10 Jersi Bola Sepak Paling Laris Di Dunia Sepanjang 2015

Memilih nama pemain untuk diabadikan di jersi yang anda beli bukanlah kerja main-main. Nama yang anda pilih mewakili diri anda.

Ada yang memilih nama penjaring gol. Ada memilih pemain yang bernombor 7, 9 atau 10. Ada yang memilih nama kapten.

Tetapi nama pemain mana yang menjadi pilihan majoriti peminat bola sepak pada tahun 2015? Kami menganalisa statistik jumlah jualan jersi pemain dan mengumpul 10 jersi pemain yang paling laris pada tahun ini.

10. Shinji Kagawa

jersi-kagawa

Ketika Manchester United membayar £12 juta untuk mendapatkan servis Shinji Kagawa, ramai yang melihat pembelian ini bersifat serampang dua mata.

Kagawa bukan sahaja seorang perancang yang berkualiti. Faktor beliau berasal dari Asia sahaja boleh menaikkan nilai komersial United di Asia.

Pengurus Komersial Manchester United, Richard Arnold, memberitahu kelab mereka mempunyai 659 juta penyokong di seluruh dunia. Majoritinya menetap di benua Asia.

United menegaskan Kagawa bukan dibawa ke United untuk melariskan jualan jersi semata-mata.

Tetapi hakikatnya pada musim 2013/2014, jualan jersi Kagawa adalah ke-4 paling tertinggi di UK selepas jersi Robin van Persie, Steven Gerrard dan Wayne Rooney.

Apabila Kagawa pulang ke Borussia Dortmund selepas 2 musim mengecewakan di Manchester United, Dortmund melaporkan jersi Kagawa terjual sebanyak 5,000 helai setiap hari.

Dortmund membayar £9.6 juta untuk membawa pulang Kagawa ke pangkuan mereka. Dengan jualan 5,000 jersi Kagawa setiap hari, Dortmund hanya memerlukan 19 hari untuk balik modal.

9. Fernando Torres

jersi-torres

Meskipun dianggap sebagai flop di Chelsea, jumlah jualan jersi Fernando Torres pada musim 2013/2014 lebih banyak daripada jersi Sergio Aguero.

Pada musim yang sama, Sergio Aguero menjaringkan 17 gol. Sedangkan Torres hanya menjaringkan 5 gol.

Pada penghujung tahun 2014, Torres kemudiannya pulang ke Atletico Madrid selepas gagal menyerlah di Chelsea dan AC Milan (pinjaman).

Pada hari Torres diperkenalkan semula di Vicente Calderon sahaja, lebih 2,000 jersi Torres berjaya dijual.

Akhbar Marca melaporkan sejak kepulangan Torres ke Madrid, jualan jersi beliau mencatatkan rekod jualan 222 jersi setiap jam!

8. Sergio Aguero

Sebelum musim 2015/2016, Sergio Aguero mungkin hanya mengharapkan persembahannya di padang untuk melariskan jualan jersi bernombor 16 beliau.

Menurut statistik pemborong kelengkapan sukan UK, Sports Direct, jersi Sergio Aguero hanya menduduki tangga ke-9 jersi paling laris di UK pada musim 2014/2015. Di hadapan jersi Robin van Persie yang menduduki tangga ke-10.

Tetapi sejak memakai no.10, jualan jersi Aguero semakin meningkat. Sejak mengambil alih nombor jersi tersebut daripada Edin Dzeko, jersi Aguero merupakan jersi yang paling banyak ditempah oleh pembeli online.

7. Neymar

Ketika Barcelona membayar £60 juta untuk mendapatkan khidmat Neymar, 42% atau £25 juta daripada jumlah bayaran tersebut adalah untuk mendapatkan hak komersil Neymar daripada syarikat agennya, MJF Publicidade.

Apa yang menariknya, wakil Nike Brazil turut hadir dalam majlis ketika Neymar diperkenalkan buat pertama kali di Nou Camp.

Ini menandakan betapa pentingnya peranan Nike untuk membawa Neymar ke Barcelona. Nike dan Barcelona tahu nilai komersil Neymar boleh naik melepasi £25 juta yang dibayar.

Ketika Piala Dunia 2014, jersi Neymar adalah jersi paling laris.

Setiap tahun, butik Barcelona menjual purata 1.15 juta jersi. Jersi Neymar adalah kedua paling terlaris selepas Lionel Messi.

6. Zlatan Ibrahimovic

Nama Zlatan sendiri merupakan satu jenama.

Apabila Nike menjenamakan nama Zlatan dan mengaitkannya dengan simbol keangkuhan (melalui kempen Dare To Zlatan), jualan jersi Nike Paris Saint Germain yang tertera nama Zlatan naik hampir 150%.

Pada 2015, jersi Zlatan bukan saja paling popular di kalangan penyokong Paris Saint Germain. Malah paling popular di kalangan penyokong Sweden juga.

5. Wayne Rooney

jersi-rooney

Pada musim 2013/2014, jersi Wayne Rooney adalah jersi ke-3 paling laris di UK.

Pada musim lepas, jualan jersi Rooney merosot sedikit untuk jatuh ke tangga ke-6 di UK.

Bersesuaian dengan kemerosotan prestasi United dan Rooney sendiri, tidak hairanlah untuk melihat kemerosotan populariti jersi Rooney.

Tetapi jualan jersi Nike England yang tertera nama Rooney masih paling tinggi jika dibandingkan dengan pemain England lain. Statusnya sebagai kapten England memainkan peranan besar untuk memastikan nilai komersial Rooney masih relevan.

4. Robin van Persie

jersi-van-persie

Secara puratanya setiap tahun, Fenerbahce menjual 325,000 jersi dari butik mereka.

Dengan kehadiran Robin van Persie dan Nani, jualan jersi Fenerbahce meningkat berdasarkan laporan laman web Turki, Fenerium.

Nilai komersil van Persie mengalami penurunan ketara selepas era Louis van Gaal di Old Trafford.

Pada musim 2013/2014, jersi van Persie adalah yang paling terlaris di UK. Dalam masa setahun kemudian, jersi beliau jatuh ke tangga ke-10.

3. Angel di Maria

jersi-di-maria

Ketika Angel di Maria dan Falcao tiba di Old Trafford, butik Manchester United merekodkan peningkatan 40% jualan jersi. Dan hampir semuanya mahukan nama kedua-dua pemain ini di jersi yang mereka beli.

Tetapi antara 2 pemain ini, jersi Angel di Maria yang paling popular. Peningkatan 21% pada jualan jersi Manchester United pada musim lepas berpunca daripada nama beliau.

Di Paris Saint Germain, jumlah jualan jersi di Maria masih berada di belakang jersi Zlatan Ibrahimovic.

2. Lionel Messi

jersi-messi

Dalam rancangan Radio Anch’io Sport, soprting director Barcelona, Ariedo Braida, mendedahkan jualan jersi Lionel Messi sangat mengagumkan.

Ada sumber yang mengatakan jumlah jualan jersi Messi meliputi 50% jumlah jualan jersi Barcelona.

Menurut sumber, setiap tahun Barcelona menjual 1.15 juta jersi daripada butiknya setiap tahun. Ini bermakna jersi Messi sahaja sudah terjual sebanyak 575,000 helai setiap tahun.

1. Cristiano Ronaldo

Untuk pengetahuan anda, purata jualan jersi Real Madrid adalah 1.6 juta helai setiap tahun. Jualan jersi Ronaldo sahaja sudah meliputi 20% daripada jumlah jualan keseluruhan.

Pada musim 2009/2010, Real Madrid membayar £66 juta kepada Manchester United untuk mendapatkan servis Cristiano Ronaldo.

Pada musim 2013/2014, jualan jersi Ronaldo dari butik Real Madrid sahaja sudah mencecah 1.2 juta helai.

Harga sehelai jersi Ronaldo yang sah dari butik Real Madrid adalah lebih kurang £70. Ini bermakna pada musim 2013/2014, Real Madrid sudah menjana £84 juta hanya daripada jualan jersi Ronaldo.

Ini bermakna Real Madrid hanya mengambil masa 4 tahun untuk balik modal daripada hanya SATU punca pendapatan sahaja. Iaitu melalui jualan jersi.

Baca juga: 10 PEMAIN BOLA SEPAK YANG MEMPUNYAI PEKERJAAN PELIK SELEPAS BERSARA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN