10 Pembelian Berbaloi Jose Mourinho Ketika Membimbing Chelsea

Jose Mourinho

Pengurus yang digelar ‘The Special One’, Jose Mourinho, pada 16 tahun lalu telah mengubah angin kariernya dari Portugal ke England apabila memeterai kontrak selama tiga musim untuk membimbing Chelsea.

Kecemerlangannya dalam membimbing FC Porto menjuarai Piala Europa 2002/03 dan Liga Juara-Juara Eropah 2003/04 telah menarik minat Roman Abramovich untuk meneruskan kesinambungan kejayaan beliau bersama The Blues pula.

Keputusan pemilik dari Rusia itu nyata membuahkan hasil apabila Mourinho berjaya mengemudi Chelsea untuk menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris 2004/05 yang merupakan musim pertamanya di London.

Selepas itu beberapa gelaran lagi berjaya dimenangi ketika bersama Chelsea dan sekembalinya semula selepas beberapa musim berkelana di Itali dan Sepanyol, beliau masih mampu menghadiahkan kejuaraan EPL pada musim 2014/15.

Namun, lebih menjadi tumpuan penulis pada artikel kali ini adalah berkenaan pemain-pemain yang boleh dilabel sebagai pembelian berbaloi pernah dilakukan oleh pengendali kelahiran Setubal itu sepanjang beliau bersama Chelsea.

Antara 10 pemain yang dilihat sebagai pembelian berbaloi buat Mourinho ialah:

Nemanja Matic

Embed from Getty Images

Pemain tengah bertahan tinggi lampai ini pada mulanya dibawa masuk pada musim 2009/10 tetapi beliau sukar untuk memberikan saingan sehingga dipinjamkan ke ‘adik angkat’ Chelsea iaitu Vitesse Arnhem pada tahun berikutnya dan akhirnya dijual ke Benfica.

Selepas tiga musim yang dilihat cukup baik buatnya di Benfica, Mourinho bertanggungjawab membawa semula Matic ke Chelsea pada jendela perpindahan musim sejuk [2013/14].

Fasa keduanya bersama Chelsea itu lebih memberangsangkan apabila Matic berjaya menjadi antara sandaran utama buat Mourinho di jentera tengah sehingga berjaya membantu kelab tersebut menjuarai kempen EPL dan Piala Liga 2014/15.

Selepas Mourinho dipecat pada Disember 2015, Matic terus memainkan peranan penting buat Chelsea dan akhirnya kedua-dua mereka bersatu semula di Manchester United.

Florent Malouda

Embed from Getty Images

Bekas pemain skuad kebangsaan Perancis ini pula direkrut oleh Mourinho pada 8 Julai 2007. Bagaimanapun ‘jodohnya’ bersama Malouda hanya bertahan lebih kurang dua bulan selepas Mourinho terpaksa meninggalkan Chelsea pada bulan September.

Namun, keadaan itu tidak langsung menganggu tumpuan Malouda untuk membuat 228 penampilan bersama pasukan dengan 45 gol berjaya dihasilkan.

Beliau turut beraksi dengan baik dalam membantu Chelsea menjuarai EPL 2009/10, Piala FA sebanyak tiga kali serta Liga Juara-Juara Eropah 2011/12.

Diego Costa

Embed from Getty Images

‘Budak nakal’ kelahiran Brazil ini memainkan peranan yang cukup besar dalam membantu Chelsea menjuarai kempen EPL 2014/15 dan 2016/17.

Costa turut berjaya meledakkan 20 jaringan pada musim sulungnya [2014/15] bersama Chelsea dan individu yang bertanggungjawab membawanya berhijrah dari Madrid ke kota London adalah Jose Mourinho.

Jon Obi Mikel

Embed from Getty Images

Meskipun beliau bukanlah seorang pemain tengah yang mampu meledakkan jaringan tetapi sumbangannya di jentera tengah memang tidak boleh dinafikan.

Mourinho telah ‘memenangi pertarungan’ bagi merebut Mikel yang sebelum itu dikatakan sudah hampir untuk menyertai Manchester United pada musim 2006/07.

Bersama Chelsea, Obi Mikel telah berjaya memenangi dua kejuaraan EPL, tiga trofi Piala FA dan masing-masing satu mahkota Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa.

Cesc Fabregas

Embed from Getty Images

Mourinho berjaya mendapatkan khidmat Cesc Fabregas pada musim keduanya selepas kembali membimbing Chelsea. Pemain yang sinonim dengan jersi nombor empat itu dibawa masuk dengan yuran perpindahan bernilai €33 juta.

Fabregas yang sememangnya begitu ‘proven’ dalam saingan EPL dilihat berjaya membentuk satu hubungan cukup baik dengan Diego Costa apabila hantaran berkualiti dimilikinya sangat membantu dalam usaha penyerang tersebut untuk menjaringkan gol.

Meskipun Mourinho sudah tidak lagi bersama pasukan, Fabregas terus memperagakan aksi kemas dalam membantu Chelsea menjulang EPL 2016/17 dan Piala FA 2017/18.

Paulo Ferreira

Embed from Getty Images

Ferreira merupakan pemain yang telah bersama Mourinho sejak di FC Porto lagi. Bekas pertahanan kiri yang kini berusia 41 tahun itu telah menikmati 214 penampilan sepanjang sembilan musim bersama Chelsea.

Beliau tidak sempat untuk sekali lagi berada di bawah kendalian Mourinho selepas mengumumkan persaraan selepas tamat musim 2012/13.

Micheal Essien

Embed from Getty Images

Sama seperti Matic dan Obi Mikel, sumbangan hebat dipamerkan Essien di jentera tengah sememangnya berada di kelas yang tersendiri. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pemain ini adalah antara yang terbaik di dunia.

Pada 14 Ogos 2005, Mourinho telah menamatkan penantian panjang bagi mendapatkan Essien selepas melengkapkan perpindahan pemain kelahiran Ghana itu yang bernilai  £24.4 juta dari Lyon.

Ricardo Carvalho

Embed from Getty Images

Bekas pertahanan kental ini juga sama seperti Ferreira apabila menyertai Chelsea bersama-sama Jose Mourinho pada musim 2004/05.

Gandingan mantapnya bersama legenda kelab, John Terry di jentera pertahanan tidak perlu lagi untuk diperkatakan kerana sudah pasti semua sudah sedia maklum kehebatan kedua-dua mereka.

Beliau beraksi bersama Chelsea selama enam musim sebelum memilih berkelana ke Real Madrid untuk sekali lagi bekerja di bawah Mourinho.

Ashley Cole

Embed from Getty Images

Chelsea nyata cukup bertuah kerana berjaya mendapatkan khidmat Ashley Cole pada musim 2006/07. Yang pertamanya adalah beliau pada ketika itu adalah merupakan antara pertahanan kiri terbaik dalam saingan EPL.

Selain itu, Mourinho berjaya membawa masuk pemain dari musuh tradisi mereka iaitu Arsenal, keadaan yang mana sedikit sebanyak berjaya melemahkan skuad yang ketika itu dibimbing Arsene Wenger.

Beliau berjaya memenangi saingan EPL 2009/10, empat kejuaraan Piala FA serta Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa.

Didier Drogba

Embed from Getty Images

Diangkat sebagai legenda Chelsea sememangnya menjadi indikasi jelas kehebatan penyerang berbisa yang dibawa masuk ke Chelsea pada musim pertama Mourinho di London.

Beliau berjaya menjaringkan 100 gol sepanjang lapan musim pertama beliau beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Selain itu, jaringan-jaringan pentingnya terutama ketika menyamakan kedudukan pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah 2011/12 akan sentiasa segar di ingatan para peminat setia Chelsea.

Selepas meninggalkan London, Drogba kembali semula pada musim 2014/15 untuk sekali lagi bersama Jose Mourinho.

Kredit featured image: Darren Walsh/Chelsea FC Via Getty Images

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply