10 Gelanggang Berkecuali Untuk Sambung Semula EPL

EPL

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bermesyuarat pada Jumaat telah dimaklumkan mereka tidak boleh menggunakan stadium sendiri dalam perancangan untuk melengkapkan baki perlawanan musim ini yang tertangguh akibatkan pandemik COVID-19.

Lapan hingga 10 ‘gelanggang berkecuali’ akan dipilih untuk menjadi venue kepada semua baki perlawanan yang masih tergantung sejak 9 Mac lepas sehingga pihak pengurusan liga mendapatkan lampu hijau daripada kerajaan untuk meneruskannya.

Dalam perbincangan yang dibuat secara maya itu, semua pasukan menyasarkan untuk menyambung semula latihan pasukan pada Mei dengan kemungkinan untuk kembali beraksi pada Jun.

Mereka turut dimaklumkan gelanggang berkecuali yang akan dipilih kelak perlu mendapat kelulusan dari pihak penguasa kesihatan yang akan melakukan pelbagai protokol dan prosedur keselamatan dan berlangsung tanpa kehadiran penyokong di stadium.

Sebanyak 40,000 alat ujian saringan COVID-19 diperlukan untuk pemain, pegawai dan kakitangan bagi semua pasukan yang bakal terlibat dalam pelaksanaan baki 92 perlawanan.

“Tiada sebarang kata putus, namun semua bersetuju untuk meneruskan sesi latihan dan hanya akan bermain semula dengan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Ia dipersetujui oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) dan Persatauan Pengurus-Pengurus Liga (LMA) adalah kunci kepada proses ini dan akan dimaklumkan lebih lanjut.”

Faktor utama kepada penggunakan gelanggang berkecuali tersebut adalah untuk mengurangkan kemungkinan tumpuan penyokong dan stadium akan dipilih berdasarkan penilaian oleh pihak polis dan pihak Autoriti Keselamatan Gelanggang Sukan.

Pihak kelab juga perlu menyediakan pasukan perubatan yang terdiri daripada kumpulan doktor dan penasihat perubatan sebagai persediaan.

Selain itu, sebelum semua pemain mula menjalani latihan tidak lama lagi, mereka dikehendaki membuat ujian saringan dua kali seminggu dan setiap hari akan diperiksa jika ada sebarang gejala atau simpton.

Selain itu, beberapa protokol lain adalah semua pusat latihan akan mengoptimumkan penjarakan sosial dan tahap kebersihan yang tinggi dan pemain perlu memakai topeng sepanjang masa.

Kredit Foto: Simon Winter

Baca juga artikel kami yang lain mengenai EPL:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply