kekuatan di udara dan naluri pembunuh yang sangat kuat tanpa perlu berfikir panjang untuk menghukum pertahanan lawan.

Kelibat Khalid pada satu masa dahulu pernah menjadikan beliau antara penyerang harapan muda negara, dan hampir ditawarkan kontrak untuk menyertai Eintracht Frankfurt di Jerman.

Namun atas sebab yang tidak diketahui, impian tersebut telah terkubur, namun ia tidak membataskan keupayaan beliau bersama Perak di saingan Liga Malaysia.

Anda boleh membaca kisah Khalid di sini: Khalid Jamlus: Impian Besar Tak Terlaksana, Tetap Menggegar Kuat Di Bumi Sendiri

Selain daripada pasukan Perak, Khalid turut pernah menyumbang khidmat bakti bersama beberapa pasukan lain di kancah domestik seperti Selangor, Kelantan, ATM dan juga PDRM sebelum bersara sepenuhnya daripada bola sepak profesional.

Walaupun sinonim dengan pasukan Perak, kejayaan terbesar peribadi bagi pemain kelahiran Kuala Lumpur ini ialah ketika membantu Selangor menyapu bersih setiap kejuaraan di dalam negara, membentuk gandingan yang digeruni bersama Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, dan juga Brian Fuentes.

8. Rusdi Suparman

Satu masa dahulu, Selangor memiliki seorang penyerang yang sinonim dengan jolokan nama ‘Superman’. Watak adiwira terkenal itu sinonim dengan Rusdi Suparman, bukan hanya kerana nama ayahnya.

Malah gelaran tersebut mulai melekat kepada Rusdi kerana kerap menyelak jersi untuk mempamerkan singlet yang terpampang simbol ‘S’ adiwira tersebut ketika meraikan gol jaringannya.

Ketika pembabitan awalnya bersama Selangor, Rusdi turut dikenali sebagai seorang ‘super-sub’ kerana kebolehan menjaringkan gol setelah tampil dari bangku pemain simpanan.

Setelah Azman Adnan berhijrah ke Pulau Pinang, ini memberi ruang untuk Rusdi tampil lebih kerap bersama Selangor untuk membentuk gandingan yang mantap bersama-sama Nizaruddin Yusof dan juga Yusri Che Lah.

Disanjung ketika beliau bersama Selangor kerana kesetiaannya, Rusdi tetap bersama Selangor walaupun terjerumus ke Divisyen Dua (Liga Perdana) pada musim 1999.

Namun Rusdi membantu Selangor bangkit kembali dan beliau sendiri muncul sebagai pemenang kasut emas selepas menjaringkan 15 gol pada musim tersebut.

Setelah 10 tahun bersama Selangor, akhirnya Rusdi menyertai PKNS FC pada 2003 dan Telekom Melaka pada 2004 sebelum beliau bersara sepenuhnya daripada bola sepak profesional.

9. Nizaruddin Yusof 

Nizaruddin Yusof adalah pemain kelahiran Kuala Lumpur, dan merupakan antara pemain yang mewakili lebih daripada 10 pasukan bola sepak merentasi setiap divisyen di Liga Malaysia.

Selain daripada Kuala Lumpur dan Selangor, Nizaruddin turut pernah beraksi bersama-sama MPPJ FC, Public Bank FC, Negeri Sembilan, UPB My-Team FC, Perlis, PDRM FA, Plus FC, Felda United, PKNS FC, ATM dan juga M.O.F FC.

Namun demikian kemuncak karier Nizaruddin ialah ketika beliau mewakili Selangor dan juga MPPJ FC di antara tahun 2000 sehingga 2004.

Bersama MPPJ FC, Nizaruddin membantu kelab yang berpengkalan di Petaling Jaya tersebut muncul juara Liga Perdana Malaysia pada 2004.

Selain daripada itu, Nizaruddin turut pernah tampil sebagai pemenang kasut emas di saingan Liga Super Malaysia pada 2009, sekaligus membantu Perlis muncul sebagai naib juara pada musim tersebut di belakang Selangor.

Turut pernah menyarung jersi skiad kebangsaan di antara 1998 sehingga 2008, Nizaruddin pernah tampil sebanyak 53 kali dan menjaringkan 10 gol di pentas antarabangsa.

DIGITAL IMAGE.Mandatory Credit: Stanley Chou/ALLSPORT

10. Safee Sali

Pada ketika bola sepak Malaysia seperti seolah-olah tiada pengharapan, nama Safee Sali mulai meniti di bibir peminat bola sepak tanah air di setiap peringkat usia.

Kejayaan merangkul Piala AFF Suzuki pada 2010; juga merupakan kejuaraan tunggal negara di peringkat serantau tersebut setakat ini, pantas menjadikan Safee Sali sebagai wira negara.

Apa tidaknya. Selain daripada muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan, Safee juga adalah wira negara dalam perlawanan peringkat akhir menentang Indonesia dalam perlawanan akhir yang diadakan secara timbal balik di kejohanan tersebut.

Setelah cemerlang bersama Selangor dan juga Sarawak pada musim sebelumnya, Safee pantas disambar oleh Pelita Jaya di Indonsesia, selesai kejohanan Piala AFF Suzuki.

Cemerlang di Indonesia, Safee kemudiannya kembali ke tanah air untuk menyertai JDT. Musim lalu, pemain berusia 33 tahun ini berhijrah ke PKNS FC.

Namun demikian, kecederaan patah tulang selengka kirinya ketika aksi Liga Super berdepan Melaka di Stadium Shah Alam, Julai lalu telah merencatkan perkembangan beliau.

Dalam temuramah bersama Four-Four Two pada tahun lalu, Safee menyatakan tekadnya untuk mengembalikan aksi cemerlang, dan masih berazam untuk mewakili negara jika diberi peluang.

(Photo credit should read KAMARUL AKHIR/AFP/GettyImages)

Rumusan

Siapakah pemain penyerang kegemaran anda di kalangan pemain tempatan? Anda mempunyai senarai yang lain?

Kongsikan kepada kami di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram