10 Krisis Yang Dihadapi Zinedine Zidane Sejak Kembali Sertai Real Madrid

Kerjasama Semuanya BOLA

Zinedine Zidane

Diikat Osasuna 0-0 pada hujung minggu yang lalu bukan keputusan yang diinginkan Zinedine Zidane. Walaupun Real Madrid kini berada di kedudukan kedua La Liga, keputusan tersebut menyababkan skuad kendalian Zidane ketinggalan  satu mata di belakang pendahulu Atletico Madrid yang masih mempunyai kelebihan tiga perlawanan.

Pada masa yang sama, Barcelona turut mencatat kemenangan bergaya untuk mengejar Real Madrid, dan kini hanya ketinggalan satu mata di belakang untuk berada di kedudukan ketiga.

Hakikatnya semua perkara yang berlaku tdak pernah memihak kepada Zidane sejak beliau kembali menerajui gergasi Sepanyol itu, menggantikan Santiago Solari pada Mac 2019. Berikut adalah antara halangan atau krisis yang telah dihadapi oleh Zidane sejak kembali ke Santiago Bernabeu.

1. Skuad yang retak

Ketika mengambil alih semula Real Madrid, Zidane berhadapan dengan skuad yang retak. Perkara pertama yang perlu beliau lakukan ialah untuk membina kembali pasukan.

Bulan pertama di Santiago Bernabeu amat sukar, dan ini termasuklah disebabkan beberapa keputusan perlawanan yang tidak memihak kepada Real Madrid.

Beliau bagaimanapun berjaya meyakinkan pemain di dalam pasukan untuk bangkit sebelum menamatkan musim di kedudukan ketiga di belakang juara Barcelona, dan Atletico Madrid.

2. Pra musim 2019/20

Tidak ada satu pun perkara yang berlaku adalah mengikut perancangan Zidane di pra musim. Keputusan perlawanan tidak memihak kepada mereka, dan corak permainan Real Madrid juga dikritik.

Ia diikuti oleh saga perpindahan Gareth Bale, dan Zidane jelas mahu pemain dari Wales itu dikeluarkan dari kelab.

Keadaan semakin pilu apabila Los Blancos dibelasah 7-3 oleh Atletico Madrid, dan Marco Asensio yang cemerlang pada penghujung musim sebelumnya mengalami kecederaan lutut yang serius.

“Kami akan melalui musim ini dengan baik,” ujar Zidane dengan yakin di sebalik semua yang berlaku.

Tiada siapa percayakan beliau. Tetapi pada hari pertama perlawanan La Liga, Real Madrid menewaskan Celta Vigo.

3. Malam di Istanbul

Zidane seperti melalui satu lagi masalah apabila pasukannya tewas kepada Real Mallorca dalam saingan liga. Kedudukan di pertandingan UEFA Champions League pula menyaksikan Real Madrid hanya mengutip satu mata dari enam perlawanan.

Semuanya seperti “telur di hujung tanduk” bagi Zidane dalam perlawanan seterusnya menentang Galatasaray – perlawanan ketiga peringkat kumpulan pada 22 Oktober.

Real Madrid bagaimanapun berjaya menewaskan lawan mereka itu 1-0 dan kedudukan Zidane menjadi selamat.

4. Prestasi Hazard

Zidane tidak pernah lekang dari memberikan sokongan kepada Eden Hazard. Namun demikian, belum satu pun dari usaha Zidane mampu mengembalikan prestasi pemain antarabangsa Belgium itu sejak penghijrahan dari Stamford Bridge.

Kini tiba masanya pemain perancang berusia 30 tahun itu mengembalikan kepercayaan Zidane. Telah pulih sepenuhnya dari kecederaan lalu, tempoh beberapa bulan pertama musim 2021 ini dianggap tempoh penting buat Hazard.

5. Februari yang malang

Walaupun Los Blancos menjuarai Supercopa de Espana pada awal tahun lalu, angin kemenangan itu bagaimanapun berubah menjelang Februari.

Real Madrid disingkirkan dari Copa del Rey oleh Real Sociedad, dan kemudian ditewaskan di tempat sendiri oleh Manchester City di pertandingan Champions League.

Prestasi di saingan La Liga juga tidak menentu. Tewas kepada Levante dan Real Betis membuatkan masa depan Zidane kembali menjadi tanda tanya. Zidane pasti tidak mahu perkara sama berulang.

6. Kejuaraan selepas lockdown

Bola sepak kembali Jun lalu selepas penularan wabak yang menyebabkan bola sepak di seluruh dunia dihentikan. Dan Real Madrid mengganas selepas kembali dari tempoh rehat yang lama untuk merampas kejuaraan La Liga dari Barcelona.

Namun demikian, kejuaraan tersebut tidak lari dari kontroversi VAR, dan kontroversi berkaitan masa dengan Bale dan James Rodriguez.

7. Permulaan musim 2020/21 yang meragukan

Tahap keyakinan yang kurang terhadap kemampuan Zidane seperti pada awal musim lalu, kini berulang pada musim permulaan musim ini.

Selepas merekodka keputusan seri 0-0 menentang Real Sociedad – menampilkan pilihan pemain oleh Zidane yang menjadi perdebatan – ramai mulai mempersoalkan Zidane dan mahu beliau digantikan.

8. Hidup atau mati di Nou Camp

Selepas kekahalah mengejutkan kepada Cadiz di La Liga, dan kemudiannya Shaktar Donetsk di Champions League, kekalahan kali ketiga pasti akan mengundang musibah. Apatah lawan seterusnya adalah Barcelona.

Sekali lagi pemain-pemain Real Madrid menyelamatkan Zidane dengan kemenangan 3-1, lantas membuatkan khabar angin Zidane akan digantikan oleh Mauricio Pochettino luput begitu sahaja.

9. Malam di Kiev

Tekanan kembali kepada Zidane selepas kekalahan di Ukraine. Tiga perlawanan seterusnya juga perit dengan Sevilla, Atletico dan Borussia Monchengladbach menanti.

Namun demikian Zidane memastikan Los Blancos menang semua tiga perlawanan tersebut, untuk pasukan kendaliannya melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik Champions League sekali lagi.

10. Pembaharuan kontrak

Walaupun menampilkan aksi agak meyakinkan sejak beberapa bulan lalu, Zidane menyedari pembaharuan kontrak beberapa pemain utama mampu menganggu momentum yang telah dibina pasukan.

Zidane telah menjelaskan mengenai hal tersebut sebelum perlawanan menentang Celta Vigo.

Dengan kontrak Sergio Ramos – antara pemain paling berpengaruh Los Blancos – kini mulai menjadi topik paling hangat diperkatakan, ia terpulang kepada Zidane untuk mengawal bilik persalinan dan memastikan fokus kepada prestasi di atas padang.

Penutup

Apa pendapat anda? Adakah Zidane sebenarnya berjaya memastikan Real Madrid kekal kompetitif di sebalik segala tekanan yang dihadapi oleh kelab tersebut?

Mampukah Zidane membina sebuah pasukan Real Madrid baharu yang boleh mendominasi bola sepak Sepanyol dan Eropah pada masa hadapan? Berdasarkan 10 perkara di atas, Zidane setakat ini bolehlah disifatkan telah melakukan tugasnya dengan baik.

Namun cabaran mengendalikan kelab seperti Real Madrid pasti akan menjadi semakin sukar dari hari ke hari.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply